Kawan-kawan

Isnin, 22 Februari 2010

Siapa yang kena fikir? (Utusan Malaysia)


NABIL dan Mila bersama para pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie pada majlis pratonton filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KONTROVERSI terlebih dahulu menghangatkan filem ini sebelum ia ditayangkan di pawagam. Hal ini berlaku apabila pelakon utamanya membuat komen negatif dalam akhbar. Apa yang menarik, adakah komen pelakon sesebuah filem mampu memberikan kesan tertentu terhadap filemnya?

Sememangnya agak biasa bagi pelakon utama sesebuah filem memberikan komen tentang filem terbaru lakonannya walaupun filem tersebut belum ditayangkan.

Begitu juga bukan luar biasa bagi pelakon utama memberikan pandangan tentang lakonannya yang dirasakannya tidak cukup baik yang mungkin boleh disampaikan dengan lebih baik lagi. Komen yang berbau negatif seperti ini bukanlah sesuatu yang salah, cuma komen sedemikian terhadap keseluruhan filem barangkali tentulah tidak wajar.

Ini kerana si pelakon tentulah terlebih dahulu telah membaca skrip dan memahami ceritanya dan dia boleh menolaknya daripada terlibat. Walau bagaimanapun pernah berlaku penerbit dan pengarah filem membuat komen yang negatif terhadap filemnya sebagai strategi pemasaran untuk menarik perhatian khalayak.

Bagaimanapun apabila sesebuah filem itu sudah siap dan ditayangkan, maka tugas pengarah dan pelakon sebenarnya sudah selesai. Saya sendiri sebagai penonton sebenarnya tidak mudah untuk bersetuju dengan komen-komen awal terutama pelakon sebelum menonton sendiri sesebuah filem itu.

Ini kerana sesebuah filem itu akhirnya dinilai pada apa yang dipaparkannya. Mampukah pengarah menggunakan mediumnya untuk mengangkat sesebuah naratif dan apakah naratif itu kemudian mampu menjentik minda kita untuk turut berkongsi pengalaman watak dan pemikiran yang hendak dilontarkan melalui naratif itu.

Filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie bukan sahaja menggunakan tagline popular Ahmad Nabil pemenang program Raja Lawakk 2 malah turut menggunakan Nabil sendiri sebagai pelakon utamanya. Nabil memainkan watak dirinya sendiri. Namun setelah menonton filem ini, sukar untuk kita mengatakan filem ini sebuah autobiografi Nabil. Hal ini kerana plot filem ini sebenarnya tidak mengangkat liku-liku kehidupan Nabil. Malah watak Nabil dalam filem ini tidak pun digambarkan sebagai membawa dirinya yang berusaha menjadi pelawak yang hebat. Barangkali penulis lakonlayar filem ini mahu memaparkan liku-liku awal Nabil sebelum menjadi popular tetapi sekali lagi apakah liku-liku tersebut menjurus kepada Nabil sebagai pemenang Raja Lawak?

Malangnya hal ini tidak berlaku, sedangkan nama sebenar Nabil dan ungkapan popular Nabil "Lu Pikirlah Sendiri" digunakan dalam filem ini (Nabil seharusnya mendaftarkan hak cipta tagline tersebut daripada digunakan sewenangnya). Penggunaan dua pendekatan tersebut seharusnya sudah menjurus kepada liku-liku kehidupan (biografi) Nabil. Jika tidak, seharusnya penulis skrip tidak menggunakan tagline tersebut dan watak Nabil tidak menggunakan nama sendiri.

Dalam filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, watak Nabil adalah seorang pemuda yang tidak mempunyai kerja tetap tetapi cuba membaiki kehidupan keluarganya. Adiknya Aishah (Mila) masih bersekolah dan ayahnya terlantar sakit sedangkan ibunya (Liza Othman) tidak bekerja. Nabil lalu bekerja sebagai pengantar surat dan juga membuat beberapa kerja sampingan.

Di tempat kerjanya, Nabil jatuh hati dengan gadis se pejabat tetapi kemudian kecewa apabila dapat tahu gadis itu akan berkahwin dengan bosnya. Pada masa yang sama Nabil menjadi mangsa kebencian seorang pelajar dan model yang jelita dan kaya, Natasya (Puteri Sarah), tetapi kebencian itu kemudiannya berubah apabila Nabil tiba-tiba popular selepas memenangi satu program muzik di televisyen bersama kumpulan Meet Uncle Hussein.

Apakah Lu Pikirlah Sendiri De Movie sebuah komedi atau drama keluarga Melayu biasa? Yang nyata filem ini mempunyai plot yang kacau. Aminah Rhapor sebagai penulis seharusnya jelas dengan watak-watak utamanya. Membina perwatakan yang meyakinkan bukan sahaja pada watak Nabil tetapi watak-watak lain yang melengkapkan drama ini.

Apakah matalamat watak Nabil, bagaimana dia boleh menjadi pemuzik sedangkan di awalnya tidak diberikan latar sedemikian. Unsur kebencian Natasya kepada Nabil jelas dibuat-buat lalu merimaskan dan klise tanpa alasan yang kukuh.

Kebanyakan peristiwa diadakan sekadar untuk mewujudkan adegan. Hal ini kerana tanpa menguasai pembinaan watak-watak tersebut menyebabkan struktur adegan dalam perjalanan plot filem ini menjadi lemah dan hilang matlamat. Penonton bukan sahaja tertanya-tanya peranan Meet Uncle Hussein sebagai korus (yang boleh membantu membawa naratif) dalam filem ini tetapi juga fungsi watak-watak Sarah, Zizan dan beberapa watak lain yang tidak jelas.

Aminah Rhapor yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pengarah teater (antaranya teater Tanah Bernanah dan Siti Di Alam Fantasi) seharusnya memahami kepentingan membina jalur watak-watak yang kuat dan meyakinkan. Sebuah filem komedi sekalipun sebenarnya memerlukan watak yang ampuh untuk membina naratif yang kuat. Bukan menyerahkan kepada penonton sahaja untuk 'memikirkannya sendiri.

Sabtu, 20 Februari 2010

'My Name Is Khan' Berjaya Mengangkat Islam Di Mata Barat (mStar Online)

Shah Rukh Khan dan Kajol merupakan pelakon utama dalam filem itu.

PENANTIAN untuk menonton filem My Name Is Khan (MNIK) adalah sesuatu yang sukar difahami jika anda bukan peminat 'King Khan' atau Datuk Shah Rukh Khan.

Menonton dan menghayati setiap dialog yang diucapkan oleh Shah Rukh dalam filem MNIK, yang mengangkat martabat orang Islam di seluruh dunia ini, ibarat satu 'tanggung jawab' .

Atas beberapa sebab, filem ini tidak boleh dilihat dari perspektif filem Bollywood kerana penghasilan dan cara garapan filem ini jauh berbeza dari semua filem Hindustan yang pernah ditonton.

Tidak ada lagu merdu yang berjela-jela atau persalinan pakaian hingga durasi lima minit, tidak ada kesedihan yang klise seperti yang selalu ada dalam filem Bollywood dan tiada tarian. Anda mungkin kecewa tapi bagi peminat Shah Rukh, apa saja yang dihidangkan oleh bintang ternama ini adalah satu cenderahati.

Bagi mereka yang berharap menyaksikan sebuah lagi filem Hindustan pasti akan sedikit kecewa kerana pengarah Karan Johar berjaya lari dari expectation peminat filem Hindi.

Tapi durasi filem MNIK sama seperti semua filem Hindustan yang pernah anda tonton iaitu hampir 3 jam. Filem ini hidup dari awal hingga akhir kerana babak-babak realistik yang cuba dipaparkan dari kaca mata seorang pengarah bukan beragama Islam, Karan Johar.

Karan sejujurnya cuba bercerita tentang dilema seorang Islam bernama Rizvan Khan, yang mempunyai penyakit Aspergers sindrom (sejenis penyakit Autistik) yang dicurigai oleh bangsa Amerika. Rizvan dicop sebagai pengganas hanya kerana dia orang Islam dan peristiwa ini berlaku selepas kejadian hitam 9/11.

Disebabkan penyakitnya, Rizvan mempunyai masalah sosial dan tidak mampu berinteraksi secara normal.

Ibu Rizvan selalu menekankan bahawa tidak ada orang Islam baik dan orang Islam jahat, tidak ada orang Kristian baik dan orang Kristian jahat dan tidak ada orang Hindu baik dan orang Hindu jahat.

Kebaikan dan kejahatan ada pada manusia, tetapi itu tidak ada kaitannya dengan agama yang dianuti. Didikan ibu terpahat erat dalam benak Khan hingga Rizvan merasa didikan ibunya benar tetapi realiti yang dihadapinya sangat jauh berbeza.

Setelah ibunya meninggal, Rizvan terpaksa tinggal dengan adik lelakinya (lakonan Shergill) di Amerika. Di sinilah dia berjumpa dan jatuh hati dengan pedandan rambut bernama Mandira (Kajol), seorang ibu tunggal yang baik hati, bebas laku dan tinggal bersama anaknya, Sam, 6.

Cerita cinta Rizvan-Mandira agak luar biasa kerana latar belakang kedua mereka yang berlainan agama dan gaya hidup.Perkahwinan mereka yang mulanya mendapat tentangan adiknya, berakhir dengan baik. Namun kisah cinta mereka yang baru bermula 'terputus' apabila peristiwa September 11 di New York City menjadi penyebab beberapa insiden.

Sam dibelasah teruk hingga mati di sekolahnya kerana namanya ditukar ke 'Khan' sempena nama ayah tirinya, Rizvan Khan. Disebabkan insiden tragis ini, Mandira menolak Rizvan dan menghalaunya.

Segalanya berubah, kedua-duanya terpisah dan cerita cinta mereka bergilir mengharu birukan emosi penonton.

Hanya satu saja syarat diberikan untuk Rizvan kembali ke pangkuan Mandira. Dia harus berjumpa dengan Presiden Amerika dan memberitahunya, My Name Is Khan...And I Am Not A Terrorist.

Bagi Mandira, selagi namanya Khan, dia akan tetap dianggap sebagai pengganas. Dan di sinilah babak pertama filem ini bermula, di mana Rizvan 'Shah Rukh' Khan mengenggam tiga biji batu hitam sambil mulutnya berzikir 'Qul Huwallahu Ahad' sehingga menimbulkan curiga mata-mata yang memandang.....

Perlakuan 'rasial' yang dialami Rizvan ada kalanya menyentuh perasaan, ada ketika membuat kita terfikir bagaimana buruk sangka dapat membuat manusia berubah dari baik ke sifat haiwan.

My name is Khan mendapat bantahan parti Hindu, Shiv Sena, di tanah airnya sendiri hanya kerana satu kenyataan Shah Rukh yang membela pemain kriket Pakistan agar diserapkan ke India Premier League (IPL).

Kemarahan Shiv Sena tercetus kerana hubungan India-Pakistan yang hingga sekarang masih dilanda perang dingin. Akibat kenyataan Shah Rukh, Shiv Sena berusaha melarang filem My Name is Khan ditayang di India.

Kini, filem ini semakin dingin sambutannya di Mumbai, berbeza sekali dengan respon di Amerika dan Eropah.

Sejauh mana, bangsa Amerika menerima filem ini masih terlalu awal untuk dibuat rumusan.

Sembilan tahun setelah tragedi peristiwa 9/11, paranoia atau sikap perkauman terhadap umat Islam yang ditindas akhirnya berjaya digambarkan secara menarik sekali melalui sebuah layar filem Bollwyood.

MNIK berjaya menyingkap sikap rasis Amerika terhadap Islam. Lebih tepat, buruk sangka keterlaluan terhadap apa saja yang berbau Islam.

Diskriminasi barat terhadap Islam seperti yang ditunjukkan di dalam MNIK adalah satu fakta yang pernah terjadi terhadap Shah Rukh sendiri.

Filem itu berkisar tentang hubungan Rizvan dan Mandira, antara seorang individu bernama Rizvan dan pengaruhnya di sebuah negara barat hingga menimbulkan kebangkitan semangat solidariti sesama orang Islam lantas menutup terus mulut bangsa barat tentang Islam.

Terdapat tiga isu penting yang dikupas dalam filem ini: Islam, Cinta Seorang Autistik dan Pengorbanan.

MNIK berbicara tentang Islam dan bagaiman pandangan dunia terhadap Islam.

Agama bukanlah kriteria untuk menentukan orang itu baik atau jahat - itu adalah satu kenyataan yang diulang-ulang tanpa disedari sepanjang filem ini.

Selesai menonton filem ini, ada satu perkara yang anda akan ingat sampai bila-bila. Mungkin Shakespeare pernah berkata...What's In A Name? (Apa Ada Pada Nama?). Bagi mereka yang beragama Islam, jawapannya terdapat dalam filem ini. Akhir kata, 'Nama saya BUKAN Khan, dan saya bukan pengganas!'

Jejaki Penunggu Gunung Raya, Lagenda Siong Di TV3 (mStar Online)

KEJAHILAN dan ketamakan manusia dalam mengejar harta, kuasa dan keabadian hidup sehingga sanggup menentang ajaran Tuhan, akhirnya membawa padah kepada diri sendiri. Terbaru, jangan lepaskan peluang mengikuti dua drama bersiri seram dan mistik bakal menghiasi kaca televisyen anda pada bulan Februari ini.

Menerusi slot Seram, Penunggu Gunung Raya akan disiarkan mulai 18 Februari ini, setiap hari Khamis, jam 9.30 malam, manakala slot Lagenda akan tampil dengan siri baru, Siong bermula 15 Februari ini, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang.

Diterbitkan oleh Filmscape dan bersiaran sebanyak 13 episod, Penunggu Gunung Raya adalah hasil arahan pengarah yang cukup berbakat, Faisal Ishak dan diilhamkan oleh Alfie Palemo yang bertanggungjawab sebagai penulis skrip drama.

Hampir keseluruhan penggambaran babak dijalankan di kawasan Ulu Yam, Batang Kali dan dijayakan oleh barisan pelakon hebat seperti Zizan Nin, Emelda Rosmila, Fouziah Gous, Sahee. D, Rosli Sako, Rahhim Omar, Ibu Aida, Atta Imran dan ramai lagi.

Berlatarbelakangkan sebuah kampung yang bernama Gunung Raya, drama bersiri seram ini mengisahkan sebuah mimpi misteri yang sering menghantui empat individu, Azam, Intan, Mas dan Omar yang sebenarnya terikat dengan kisah silam masing-masing.

Kisah bermula dengan Azam (Zizan Nin) seorang penulis novel seram yang terkenal tetapi kehidupannya kusut akibat sering diganggu oleh jelmaan bekas teman wanita yang telah membunuh diri kerana terlalu kecewa selepas putus cinta dengannya.

Intan (Emelda Rosmila) pula seorang janda muda yang baru kematian suami dalam sebuah kemalangan jalanraya dan dirundung resah gelisah kerana merasakan kandungannya bukan anak manusia.

Manakala Mas (Fouziah Gous) pula diburu rasa ketakutan dan bersalah setelah membunuh kekasihnya, Datuk Kadir.

Hidup Mas pada dasarnya nampak bahagia kerana dilimpahi kemewahan selepas menjadi perempuan simpanan ahli perniagaan berjaya.

Namun, hatinya sentiasa tertekan lantas mengambil tindakan drastik dengan membunuh kekasihnya sendiri.

Berbeza pula dengan Omar (Sahee. D), seorang pemaju hartanah yang hanya mementingkan keuntungan dan sanggup membuat apa sahaja untuk mencari kekayaan.

Malangnya, Omar terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sejak cuba menerokai kawsan di Kampung Gunung Raya.

Mimpi-mimpi aneh inilah yang akan menyatukan kembali empat sahabat yang sudah lama terpisah hingga pulang ke Kampung Gunung Raya.

Ketika masih kanak-kanak, mereka berempat selalu dibuli oleh anak ketua kampung, Dayak (Atta Imran).

Suatu hari, mereka memperdayakan Dayak ke perigi berhantu yang terletak di tengah hutan. Dayak terjatuh dan mati.

Tanpa diketahui, darah Dayak telah membebaskan iblis iaitu Penunggu Gunung Raya yang dikurung dalam peti kuno di bawah perigi. Atas tunjuk ajar Lebai Awang (Rahhim Omar), mereka berjaya menumpaskan iblis tersebut.

Namun, hasil daripada kejadian tersebut telah menyebabkan mereka hilang ingatan dan dihantar ke bandar bagi memulakan kehidupan baru.

Namun, Tok Sumun (Rosli Sako) berasa sangsi akan kematian anaknya dan mahu menuntut bela. Maka, Tok Sumun telah menyeru kepada Penunggu Gunung Raya untuk terus mengganggu pembunuh anaknya.

Setelah sekian lama, Azam, Intan, Mas dan Omar kini merasakan nyawa mereka terancam selain diburu rasa ketakutan atas dosa yang dilakukan.

Segala misteri dan rahsia asal usul mereka bakal terungkai. Siapakah Lebai Awang sebenarnya dan apakah dendamnya dengan Mak Leha (Ibu Aida) yang telah mengasaskan Kampung Gunung Raya? Saksikan drama ini di slot Seram nanti.

Siri terbaru di Lagenda, Siong merupakan adaptasi daripada filem lagenda Raja Bersiong. Kisahnya bermula dengan Raja Wakarima (Helmi Hussain) yang mahu kekal muda dengan menghisap darah manusia tetapi telah berjaya ditumpaskan oleh Arya Mitra (Abu Bakar Juah), pembesar istana. Tubuh Raja Wakarima telah dipasung oleh Arya Mitra dalam keranda untuk memastikan tiada kesan peninggalan Raja Wakarima kekal di kerajaan Pancadi.

Sebelum dipasung dan ditanam, Raja Wakarima telah bersumpah untuk kembali membalas dendam terhadap Arya Mitra dan keturunannya. Raja Wakarima cuma akan bangkit semula sekiranya kerandanya terkena suluhan cahaya matahari.

Selepas 400 tahun, Tajul Zaman (Gambit Saifullah), ialah seorang tokoh konglomerat muda yang suka berfoya-foya. Suatu hari, orang gajinya terhiris jari ketika memasak.

Selepas merasa makanan tersebut, bermulalah sisi gelap hidup Tajul Zaman yang ketagihan darah. Dia mula membunuh wanita-wanita muda yang didampinginya dengan menghisap darah mereka.

Seorang penulis novel misteri, Amzar (Pierre Andre) sedang mengkaji sejarah Negara Pancadi. Bersama kekasihnya, Ria Fajarina (Sheera Iskandar), mereka menjejaki lagenda Raja Wakarima dan menemui peninggalan risalah purba dan wasiat moyang Amzar yang disembunyikan di rumah pusaka.

Barulah Amzar mengetahui tentang sejarah nenek moyangnya. Pada masa yang sama, Raja Wakarima berjaya bebas selepas kerandanya ditemui sekumpulan pekerja buruh. Dendamnya untuk mencari keturunan Arya Mitra bermula.

Tajul Zaman kini beroleh kuasa pada matanya untuk memukau wanita. Dia telah merampas Ria daripada Amzar. Setelah Amzar mengetahui rahsia Tajul sebagai penghisap darah, dia telah bersepakat dengan jelmaan Raja Wakarima iaitu Pak Tua untuk membunuhnya. Namun, hakikatnya tidaklah semudah yang disangkakan. Apakah yang akan terjadi seterusnya?

Siong akan bersiaran selama 24 episod dan diarahkan oleh Adam Hamid dari Talisman Pictures dan menampilkan Mahizan Husain sebagai penulis skrip. Drama bersiri ini dibintangi oleh Gambit Sailfullah, Pierre Andre, Sheera Iskandar, Helmi Hussain, Abu Bakar Juah, Azizan Nin, Leez, Hanif, Zila Bakarin, Nadia Mustafa dan ramai lagi.

Menurut Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, “Slot Seram dan Lagenda merupakan paltform yang baik untuk TV3 meneruskan usaha memberikan yang terbaik kepada penonton setianya dengan menyiarkan drama-drama yang menarik dan menepati citarasa penonton. Di samping itu, kami juga mementingkan kandungan program yang sarat dengan mesej-mesej positif agar menjadi teladan kepada masyarakat untuk tidak terlalu taksub dengan kepercayaan tahyul dan mistik.”

“Jika dilihat, kedua drama ini mempunyai kekuatan dan keunikan tersendiri, kami pasti para penonton pasti teruja mengikuti kisah Penunggu Gunung raya dan Siong yang tidak dapat dijangka pada permulaan cerita hingga ke penamat,"tambah Nurul.

Jadi jangan ketinggalan untuk menonton Siong mulai 15 Februari 2010, setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.30petang dan Penunggu Gunung Raya di slot Seram, setiap hari Khamis jam 9.30malam mulai 18 Februari 2010, hanya di TV3!

Misha fantasi Azhar (Kosmo)


AZHAR SULAIMAN


MINGGU lalu, Diva rasa macam nak pengsan bila mendengar pengakuan aktor Azhar Sulaiman dalam program Wanita Hari Ini (WHI) tentang topik Curang Fantasi.

Ini bukan salah program atau soalan yang dilontar hos, tetapi Diva rasa ia adalah jawapan kurang sensitif daripada pelakon itu sendiri.

Pada satu soalan tentang rumah tangganya, Azhar menjawab lebih kurang begini: "Saya membayangkan Misha Omar." Beberapa kali Azhar mengulangi jawapan tersebut.

Apa yang dimaksudkan Azhar dengan membayangkan Misha Omar? Adakah itu fantasi seorang lelaki untuk memiliki wanita idaman seperti Misha? Atau ia hanya gurauan semata-mata.

Tapi pada Diva, kalau pun Azhar berfantasikan wanita mana-mana pun, tak perlulah beritahu satu negara.

Jagalah sedikit hati dan perasaan isterinya, Chempaka atau sekurang-kurangnya biarlah Azhar menyimpan fantasinya itu seorang diri.


Diva: Hanya Fantasia Bulan Madu sahaja.

Berdepan rahsia Tuhan (Kosmo)




ADA kuntuman segar sedang berkembang di jiwanya. Ketika tangkai hati belum direntas menjadi milik kekal sang lelaki, Umie Aida sebenarnya sedang mentakrif peribadi.

Manuskrip-manuskrip pendiriannya sedang difailkan semula demi sebuah progres perkongsian zahir batin. Itu satu keharusan agar tiada yang mudah terusik, juga tiada yang kebal untuk ditembusi.

Secara faktanya, aktres tersohor itu bakal mencipta sejarah yang paling agung dalam hidupnya. Sejarah pelengkap kewanitaan serta sejarah yang bakal mengubah status yang dijunjung selama ini.

Daripada seorang wanita ‘bebas’, Umie bakal menundukkan ubun-ubun kepalanya untuk dikucup sang lelaki bernama suami.

Sesungguhnya, teramat besar debar yang ditanggung. Perjalanan baru akan bermula, transformasi diri mula dirasa.

“Sejujurnya, saya sangat-sangat gementar,” desis Umie sambil matanya membayangkan sesuatu.

Hari ini, dia masih membawa gelaran tunangan kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47 tahun. Walaupun tarikh ijab kabul mereka masih belum diumumkan, hakikatnya tinggal tidak sampai sebulan lagi untuk Umie menikmati zaman bujang. Di laut fikirannya, pasti bergelombang variasi rasa.

Panggil ‘abang’

“Mungkin itulah sebabnya orang tua-tua menyarankan agar berkahwin semasa muda. Pada usia sekarang, sebetulnya agak sulit untuk saya mengubah rutin hidup saya selama ini.

“Dalam keadaan sekarang, ada baiknya pihak lelaki harus lebih banyak memahami dan menerima saya seadanya.

“Saya sendiri sudah ada tanggungjawab, ada anak-anak yang harus diberi perhatian, dan saya ada ‘kepala’ saya sendiri,” lontar satu ketegasan daripada bibirnya.

Genap 37 tahun pada 19 Januari lalu, karakter empunya nama Umie Khalsum Rahmad itu sudah cukup dikenali ramai. Seperti wanita lain, dia pernah ada kekasih dan gagal dalam hubungan. Bertahun-tahun juga hatinya tidak terisi cinta lelaki.

“Menjadi seorang wanita yang sangat berdikari boleh menyebabkan saya tidak mahu memikirkan soal kahwin. Saya sendiri pernah kata, tak mahu kahwin.




“Sebab itulah ada jarak yang agak lama antara hari pertunangan saya pada 29 September 2009 dengan hari akad nikah kelak. Saya mahu melembutkan ‘kepala batu’ saya ini,” bicara Umie melanjutkan perbualan.

Akuinya juga, memilih untuk menamatkan zaman bujang di sisi Khairuddin, bukan diputuskan oleh faktor usia, bukan juga atas desakan sesiapa. Sebenarnya, sehingga ke detik ini, masih bermain satu persoalan di jiwanya.

“Sampai sekarang, saya masih bertanyakan apakah betul tindakan saya untuk mengakhiri zaman bujang. Bagi saya, kahwin adalah rahsia Allah. Sebagai insan, saya harus reda dengan pemberian-Nya.

“Saya berkata ‘tidak’ ketika mula dilamar abang (panggilan Umie terhadap bakal suami) tetapi pintu hati saya terbuka dek kesungguhan yang ditunjukkannya.

“Saya juga tidak mahu terus menjadi manusia yang penakut untuk melalui sesuatu yang saya sendiri tidak tahu. Sebagai wanita, saya juga mengidamkan alam perkahwinan,” katanya lagi.

Anak sendiri

Mengisi hari-hari terakhirnya sebagai wanita solo dengan persiapan menjelang hari bahagia, agenda itulah yang membuatkan Umie semakin teruja menuju gerbang perkahwinan.

Sudah lebih tiga minggu juga jadual kariernya sengaja dikosongkan. Dia mahu berehat dan membelai diri sebelum tiba hari besar.

Bakal punya suami sebagai pemimpin dunia dan akhirat, impian perkahwinan Umie, alangkah bertuahnya dia jika ditiupkan rezeki dari langit untuk menimang cahaya mata sendiri.

“Dapat seorang anak pun cukuplah. Saya harap sangat, tambah lagi kalau dapat anak perempuan, mesti seronok,” kata Umie yang sudah bergelar ‘ibu’ seawal usia 20 tahun.

Apatah lagi, kedua-dua anak angkatnya lelaki, Mohd Daniel Abdullah, 17, dan Mohd Zulhelmy Jamaluddin, 16. Pasti menguruskan anak kecil bukan lagi persoalan buat Umie, rutin itu juga menjadikan Umie matang sebelum usia.

“Jadi, tidak banyak perkara yang perlu saya lepaskan selepas bergelar isteri nanti. Saya pun bukan jenis kaki sosial,” ujarnya meringkaskan kenyataan.


MEMILIH pereka fesyen, Jovian Mandagie sebagai perunding perkahwinannya, percaya atau tidak, hakikatnya, bulat hati Umie untuk memasuki dunia perkahwinan terbentuk selepas sah bergelar tunangan kepada Khairuddin pada 29 Oktober lalu.


Lewat pertemuan bersama bakal ratu sehari itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 itu juga kelihatan cukup tenang. Dia sudah bersedia dengan setiap butir yang mahu diungkapkan.

Sengaja mencampuri urusan hati Umie dengan satu lagi pertanyaan, tergugatkah perasaannya dengan mitos duka sang isteri yang pernah sampai ke telinga sebelum ini?

Tambah Umie: “Saya takut kerana alam itu terlalu asing. Mungkin saya perlukan masa untuk serasikan diri dengan alam baru nanti. Paling saya takuti ialah gelaran ‘isteri’ itu sendiri.”

Intuisi seorang wanita memang begitu, apatah lagi tatkala berdepan hukum Ilahi yang satu itu. Percaya kata hati menjadi kunci kepada setiap keputusan. Seperti percaya mentari esok akan bersinar, Umie juga percaya lelaki bernama Khairuddin itu dikirim menjadi jodoh buatnya.

Serigala jadian ‘kitar semula’ (Kosmo)


ANTARA babak dramatik yang ditonjolkan dalam filem The Wolfman.


SEPINTAS lalu, The Wolfman mengingatkan semua terhadap filem-filem serigala jadian terdahulu yang pernah disaksikan antaranya Werewolf of London dan The Curse of The Werewolf. Itu sebenarnya yang mempengaruhi Benicio Del Toro, penerbit juga pelakon utama filem The Wolfman.

Mengekalkan visual klasik, di tangan Joe Johnston sebagai pengarah, benarlah The Wolfman cuba menghormati tradisi dari judul yang sama The Wolf Man 1941.

Perjalanan cerita masih sama, bezanya, untuk edisi 2010, The Wolfman lebih banyak bermain dengan kesan khas. Johnston menunjukkan usaha bersungguh-sungguh untuk mengangkat The Wolfman sebagai filem ‘kitar semula’ yang berprofil tinggi.

Bermula apabila seorang abang Lawrence Talbot, lakonan Benicio Del Toro pulang ke kampungnya setelah mendapat berita kematian mengejut adiknya. Tiba di kampung, Lawrence mencurigai keadaan mayat adiknya.

Musykil tentang punca kematian itu, dia mula menyiasat walaupun dihalang oleh ayahnya, Talbots (Anthony Hopkins). Lawrence mula rapat dengan tunang adiknya, Gwen Conliffe (Emily Blunt).

Visual malam yang menyeramkan menjadikan The Wolfman sebuah filem menakutkan apatah lagi babak kematian demi kematian mula mengisi plot.

Tidak sukar untuk menjangkakan penyudah filem ini, rata-rata penonton mungkin bersetuju bahawa menonton separuh jalan sahaja, seluruh filem itu sudah boleh dibayangkan.

Komen: Kepada penggemar aksi, darah dan kematian ngeri, pergilah menonton sebaliknya jika mahukan sesuatu yang lebih realistik serta visual yang mendamaikan, Valentine’s Day mungkin pilihan yang lebih tepat.

Fouziah bukan makan angin (Kosmo)


Fouziah Gous


PELAKON muda, Fouziah Gous, 27, semakin kerap beraksi di layar kaca dan layar perak. Si manis berambut panjang mengurai ini terus-terusan membuat penampilan untuk pelbagai watak.

Terbaru, membawakan watak sampingan dalam drama bersiri Na O Mei untuk slot Akasia di TV3, Fouziah, atau nama penuhnya, Nor Fauziah Mohd Ghous, pada masa yang sama memegang watak utama untuk filem 2 Hati 1 Jiwa, di samping ‘kembar siamnya’ Yasmin Hani, yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Malah anak jati Kuala Lumpur ini turut menjadi gadis ‘iringan’ pengacara Kieran untuk program Roda Impian di saluran TV3.

“Saya bekerja. Bukan makan angin. Lagipun saya masih baru dalam bidang seni, jadi peluang (berlakon) yang datang itu saya anggap sebagai ruang untuk saya belajar dan memperbaiki diri.

“Saya juga jenis yang tidak boleh duduk diam dan berehat lama-lama seperti sesetengah artis yang mengambil cuti selepas satu-satu filem atau drama.

“Saya tidak mampu untuk berbuat begitu. Saya perlu sentiasa berasa sibuk,” ujarnya yang mengakui berasa gelisah jika tidak berbuat apa-apa.

GOSIP

Sehingga sekarang, satu-satunya gosip yang beredaran tentang saya sejak mula menceburi bidang hiburan ialah skandal dengan Datuk Seri Farid Redzuan. Kelakar pula rasanya kerana ia sangat tidak berasas tetapi diulang pakai. Hendak kata saya kenal Datuk Farid, rasanya dalam bidang hiburan, tiada siapa yang tidak kenal dia.

BANYAK CAKAP

Saya bukan buat-buat kerana saya bercakap dengan sepenuh jiwa. Saya akan banyak bercakap apabila menjawab soalan. Bagi saya biarlah saya menjawab soalan panjang lebar daripada membiarkan wartawan tidak faham dan menimbulkan isu tak enak daripada jawapan saya itu.

IQRAM DINZLY

Kami sudah lebih empat tahun mengenali antara satu sama lain iaitu sebelum saya menjadi artis lagi. Drama pertama yang saya berlakon pun adalah di samping dia. Jadi kami sebenarnya seperti best friend forever (BFF). Segalanya tentang saya dia tahu. Dialah tempat saya mengadu masalah dan menangis.

Tetapi saya tidak mahu takbur mengatakan kami tidak mungkin bercinta. Cuma kami pernah cuba bergerak ke arah itu tetapi ia tidak menjadi. Nampaknya kami lebih sesuai berkawan saja.

LELAKI PILIHAN

Saya seorang yang berfikiran matang. Jadi kalau boleh saya mahu pasangan saya seorang yang lebih matang daripada saya. Saya sudah cuba bercinta dengan lelaki sebaya atau tidak banyak beza umur dengan saya tetapi kami tidak sesuai.

Saya memerlukan seorang lelaki yang saya boleh hormat dan mampu membimbing saya. Tetapi biarlah dia bujang atau bebas daripada sebarang ikatan dengan wanita lain.

Tayang tubuh satu hiburan (Utusan Malaysia)


Bai Ling


AKTRES China, Bai Ling mengaku dia sering menayangkan buah dada di khalayak kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya. 'Hiburan' seperti itu juga adalah sebahagian daripada tugas seorang selebriti buat peminatnya.

''Artis umpama badut dan perlu hiburkan semua orang. Perlu diingat dalam sibuk melakukan tugas harian, pasti kita mahu sesuatu perkara timbul dalam keadaan yang 'menyeronokkan,'' katanya.

Tambah wanita yang berasal dari Cengdu, China ini, sekiranya ada bahagian dalam tubuh badannya membuatkan seseorang itu tersenyum, ia sudah memadai untuk membuatkan hatinya gembira. Ini termasuklah gambar payu dara yang kelihatan kecil, pasti mengundang perasaan geli hati di kalangan si permerhati.

Simpati kepada Nabil (Utusan Malaysia)




SAYA terpanggil bila membaca berita mengenai Nabil berkenaan isu filem Lu Fikirlah Sendiri. Memang betul Nabil orang baru dalam industri hiburan ini, tapi saya 100 peratus setuju dan sokong dengan kenyataan Nabil.

Saya adalah antara orang yang paling awal sekali menonton filem ini pada hari pertama filem tersebut ditayangkan. Saya beli tiket dengan harapan yang penuh. Saya kira filem Nabil ini pasti membuat saya tak kering gusi menonton. Tetapi baru beberapa minit menonton, memang telahan saya silap. Filem ini agak teruk dan boleh menjatuhkan populariti Nabil. Bagi saya, Nabil bagai mempertaruhkan karier dia apabila berlakon dalam filem ini. Produser filem ini mengutuk hebat Nabil dengan mengatakan Nabil tak layak untuk mengkritik filem ini sebab Nabil ini baru setahun jagung dalam bidang tersebut. Bagi saya, tak perlulah sibuk- sibuk nak cari orang yang layak atau tidak.

Marisa,

Puchong, Selangor.

Siapa betul siapa salah? (Utusan Malaysia)


Diana Danielle


DILUAH salah. Tak diluah serba salah. Mungkin inilah dilema dalaman yang sedang menghantui aktres Diana Danielle berhubung isu lagu Radio yang menampilkan dirinya berduet bersama dengan Imran Ajmain dan Nabil.

Lagu yang termuat dalam album Punca Dan Tindakan milik Imran Ajmain itu menimbulkan polemik apabila Diana mendakwa dia masih lagi belum menerima apa-apa bayaran selepas sekian lama merakamkan lagu tersebut.

Ada yang mendakwa apa yang didedahkan oleh pelakon drama Air Mata Maria itu seperti tidak kena tempat memandangkan isu tersebut hanya berbangkit baru-baru ini.

Ada yang membingungkan ramai pihak ialah, apakah motif sebenar Diana mendedahkan semua hal ini memandangkan semua itu sepatutnya boleh dibawa berbincang dan diselesaikan secara baik?

Dalam kenyataan sebelum ini, Diana mendedahkan ada beberapa syarikat yang cuba melamarnya menjadi artis kontrak tetapi meletakkan syarat agar sebahagian daripada hasil pendapatan harus dikongsi bersama syarikat.

Dia juga menambah, gara-gara itu dia kurang bersetuju memandangkan itu merupakan hasil titik peluh dirinya dan dia sudah lama membina nama sebagai pelakon. Jadi apa perlunya dia mengikat kontrak dengan sesebuah syarikat pengurusan.

"Seperti Alibi Music, yang menetapkan syarat jika saya hendak merakam album dengan mereka, mereka yang akan menguruskan kerjaya saya. Bukan saja nyanyian tetapi juga lakonan dan mendapat peratusan daripada pendapatan saya. Sebab itu saya tidak bersetuju. Kalau nyanyian saja, saya tak kisah tapi ini satu pakej," katanya seperti disiarkan dalam sebuah laman web hiburan baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu juga dia mendakwa pihak Alibi Music (dahulunya Metadome Sdn. Bhd.) mahu mengambilnya sebagai artis rakaman dan pihak tersebut juga telah datang mencarinya dan mahu dirinya menandatangani kontrak.

Diana juga mendakwa yang kononnya dia ditawarkan untuk merakamkan lagu duet bersama dengan kumpulan Andra and The Backbone sebelum Malam Pesta Indonesia 3 dengan harapan dia dapat menyanyikan lagu tersebut pada malam konsert bertarikh 20 Jun 2009 tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Kemuncak kepada segalanya apabila Diana mendedahkan yang dia masih belum menerima bayaran daripada Alibi Music ketika merakamkan single Radio.

Malah kenyataan yang dikeluarkan oleh Diana itu sedikit sebanyak mengguris hati beberapa pihak terutamanya Imran Ajmain kerana lagu itu dimuatkan dalam albumnya.

Pun begitu, ketika dihubungi Pancaindera Rabu lalu, Diana enggan mengulas lanjut mengenai hal tersebut dan pihaknya tidak mahu isu ini terus dimainkan oleh media massa.

Ibunya, Norsiah Ramli, yang juga bertindak sebagai pengurus kepada Diana memberitahu tidak ada apa-apa kenyataan untuk diumumkan buat masa ini.

"Kalau boleh saya tak mahu terus berbalas kenyataan, cukup-cukuplah apa yang terjadi selama ini dan saya tak mahu ulas lanjut.

"Bila tiba masa yang sesuai Diana pasti akan memberikan kenyataan, semua pihak bersabar dahulu," kata Norsiah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap