
Sebuah batu nisan palsu tertera
perkataan 'RIP Freedom of Speech' turut ditempatkan di lokasi bantahan,
simbolik kepada kebebasan bersuara Internet yang disekat kerajaan di
Speakers' Corner, Singapura, semalam. - REUTERS
SINGAPURA 8 Jun - Kira-kira 2,000 rakyat
Singapura hari ini mengadakan bantahan terhadap peraturan baharu
kerajaan yang mewajibkan beberapa portal berita memiliki lesen
berkuatkuasa bulan ini.
Kesemua penunjuk perasaan berkumpul di kawasan bebas bersuara,
Speakers' Corner di sebuah taman di sini untuk mendengar ucapan beberapa
blogger dan individu lain yang mengutuk dasar baharu kerajaan tersebut.
"Kerajaan perlu mempercayai kami dan berhenti melayan kami seperti bayi.
"Kita perlu berasa malu terhadap masyarakat dunia kerana ketika
kerajaan lain sedang berusaha untuk membatalkan kawal selia Internet,
Singapura, satu daripada negara terkaya dari segi perkapita sedang cuba
bertindak sebaliknya,'' kata Choo Zheng Xi, seorang jurucakap dan
pengasas bersama laman web berita popular The Online Citizen.
Bantahan hari ini dianjurkan pakatan penulis blog yang menggelar diri mereka sebagai 'Free My Internet'.
Mengikut peraturan baharu itu, mana-mana laman web yang melaporkan
berita dari negara ini dan menarik sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung
unik dalam tempoh sebulan, diwajibkan untuk mengambil lesen.
Selain itu, pemilik blog dan portal berita perlu memadamkan sebarang
artikel yang dianggap menentang kerajaan atas arahan pihak berkuasa
dalam tempoh 24 jam.
Blog dan media sosial mula meraih populariti sebagai sumber berita
alternatif dan pendapat di Singapura, ketika akhbar utama dianggap
sebagai bersikap prokerajaan.
"Kerajaan perlu berhenti berfikir bahawa mereka boleh meluluskan
undang-undang yang mereka suka,'' kata seorang peserta, Raymond Kwok,
29.
Demonstrasi hari ini merupakan perhimpunan besar-besaran ketiga yang berlangsung di Speakers' Corner tahun ini.
Kumpulan sama turut menganjurkan 'Internet blackout' kelmarin, dengan
menyaksikan lebih 130 penulis blog di negara ini menggantikan laman
utama web mereka dengan skrin hitam yang tertera perkataan, '#
FreeMyInternet'. - AFP/AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.