Kawan-kawan

Selasa, 2 Mac 2010

Nabil akui tak puas hati (Berita Harian : B*Pop)

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bharian.com.my

Antara adegan menarik dalam filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie.

Lu Fikirlah Sendiri De Movie lebih mantap jika jalan cerita diperkemas

JUDUL: Lu Fikirlah Sendiri De Movie
GENRE: Komedi Romantik.
PRODUKSI: SDAF Pictures Sdn Bhd.
PENERBIT: Aminah Rhapor.
PENGARAH: Aminah Rhapor.
PELAKON: Nabil, Puteri Sarah Liyana, Mila, Meet Uncle Hussein, Tasha AF, Zizan Raja Lawak, Umi Nazeera, Zaibo, Faizal Tahir, Aziz M Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik, Liza Othman, Vanidah Imran dan Hisham Ahmad Tajuddin.
SINEMATOGRAFER: Raja Mukhriz.
MULA TAYANG: 11 Februari 2010.

SESUAI untuk penonton yang inginkan hiburan ringan dan santai, filem Lu Fikirlah Sendiri De Movie arahan Aminah Rhapor akan membuai seribu satu perasaan - ketawa, menangis dan sakit hati.

Filem pertama terbitan SDAF Pictures Sdn Bhd itu akan menemui penonton di pawagam bermula 11 Februari ini. Ia menggandingkan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad bersama Puteri Sarah Liyana. Turut membintangi filem ini, juara Akademi Fantasia 5, Mila, Meet Uncle Hussein, Tasha AF, Zizan Raja Lawak, Umi Nazeera, Zaibo, Faizal Tahir, Aziz M Osman, Amy Search, Harun Salim Bachik, Liza Othman, Vanidah Imran dan Hisham Ahmad Tajuddin.

Lu Fikirlah Sendiri De Movie diambil dari slogan `trademark' yang sering dilaung-laungkan Nabil hingga menjadi ikutan ramai - Lu Fikirlah Sendiri. Sudah tentu jalan ceritanya bersangkut paut dengan Nabil. Ya, memang kisah hidup Nabil sebelum bergelar juara Raja Lawak musim kedua difilemkan. Pengarah dan penerbit memilih Nabil kerana tertarik bakat luar biasanya. Ketika itu, Nabil baru saja keluar dari gelanggang Raja Lawak kira-kira dua tahun lalu.

Dari seorang penjual ayam, mat despatch, mekanik di sebuah bengkel motosikal dan peniaga kuetiau goreng di pasar malam, semuanya dipaparkan dalam Lu Fikirlah Sendiri De Movie. Namun, jalan ceritanya diperindahkan lagi dengan kisah cinta yang menggeletek hati.

Seakan bernada tidak puas hati dengan hasil garapan filem itu, Nabil menganggap apa yang dihasilkan tidak sampai, malah jalan ceritanya longgar dan dilakukan tanpa penelitian. Banyak babak melompat dan tidak difahami apa tujuannya, selain kelibat kumpulan indie popular, Meet Uncle Hussein (MUH) yang sentiasa memegang `gitar tong' menimbulkan kekeliruan dan pertanyaan ramai pihak.

Sehingga Nabil ke tandas pun, MUH sentiasa mengekorinya dengan membawa gitar tong. Apa relevannya? Tidak dinafikan, Lu Fikirlah Sendiri De Movie mahu diolah dalam bentuk muzikal apabila lagu-lagu baru nyanyian MUH sering mengiringi latar belakang cerita, tetapi adakah perlu MUH dijadikan seperti `pari-pari' yang sentiasa mengekori Nabil? Cukuplah sekadar lagu-lagu MUH diperdengarkan, mereka tak perlu muncul sana-sini.

Bagaimanapun, sedikit kekurangan tidak mengusutkan keseluruhan jalan cerita. Lu Fikirlah Sendiri De Movie tetap filem yang bagus dan seronok ditonton, selain banyak babak yang ditampilkan mencuit perasaan cuma garapannya perlu diperkemaskan lagi. Cuma, ia memang sesuai dengan judulnya untuk menyuruh penonton fikirlah sendiri apa maksud yang ingin disampaikan menerusi ceritanya.

Lakonan Nabil biarpun ketika itu baru beberapa bulan keluar gelanggang Raja Lawak tidak menghampakan. Nabil mampu menghayati watak sedih dengan baik, menitis air mata menyaksikan babak pergaduhan dengan abangnya yang juga penagih dadah. Nabil ketika itu tertekan apabila dibuang kerja, motosikal pula dicuri oleh abangnya sendiri, selain melihat bapa yang terlantar sakit dan keluarga bergantung hidup dengannya. Mungkin lain daripada filem-filem Nabil sebelum ini, Lu Fikirlah Sendiri De Movie menyaksikan Nabil mengalirkan airmata mengenangkan nasib malang yang menimpa dirinya.

Mila memegang watak Aishah, adik kepada Nabil. Biarpun hanya berlakon enam babak, lakonan pertama Mila di layar perak tidak mengecewakan. Mila mampu mempamerkan kesedihan apabila mengenangkan kesusahan pada keluarga. Hingga mahu menukar kasut sekolah yang koyak rabak pun tidak mampu dan bergantung harapan pada Nabil yang kerap bertukar kerja.

Puteri Sarah memegang watak Natasha, seorang anak hartawan yang cantik, menyombong, berlagak dan masih belajar di universiti. Natasha dan Nabil tidak boleh bersua muka, mereka pasti bergaduh besar. Nabil tidak suka gadis yang berlagak dan menggunakan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri.

Dan kejadian mereka bergaduh hingga ada adegan Natasha membaling kasut pada Nabil pastinya akan membuatkan penonton tergelak besar.

Nabil dan Natasha dipertemukan rakan lama Nabil, Zizan Raja Lawak yang belajar universiti yang sama dengan Natasha. Sikap poyo Nabil yang selamba mengutuk Natasha membuatkan gadis itu sakit hati dan berdendam dengannya. Bagaimanapun, perasaan benci akhirnya bertukar menjadi sayang. Cuma penulis tidak faham kenapa mesti ada babak Nabil memegang gitar tong ketika duduk dibuaian di rumah Natasha? Gitar tong seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan filem ini. Secara keseluruhan, Lu Fikirlah Sendiri De Movie buat penonton terfikir-fikir!

Sinopsis: Lu Fikirlah Sendiri

Mengisahkan impian, cita-cita dan cinta. Nabil (Nabil) dan Natasha (Puteri Sarah) adalah dua garisan yang tidak mungkin bertemu dan melayakkan mereka bercinta. Seorang anak hartawan, seorang lagi pekerja biasa yang menanggung keluarga. Mereka mempunyai pandangan hidup berbeza, seorang pelajar universiti, seorang lagi jejaka yang suka bertukar-tukar kerja.

Pada pertemuan pertama, Nabil dan Natasha sudah tidak sefahaman, bertengkar dan bergaduh disebabkan prinsip hidup masing-masing. Pergaduhan berterusan apabila Natasha sering memburu Nabil kerana merasakan dirinya dihina. Nabil pula sedaya upaya mengelak pertemuan. Walaupun sebenarnya cinta berputik di hati, tetapi mereka cuba menafikan. Akhirnya benci menjadi rindu. Mereka takut menzahirkan perasaan, tetapi sebenarnya mereka saling terpikat.

Seksanya hidup jadi kembar siam (Berita Harian : B*Pop)

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Keutuhan kasih ibu bapa menguatkan mesej 2 Hati 1 Jiwa.

Filem: 2 Hati 1 Jiwa

Pengarah: Prof Madya Razak Mohaideen

Pelakon: Fouziah Gous, Yasmin Hani, Fahrin Ahmad, Ziela Jalil, Mustapha Kamal, Iqram Dinzly dan Irma Hasmie

Genre: Drama/Komedi

Tarikh Tayangan: 28 Januari 2010

DIINSPIRASIKAN daripada kisah benar pasangan kembar Siam dari Iran, Laden dan Laleh yang pernah mencuri perhatian dunia sedikit masa lalu, Profesor Madya Razak Mohaideen menyerap semangat dua hati satu jiwa pasangan berkenaan dalam sentuhan terbarunya.

Menerusi 2 Hati 1 Jiwa, Razak mengajak penonton untuk merasai segala kepayahan dan kesulitan yang dialami pasangan kembar di samping memupuk sikap prihatin terhadap golongan kurang upaya. Realitinya Laden dan Laleh menemui ajal selepas menjalani pembedahan penuh risiko di Singapura tetapi tidak kepada Lana dan Lina yang memperoleh kebebasan diimpikan selepas dipisahkan.

Filem 2 Hati 1 Jiwa juga memaparkan ketulusan kasih seorang ibu yang tidak sanggup melihat penderitaan yang ditempuhi anak kesayangannya. Turut dipaparkan kehadiran cinta yang tidak mengenal sifat serta kekurangan seseorang, mungkin kedengaran klise namun realitinya setiap insan berhak untuk dicintai dan mencintai.

Filem bercorak kekeluargaan ini, bagaimanapun, tidak memberatkan pemikiran atau terlalu menekan perasaan penonton untuk tenggelam dalam kekalutan serta dilema yang dihadapi pasangan kembar itu.

Sebaliknya Razak mengambil pendekatan ringan dan ringkas dengan menyelitkan unsur komedi untuk mengimbangi perjalanan filem itu.

Kebiasaan formula yang menjadi identiti Razak dalam setiap garapannya lantaran menyedari sebilangan besar penonton selesa memilih genre menghiburkan.

“Dalam setiap filem yang dihasilkan saya cuba membawa rencah berbeza. Sama seperti 2 Hati 1 Jiwa, kisah unik ini belum pernah dicuba dalam mana-mana industri perfileman. Ia memberi keyakinan kepada saya, filem ini mempunyai kekuatannya tersendiri. Perancangan besar saya adalah untuk membawa 2 Hati 1 Jiwa ini ke luar negara sekali gus mengenengahkan isu semasa bercorak kejiwaan,” katanya.

Filem ke-28 arahan Razak itu juga menelan kos penerbitan yang tinggi terutama untuk solekan kesan khas bagi mencantumkan dua watak utamanya, Lana lakonan Fouziah Gous dan Lina oleh Yasmin Hani.

Membelanjakan hampir RM200,000 untuk kesan khas yang menggunakan khidmat pakar dari Q-FX, Bangkok, 2 Hati 1 Jiwa menjadi taruhan besar Lineclear Motion Pictures untuk permulaan 2010.

Pertaruhan berani Lineclear apabila menampilkan Fouziah dan Yasmin Hani sebagai teraju utama meskipun watak kembar itu turut diintai beberapa pelakon besar lain. 2 Hati 1 Jiwa menguji kekuatan fizikal dan mental dua pelakon muda itu untuk berdepan pelbagai kesukaran sepanjang 25 hari penggambaran.

Untuk menyiapkan kesan solekan saja, mereka terpaksa berada di lokasi tiga jam awal sebelum penggambaran dilakukan.

Pelbagai kesukaran terpaksa ditempuhi, malah memberi kesulitan kepada mereka untuk bergerak dan makan sehingga menyebabkan kedua-duanya mengalami kesakitan pada bahagian pinggang.

“Nampak mudah, pergerakan kami juga kelihatan seiring tetapi kesakitan yang ditanggung cuma Tuhan saja yang tahu. Untuk meredakan kesakitan itu, kami terpaksa tidur. Satu cabaran ketika penggambaran dilakukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila tiada katil disediakan untuk kami berehat.

“Disebabkan tiada pilihan lain, saya dan Yasmin terpaksa menyusun sofa dan berbaring di atas lantai kerana kesakitan yang ditanggung berlanjutan sehingga akhir penggambaran,” kata Fouziah.

Lana diterjemahkan Fouziah sebagai seorang yang ceria dan keanak-anakan tetapi malangnya apa yang cuba ditonjolkannya itu tidak kesampaian. Lana terlalu keanak-anakan, tidak sepadan usianya yang sudah mencecah 21 tahun. Bahkan ada ketika persembahan lakonan Fouziah seperti menggambarkan Lana berdepan kecacatan mental.

Fouziah harus belajar mengawal lakonannya supaya tidak nampak keterlaluan dan dibuat-buat. Dia masih lemah dalam memahami tuntutan skrip membuatkan kemunculan Lana membangkitkan rasa rimas kepada penonton.

Pujian wajar diberikan kepada Yasmin yang memainkan peranan Lina. Dia menterjemahkan watak Lina dengan baik, malah menyerlahkan kematangannya sebagai kakak yang menjadi pelindung kepada adik kembarnya. Yasmin tidak terlalu mencuba tetapi Lina di tangannya dibawakan dengan ringan dan kemas namun menyerlahkan kematangan dan pemahamannya terhadap lakonan.

2 Hati 1 Jiwa mungkin memenuhi selera sesetengah khalayak yang mencari filem sebagai wadah hiburan untuk membebaskan minda daripada tekanan. Seperti kebiasaan, Razak mengadunkan semua ramuan yang menjadi formula kejayaan filem garapannya dan 2 Hati 1 Jiwa juga memenuhi kriteria produksi yang berjaya di matanya.

Tetapi setiap manusia mempunyai penilaian berbeza dan tidak mustahil 2 Hati 1 Jiwa juga mampu mencatat kutipan memberangsangkan seperti yang diterima Sifu & Tongga ketika ditayangkan pada Januari tahun lalu.

Sinopsis:

LANA dan Lina, dua adik beradik yang bercantum di kepala sentiasa mempunyai perbezaan dalam diri mereka. Pun begitu, mereka masih mampu hidup bersama sebagai kawan baik serta dilindungi daripada elemen luaran sosial kerana dikawal kedua ibu bapa mereka. Sejak kecil, mereka tidak pernah dihantar ke sekolah awam. Sehingga suatu hari, ibu bapa mereka menyedari keperluan untuk mendedahkan mereka kepada dunia luar supaya tidak terlalu bergantung kepada keluarga. Peluang untuk mereka belajar berdikari bermula apabila dipilih memasuki pusat pengajian tinggi. Buat pertama kali dalam kehidupan mereka, perasaan benci sesama sendiri muncul. Hanya pembedahan yang mampu menjadi penyelesaian terhadap konflik ini.

Pulau Asmara kurang menghairahkan (Berita Harian : B*Pop)




Amy, lakonan Nadia Kesumawati kurang senang apabila Jeffri (Abby Azis) cuba mendekati anaknya.

Cerita menarik tapi aksi pelakonnya kurang meyakinkan

Filem: Pulau Asmara
Pengarah: Uttam Kumar Thangiah
Pelakon: Faizal AF4, Sheikh Bolkhiah, Abby Azis, Leez Rosli, Nadia Kesumawati, Sahsha Asheela, Datuk Aziz Singah dan Latif Ibrahim
Genre: Komedi Romantik
Tarikh tayangan: 17 Disember 2009.

HARUS diakui Pulau Asmara yang diterbitkan Alakazam Productions ini adalah sebuah percubaan berani kerana produksi ini tidak disokong oleh nama komersial yang mampu menarik penonton ke panggung.

Pulau Asmara juga bertandang ke pawagam tanpa terlalu digembar-gemburkan. Cuma kebelakangan ini ia mula dibicarakan, membangkitkan pelbagai persoalan ke pada khalayak yang tertanya-tanya mengenai kehadiran filem ini.

Alakazam Productions bukan nama baru kerana ia dijelmakan menerusi penjenamaan semula Snap Productions Sdn Bhd yang berpengalaman dalam penerbitan drama, dokumentari, iklan serta filem pendek.

Bagaimanapun, untuk menyahut seruan serta mengembangkan lagi penerbitan filem tempatan Alakazam Productions mengorak langkah berani dengan menerbitkan Pulau Asmara.

Mengambil latar keindahan pulau legenda, Langkawi, penggambaran filem ini dimulakan pada 29 Mac lalu dan berakhir pada 18 April lalu selama tiga minggu.

Pulau Asmara berkisarkan tiga pemuda yang bercuti ke Langkawi dan menginap di sebuah resort lima bintang. Tanpa diduga, percutian itu menemukan mereka dengan pasangan masing-masing yang mempunyai latar berbeza serta unik.

Sukar untuk meramalkan sejauh mana Pulau Asmara mampu memikat hati penonton. Tanpa disokong oleh barisan pelakon yang mempunyai nama besar, apakah filem yang menjengah pawagam sejak 17 Disember lalu akan mendapat dokongan pencinta filem tempatan?

Uttam Kumar barangkali berpengalaman dalam pengarahan dokumentari dan drama, namun garapannya tidak diperincikan dengan baik membuatkan perjalanan cerita Pulau Asmara agak lemah dan kurang meyakinkan.

Industri seni tidak dinafikan memerlukan muka baru sebagai pelapis tetapi sesuatu yang wajar dititikberatkan oleh produksi ini adalah terlebih dulu mengenal pasti kekuatan mereka untuk diketengahkan di layar lebar.

Pulau Asmara tidak dibantu oleh lakonan yang kuat daripada barisan pelakon baru itu, malah cukup meresahkan kerana kelemahan penghayatan pada sebahagian besar watak yang ditampilkan.

Paling ketara persembahan Shasha Arsheela sebagai Lina yang menderita kanser serta berputus asa untuk meneruskan hidupnya.

Watak itu ditangani Shasha tanpa mendalami jiwa dan pergolakan berat yang sedang dialami gadis itu membuatkan Lina kurang bermaya dan gagal menyentuh perasaan penonton.

Simpati terhadap Lina hilang sebaliknya yang kedengaran cuma hilai tawa penonton apabila Shasha melontarkan dialognya. Tiada rasa, tidak ubah seperti cuma membaca semula skrip yang diberikan kepadanya.

Lakonan Sheikh Bolkhiah sebagai Jeffri juga memerlukan desakan untuk tampil lebih berkesan. Persembahan pelakon baru itu juga hambar.

Cuma Pulau Asmara bernasib baik kerana dibantu Leez yang membawakan watak Sofea, gadis kampung yang cacat dan mendambakan cinta daripada Sam, lakonan Faizal.

Leez antara bakat baru yang seharusnya diberi kepercayaan untuk diuji dengan peranan lebih berat dan mencabar kerana dia memahami tuntutan yang diperlukan untuk watak Sofea.

Terserah kepada khalayak untuk menilai kekuatan filem ini kerana setiap individu mempunyai mata serta pandangannya yang tersendiri.

Pulau Asmara bagaimanapun, bukan sebuah persembahan kosong kerana filem ini juga mempunyai falsafah serta mesej yang ingin disampaikan. Sesuatu yang akan terus bermain di fikiran penonton apabila selesai menonton filem ini adalah memikirkan kebenaran falsafah yang cuba dibawakan.

Sesuatu yang tidak dirancang ada kalanya terjadi memberi kesan positif kepada hidup ini. Itu falsafah yang menggerakkan Pulau Asmara.

Sinopsis:

TIGA pemuda berbeza karektor, Taufik; Jeffri dan Sam mengambil keputusan untuk bercuti di Langkawi. Taufik seorang yang konservatif; Jeffri pula seorang playboy manakala Sam gemar berlawak.

Percutian yang dirancang berjalan sempurna sehinggalah takdir menemukan mereka dengan tiga gadis, Lina; Amy dan Sofea.

Pertemuan itu bukan saja mengubah percutian mereka, malah turut memberi dimensi baru dalam takdir kehidupan tiga pemuda itu.

Satu persatu konflik timbul yang merungkai pelbagai persoalan serta rahsia, malah menguji keutuhan persahabatan mereka. Mampukah mereka menghadapi takdir dan mencari jalan keluar?

Antara cinta sejati, nafsu serakah (Berita Harian : B*Pop)





  • Filem: Jalang
  • Pengarah Nazir Jamaluddin
  • Pelakon: Yasmin Khanif; Hairee Othman; Yank Kasim; Helmi Husaini dan Ridzuan Hashim
  • Tarikh Tayangan: 26 November 2009
JUDULNYA saja barangkali sudah cukup kuat membawa penonton ke pawagam untuk mengupas apa sebenarnya yang diterjemahkan oleh sutradaranya, De Baron Sdn Bhd menerusi produksi pertamanya ini. Persepsi awal Jalang pasti sarat elemen panas dan sensasi malah bakal membentangkan sebuah lagi palitan kontroversi menerusi aksi berani pelakon utamanya, Yasmin Khanif sebagai Maria.

Pemahaman itu barangkali didorong oleh pandangan kasar penonton yang cuma memusatkan tumpuan mereka kepada watak Maria tanpa cuba mendasari lebih jauh apa yang dipersembahkan Jalang. Jelas konotasi jalang itu sendiri membawa persepsi negatif, malah judulnya saja sudah membayangkan sisi gelap perjalanan keseluruhan filem itu.

Bagaimanapun, bukan itu yang cuba disandarkan De Baron untuk menjual Jalang. Masih ada mesej besar cuba disampaikan lewat filem yang menjalani penggambaran di Langkawi, Kedah itu pada penghujung filem itu. Jalang cuba mengupas pengertian cinta sejati, nafsu, kerakusan, tamak haloba, bongkak dan kecurangan apabila manusia sanggup tunduk kepada dorongan syaitan untuk mencapai segala cita-cita mereka.

“Jalang pada perspektif kami disampaikan dalam bentuk berbeza. Filem ini tidak sesekali mengeksploitasi tubuh menarik wanita sebaliknya cuba mengupas definisi jalang menerusi paparan watak yang digarap dan pada akhirnya penonton akan memahami siapa ‘jalang’ yang sebenarnya,” kata penerbitnya, Imran Ismail.

Persoalannya, mampukah impian besar penerbit untuk mengajak penonton mendasari apa sebenarnya yang disampaikan lewat Jalang tercapai? Atau barangkali impian itu sekadar retorik dan Jalang akan terus diingati sebagai sebuah lagi filem yang menggunakan kuasa wanita seksi untuk menarik perhatian penonton?

Persoalan itu masih menjadi tanda tanya. terserah pada penonton untuk menilainya apabila filem ini bakal ditayangkan bermula Khamis ini (26 November) di seluruh negara.

Berkisar naratif yang mengutarakan isu klise iaitu kisah wanita yang menggunakan kecantikan dan susuk tubuh untuk mendapatkan segala yang dihajati bukan sesuatu yang baru, apakah filem ini mampu menyamai kisah wanita dan nafsu seperti dalam filem perempuan, Isgteri Dan... arahan U-Wei Saari suatu ketika dulu pada awal 1990-an?

Begitu juga lelaki yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan wanita sudah lama dijadikan latar sama ada dalam filem atau pun drama tempatan. Apakah kelainan yang digarap dalam filem ini. Memang elemen seks mampu menjadi elemen pelaris kepada sesebuah filem tetapi seharusnya ia boleh menjadi lebih dramatik dan beremosi dengan kekuatan plot yang menyokong perjalanannya.

Nazir bagaimanapun, membentangkan Jalang begitu saja membuatkan penonton beranggapan Maria terlalu murah kerana begitu mudah membiarkan dirinya menjadi santapan lelaki hidung belang. Watak Maria, perempuan yang menggunakan kuasa seks untuk meraih kesenangan dan kejayaan yang dilakonkan Yasmin cukup panas.

Yasmin mungkin mampu mencipta nama dengan pantas kerana keberaniannya beraksi dalam Jalang. Biarpun tidak keterlaluan namun itu sudah cukup untuk membuat namanya menjadi bualan dalam industri hiburan tanah air. Dari satu sudut, Jalang berjaya memperkenalkan nama Yasmin tetapi cukupkah hanya setakat itu? Yasmin menerusi filem ini kelihatan kurang konsisten dan ada kekurangan dalam memahami tuntutan terhadap watak yang menjadi nadi kepada filem ini. Yasmin menterjemahkan watak Maria dengan pemahaman yang sederhana, mungkin ilmu lakonannya masih cetek.

Namun, ada ketikanya aksinya berlebihan yang memungkinkan penonton pasti berasa mual yang memperlihatkan Maria begitu murah dan tiada harga diri. Melihat mutu lakonannya mungkin penonton boleh menilai sejauh mana keistimewaan Yasmin hingga membolosi senarai Top 5 dalam pencalonan Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia Ke-22, Ogos lalu.

Pertaruhan berani De Baron kerana Jalang hadir tanpa bersandar kepada nama sedang popular namun ceritanya akan menentukan segala-galanya.

Sinopsis:

MARIA ialah seorang Perunding Kanan di syarikat antarabangsa milik Tan Sri Jamaudi yang memperdagangkan tubuhnya untuk mendapatkan projek besar dalam dan luar negara. Dia terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram yang juga anak kepada Datuk Nahu, orang perantaraan yang menjadi ‘jambatan’ kepada kehidupan tidak bermoral. Selepas dibuang kekasihnya, Maria membawa diri ke kampung ibu angkatnya, Mak Esah untuk muhasabah diri. Dia diburu teman baiknya, Ben Adam yang dalam diam menyintainya tetapi cinta itu tidak terucap kerana Maria terlalu dibuai cinta mendalam terhadap Ikram. Pada masa sama, Ali Topan yang diupah Puan Sri Serina menjadi terlalu obses terhadap Maria. Dia menjejaki Maria ke setiap pelusuk tanpa diketahui wanita itu. Malang menimpa Maria apabila dia ingin kembali ke pangkal jalan.

Penangan GI Joe! (Berita Harian : B*Pop)


Oleh Suzan Ahmad

Antara pelakon utama dalam GI Joe-The Rise of The Cobra.

Info

FILEM: G.I Joe - The Rise of The Cobra

PENGARAH: Stephen Sommers

PELAKON: Channing Tatum, Sienna Miller, Marlon Wayans, Dennis Quaid, Ray Park, Adewale Akinnuoye-Agbaje, Said Taghmoui dan Rachel Nichols.


GENRE: Aksi/ Sains fiksyen

MULA TAYANG: 7 Ogos 2009

GOVERNMENT Issue, itu rupanya maksud kependekan GI dalam filem aksi lasak GI Joe yang sudah pun mula menjengah panggung mulai Khamis lalu. Puas difikirkan selama ini dan rasanya ramai yang tidak tahu, apapun sekurang-kurangnya dapat juga berkongsi sedikit latar belakang mengenai asal usul koleksi permainan figura aksi terkenal keluaran Hasbro ini.

Bukan hendak memandai (maklum yang minat permainan begini majoriti budak lelaki) tapi melalui pembacaan, musuh ketat pasukan GI Joe ini dipanggil Cobra Command. Dan hakikat itu membawa penulis dan penonton kepada satu kesimpulan bahawa filem ini pasti ada kesinambungannya – The Rise of The Cobra.

Untuk menandingi kemampuan dan keupayaan filem musim panas berkelas mega, Transformers: Rise of The Fallen mungkin masih jauh terutama dari segi impak promosi serta penjenamaan, begitupun sekurang-kurangnya dari segi visual dan koreografi aksi lasaknya, kita masih boleh nampak dan faham apa yang menghentam apa dan siapa yang dihentam dan menghentam.

Hendak buat penonton ternganga dengan kesan khas janaan komputer grafik (CGI) yang maha canggih memang boleh, tapi kalau tidak diperincikan visualnya, tidak guna juga. Di situ letak kekuatan filem ini yang berlatar naratif cukup ringkas dan mudah difahami biarpun penulis akui penonton yang pernah membesar dengan karakter figura aksi begini selain khalayak yang dahagakan filem aksi mantap penuh teknologi dan visual definisi tinggi yang akan tenggelam dan terus layan dengannya.

Apa yang pasti, khalayak yang lapar dan dahagakan filem aksi fiksyen sains begini pasti akan kenyang kerana seawal babak pertama lagi letusan, dentuman dan adegan pertarungan cukup padat. Sesekali seperti nafas tersekat-sekat dek impak bunyi yang cemerlang. Cuma perlu diingatkan, kanak-kanak bawah 13 tahun perlukan pengawasan ibu bapa jika teringin untuk menontonnya, faham sajalah walaupun adaptasi daripada karakter permainan elemen komersil dan sensasi pasti tidak dilupakan.

Stephen Sommers nyata bijak menyuntik elemen kedewasaan dalam naratif dan plot GI Joe memberikannya satu keseimbangan. The Rise of The Cobra antara lain mengisahkan dua anggota tentera darat elit Amerika Syarikat, Duke (Channing Tatum) dan Ripcord (Marlon Wayan) yang diserang hendap sewaktu diberi tanggungjawab untuk mengiringi penghantaran senjata nuklear berteknologi tinggi mengandungi ‘nanomites’ – robot mikroskopik yang mampu memusnahkan apa saja di muka bumi. Bekas teman wanita Duke, Ana (Sienna Miller) mencuri senjata berkenaan sekali gus cuba menghapuskan Duke dan Ripcord. Namun cubaan itu gagal apabila mereka diselamatkan Alpha Team, GI Joe sebuah kumpulan askar yang sangat elit dan sulit, dianggotai pahlawan ala ninja Snakes-Eyes (Ray Park); pakar persenjataan Heavy Duty (Adewale Akinnuoye-Agbaje), pakar teknologi Breaker (Said Taghmaoui) dan pakar senjata panah Scarlett (Rachel Nichols). Melihatkan ketangkasan Duke dan Ripcord, Team Alpha terus menawarkan mereka untuk menyertai GI Joe dengan mengunjungi The Pit, pusat latihan GI Joe diketuai General Hawk (Dennis Quaid).

Selainnya, penulis rasa penonton sendiri boleh mengagak bagaimana penyatuan antara Duke, Ripcord dan Alpha Team dalam usaha mengembalikan nanomites bakal memberikan impak. Bak kata orang putih ‘action speaks louder than words’.

Apapun macam rugi pula rasanya apabila aktres berkelas A seperti Sienna Miller dan Channing Tatum diletakkan dalam filem aksi yang karakternya tidak banyak bermain dengan emosi.

Transformers padat aksi, elemen CGI (Berita Harian : B*Pop)

Oleh Suzan Ahmad

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/en/thumb/c/cb/TF2SteelPoster.jpg/220px-TF2SteelPoster.jpg
  • FILEM: Transformers: Revenge of the Fallen
  • PENGARAH: Michael Bay
  • PELAKON: Shia LaBeouf, Megan Fox, Josh Duhamel dan Tyrese Gibson
  • GENRE: Aksi/Adventure
  • MULA TAYANG: 24 Jun 2009

    KALI terakhir penulis menonton filem orang putih yang durasinya melangkaui dua jam, semestinya filem cinta tragik berjudul Titanic. Penuh dengan linangan air mata dan aksi mendebarkan. Itulah filem romantis tragedi yang cukup hebat dan indah pernah dihasilkan Hollywood.

    Selama 144 minit meluangkan waktu bersama Autobots dan Decepticon, dalam siri kedua Transformers penulis akur memang kebas kaki dibuatnya. Tetapi mengenangkan sudah tertunggu-tunggu kesinambungan perjuangan Autobots bersama manusia menyelamatkan bumi daripada dihancurkan Decepticon sejak 2007 lagi, maka, penulis gagahi juga.

    Seawal filem sekuel ini bermula, sehinggalah ke babak akhirnya, filem ini sememangnya ditujukan khas buat pencinta kesan khas imej janaan komputer (CGI) dan yang sewaktu dengannya. Aksi lagak ngeri yang cukup realistik cuma bila sudah terlalu berat dengan kesan CGI potensi untuk filem ini nampak tidak masuk akal dan mengelirukan juga amat ketara.

    Aksi bergasak (Autobot dan Decepticons) yang digambarkan dalam babak pergelutan dengan kesan khas yang terperinci, kadangkala mampu buat penonton tersilap antara siapa yang ditembak dan siapa yang menembak. Kelebihan Michael Bay harus diakui dalam hal memberikan sogokan kesan khas yang melampau tetapi ada buruk dan baiknya.

    Sebenarnya, agak kecewa sedikit kerana karakter pasukan Autobots yang diketuai Optimus Prime dan musuh sepanjang zaman Decepticon yang diketuai Megatron seolah-olah tidak diperkembangkan sepenuhnya. Seolah-olah Michael lebih mementingkan babak kesan khas serta letusan dan dentuman, ledakan bom dan tembakan senjata berat di sana sini berbanding robot sebagai karakter utama. Ia menjadi teerlalu artificial dan mengarut!

    Lebih mengejutkan, Revenge of the Fallen sarat dengan aksi ganas yang kurang sesuai untuk tontonan kanak-kanak terutama pada babak pertembungan antara Autobots dan Decepticon. Megatron jadi kurang penting dek kemunculan The Fallen yang menjadi ibu segala kejahatan. Belas ihsan memang tiada. Mungkin kerana babak keganasan itu membabitkan entiti yang terbentuk dari logam, maka rasa gerun tidak terlalu menguasai kerana tidak membabitkan pertumpahan darah.

    Peranan Megan Fox sebagai Makaela ternyata lebih kepada memberi daya tarikan seksual kepada jalan cerita yang kurang kemas. Setiap kali dia bersama dengan Shia, babak membeku, seolah-olah Shia yang membawa karakter Samuel Witwicky sendiri tidak percaya, ada wanita secantik dan seksi seperti Makaela yang menggilainya.

    Sebaliknya, tiap kali Shia berdepan dengan robot yang tidak berjasad, dia berjaya menyempurnakan rasa empati terhadap entiti itu.

    Dalam gah dan hebatnya Bay mengolah kesan khas, jangan terkejut kalau masih ada babak siaran ulangan saling tak tumpah seperti babak Pearl Harbor arahan Michael sebelum ini.

    Apapun, ibu bapa dinasihat berjaga-jaga dengan skripnya yang berbaur seksual, bahasa kesat, unsur perkauman serta juga beberapa babak membabitkan penggunaan dadah yang kurang sesuai untuk tontonan khalayak di bawah umur.

    Transformers: Revenge of the Fallen mengisahkan kehidupan baru Samuel yang memilih untuk meneruskan pengajian di universiti manakala teman wanitanya, Makaela meneruskan minatnya dalam bidang automotif. Pada masa sama, serpihan Decepticon yang diketuai Starscream masih berusaha untuk mengesan tempat persemadian Megatron dan mengembalikan semula era The Fallen, bekas pemimpin agung Decepticons.

    Untuk itu, Decepticons perlu mengesan kod rahsia bagi menjejaki kunci kepada sumber kuasa yang bakal menghancurkan bumi iaitu ‘Matrix’ yang tertanam sejak berkurun lama. Tanpa disedari, kod rahsia berkenaan sebenarnya tertanam dalam minda Sam. Ini menyebabkan dia dan Makaela diburu Decepticon.

'Usah sentuh cerita itu lagi' (Harian Metro)

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

TIDAK dinafikan lagi 2009 boleh dianggap tahun paling kontroversi buat pelakon filem Skrip 7707, Fasha Sandha. Buat seketika, Fasha tidak dipandang oleh media tempatan gara-gara tercetusnya cerita hangat serta krisis dengan wartawan hiburan sehingga menjejaskan kemunculannya di dada akhbar dan majalah.

pix_middle
Bagi rata-rata wakil media, 'hukuman' itu tidak lain daripada satu protes bahawa Fasha harus lebih telus dan jangan sekali-kali memperlekehkan kredibiliti mereka yang selama ini ikhlas membantunya dalam dunia seni.

Hari ini, dengan kemunculan 2010, Fasha ingin melupakan segala kisah yang pernah terjadi. Dia ingin membuka buku baru. Fasha sedar antara artis dan wartawan saling memerlukan lalu membuatkan dia berazam untuk memperbaiki kelemahan diri dan menjernihkan semula keadaan.

Tambah menggembirakan Fasha, namanya turut tercalon sebagai finalis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH2009) yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 4 April ini.

Justeru, Fasha yang akan meraikan ulang tahun ke-26 pada 28 Mac ini menganggap 2010 suatu permulaan yang sangat baik buat dirinya biarpun tidak mengharapkan apa-apa kemenangan dalam mana-mana anugerah.

"Saya memang tak sangka mampu berada dalam Top 5 ABPBH2009. Kejayaan itu menyuntik semangat saya untuk memberikan yang terbaik kepada semua peminat saya yang tidak purus-putus memberikan sokongan moral. "Kalau tidak kerana penonton, tidak mungkin saya akan terus berlakon dan berjuang sebagai anak seni.

"Cuma sekarang, saya berazam untuk lebih berhati-hati dalam pertuturan dan perbuatan. "Saya tidak mahu lagi terjebak dalam kontroversi yang merugikan diri sendiri walaupun saya sedar sensasi itu sentiasa membelenggu setiap mereka yang bergelar artis dan selebriti. "Ia bukan sesuatu yang dirancang, tetapi selalu berlaku di luar jangkaan diri saya sendiri.

"Kalau boleh, saya ingin menjadi Fasha Sanda yang lebih matang sekarang dan mahu menempuh hidup ini dengan ceria dan tenang. "Memang saya sebagai manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan yang tidak disedari. Jadi saya akan berazam untuk memperbaiki kelemahan diri saya yang tidak sempurna ini supaya lebih disenangi orang," ujarnya.

Seperkara yang nyata, soalan mengenai calon kekasih dan suami kerap kali dilontarkan kepada Fasha termasuk dia dikatakan sudah berbaik semula dengan bekas teman lelakinya, Rizal Ashram Tan Sri Ramli.

Tidak melatah atau melenting, Fasha hanya mampu tertawa kecil.

"Boleh tak kita jangan sentuh cerita itu lagi. Buat masa sekarang biarlah saya berkongsi cerita mengenai kerjaya saya. Apa yang dapat saya saya katakan, saya memang berkawan rapat dengan seseorang. "Selebihnya, saya tidak mahu cakap lagi sebab belum ada sebarang ketetapan ke arah berumah tangga.

"Seperti yang saya katakan, saya sekarang kena lebih berhati-hati memberikan kenyataan. Saya sedar saya tidak boleh menghalang apa jua tanggapan masyarakat terhadap diri saya. "Apa yang lebih penting sekarang, saya mahu terus menjadi seorang pelakon berdisiplin yang mampu memberikan kepuasan melalui hasil kerja saya," katanya.

Kenapa pula dengan disiplin? "Dalam karier lakonan, saya sangat mengutamakan disiplin. Saya akan datang awal di setiap lokasi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pelakon. Faham sajalah lakonan adalah sumber pendapatan utama saya. Jadi saya kena jaga periuk nasi saya itu.

"Setakat ini, biarpun kisah peribadi diperkatakan orang, ia tidak pernah menjejaskan disiplin saya dan ia juga tidak pernah dipersoal orang. "Menyedari pula saingan pelakon semakin ramai sekarang, saya kena pandai merebut peluang dan bekerja keras. "Apapun, saya masih tidak menyangka masuk senarai Top 5 dalam ABPBH2009 selepas banyak dugaan yang saya dilalui tahun lepas. Terima kasih kerana masih ada peminat yang sudi mengundi dan menyokong saya," katanya yang bersaing dengan Noorkhiriah, Rozita Che Wan, Scha Al-Yahya dan Tiz Zaqyah dalam anugerah tahunan itu.

Dari segi lakonan, Fasha akan muncul dalam filem 4 Madu arahan Prof A Razak Mohaideen tidak lama lagi. Di kaca TV, sebaik saja selesai membintangi drama yang mencetus kontroversi, Spa Qistina, Fasha dilamar pula membintangi telefilem Bagaikan Sumayyah untuk siaran TV3 serta Dia Atilia (Astro).

TAJAAN MOTOSIKAL: Terima kasih, Azman dan Yazid dari Naza Bikes Sales & Distribution Sdn Bhd, No 15, Persiaran Selangor, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.

TAJAAN SOLEKAN: Tiar Zainal (013-628 4835)

Priyanka tanpa aksi panas (Kosmo)


PRIYANKA CHOPRA


BIARPUN memiliki tubuh yang seksi dan melakonkan watak seorang wanita yang mempunyai tujuh orang suami dalam filem arahan Vishal Bhardwaj, Saat Khoon Maaf, Priyanka Chopra sebaliknya tidak akan melakukan aksi lakonan panas.

Menurut Vishal, untuk filem itu, Priyanka akan berlakon tanpa mendedahkan tubuhnya atau melakukan aksi-aksi yang mengghairahkan.

"Biasanya Vishal gemar meletakkan babak-babak panas bagi setiap filemnya seperti Omkara, Ishqiya dan Kaminey tetapi tidak bagi filem ini.

"Semasa menghasilkan skrip, ada beberapa pendapat yang memintanya untuk meletakkan satu atau dua babak seks dalam filem tersebut dan Vishal menolak pendapat itu.

"Baginya dia ingin mengubah cara kreativitinya dan mahu menguatkan plot cerita tanpa babak panas," kata sebuah sumber kepada agensi berita India, IANS.

Niyang Rapik cabar LJ (Berita Harian)

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


LIYANA Jasmay akui penakut tapi Niyang Rapik mencabar dirinya.

Tempoh 10 hari di Tasik Kenyir bagaikan kejutan budaya

LIYANA JASMAY atau nama akronimnya, LJ, 21, bukanlah dalam kategori manusia yang berani. Dalam erti kata lain, artis genit manja berusia 21 tahun ini memang penakut orangnya. Tapi demi tuntutan watak, Pelakon Filem Wanita Terbaik pada Festival Malaysia Ke-22 dan Anugerah Skrin 2009 ini sanggup mencabar dirinya.

Selepas filem Syaitan dan Histeria, buah tangan terbarunya menerusi filem Niyang Rapik ternyata memberi sisi seram berbeza buat dirinya menerusi watak Laila. Filem arahan Ahmad Idham yang diedarkan Metrowealth Movies Production itu sudah pun menemui penggemar wayang mulai 25 Februari lalu.

Bayangkan hari pertama saja ketika penggambaran filem ini diadakan tahun lalu di Tasik Kenyir, Terengganu, LJ yang mesra membahasakan diri sebagai Nana terpaksa berkurung dalam bilik selama satu jam kerana pertama dia tidak biasa tinggal di atas rumah bot dan bayangan pengarahnya terhadap kehebatan rumah bot itu tersasar.

“Ia seperti kejutan budaya buat Nana apatah lagi itu kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir. Sepuluh hari berada di sana, ia satu pengalaman menarik dan menyeramkan untuk dikenang kembali. Air terjunnya pun sungguh cantik dan banyak ikan toman di dalam air. Mandi sungai pun sangat menyeronokkan.

“Selepas membiasakan diri, Nana tidak takut untuk menjalani penggambaran. Cuma yang rasa seram sejuk dan gementar ketika nak tidur saja. Mujur ibu Nana setia menemani dan kami di kalangan pelakon sentiasa diawasi Uncle Tok Bah yang diberi mandat sebagai penasihat bahagian mistik.

“Filem ini juga yang pertama kali memerlukan Nana berada di hutan sepenuh masa. Berada di tempat orang, dalam hutan pula itu, Nana kena menjaga percakapan dan tingkah laku kerana takut melanggar sesuatu yang boleh memudaratkan,” katanya yang tidak mengalami pengalaman pelik sepanjang berada di sana.

Menurut Liyana, Niyang Rapik menjadi percaturan pertamanya memegang watak sebagai roh orang yang sudah mati. Watak Laila yang dipegangnya terlalu mencabar. Filem ini juga menjadi kerjasamanya buat kali kedua dengan Ahmad Idham selepas berlakon dalam drama Puaka Niyang Rapik di TV3 tahun lalu.

“Sukar juga untuk berada dalam karakter roh Laila. Dengan bantuan Uncle Tok Bah yang pakar dalam hal mistik, Nana diajarnya untuk memberi reaksi muka selamba dan banyak bermain dengan mata. Lontar dialog pun secara perlahan. Ia bukan peranan yang senang, malahan Nana menjadi satu-satunya pelakon tunggal perempuan.

“Ahmad Idham boleh Nana gambarkan seperti Afdlin Shauki daripada seorang pelakon yang bergelar pengarah. Jadi Nana boleh simpulkan mereka ini tahu situasi pelakon kerana sudah pernah berada di tempat itu. Kalau diam itu bermakna dia berpuas hati dengan prestasi pelakonnya,” katanya yang ketika artikel ini ditulis masih sibuk di lokasi penggambaran filem Khurafat bergandingan dengan Syamsul Haslam yang turut bertindak sebagai pengarah.

Dalam filem Khurafat, dia memegang watak sebagai isteri solehah bernama Aisyah yang bertudung. Filem itu juga buat pertama kali menggandingkan Liyana dengan Syamsul di layar perak. Filem itu turut menyaksikan Liyana bertudung buat julung kalinya.

“Kali pertama juga Nana bekerja dengan orang muda. Filem ini mengetengahkan kisah santau apabila dendam mula melingkari hidup. Dalam filem ini, Aisyah sangat menyayangi suaminya Johan lakonan Syamsul Yusof. Lalu, untuk menimbulkan emosi cinta, kami harus mencipta keserasian antara satu sama lain dan menolak sikap pemalu,” kata Liyana yang ditemui Hip ketika pratonton filem Niyang Rapik terbitan Excellent Pictures Sdn Bhd pada 2 Februari lalu di Cineleisure, Damansara.

Kembali menjadi pelajar

DALAM pada masa yang sama, Liyana kini kembali bergelar pelajar dalam Diploma Seni Persembahan & Media di Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor. Untuk semester ini, dia hanya mengambil semula dua subjek iaitu Penyuntingan Filem dan Sejarah Teater yang pernah diambil semester sebelumnya tapi gagal.

“Insya-Allah, Nana akan tamat pengajian ini pada tahun depan. Tumpuan saya kini semestinya pada pengajian dan tawaran berlakon akan dipertimbangkan sekiranya pihak produksi boleh mengikut jadual pengajian. Pada masa yang sama, saya juga merancang pada masa mendatang untuk mengambil kursus pendek dalam lakonan dan penulisan.

“Nana mungkin akan mengambil kursus itu di luar negara selepas tamat pengajian diploma. Ikutkan hati nak ke Los Angeles atau New York. Tapi paling dekat mungkin di Australia. Bagaimanapun, ramai yang mengesyorkan saya ke New York Film Academy (NYFA). Tengoklah macam mana,” katanya yang bakal muncul dengan single ketiga, Penyelamat Cinta bersama Aizat tak lama lagi.

Bersyukur tercalon

DALAM perkembangan lain, tahun ini Liyana bolos buat kali kedua dalam kategori Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009. Tahun lalu, Maya Karin memenangi kategori itu. Tahun ini, sekali lagi Liyana bersaing dengan Maya di samping Diana Danielle, Lisa Surihani dan Sharifah Amani.

Dengan pencapaian mantapnya tahun lalu memenangi Anugerah Skrin 2009 dan Festival Filem Malaysia ke-22, sudah ada yang meramalkan potensinya untuk menggenggam trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2009. Bagaimanapun, dia tidak menaruh harapan terlalu tinggi.

“Syukur Alhamdulillah ada peminat yang masih menghargai bakat Nana. ABPBH semuanya lebih kepada penghargaan peminat kepada artis kesayangan mereka. Peminat yang sanggup menghabiskan duit membeli surat khabar dan menanda artis pilihan mereka. Malah pada tahun ini juga diperkenalkan undian melalui SMS.

“Menang atau kalah bukan isu di sini. Apa yang lebih penting, sebagai anak seni, Nana boleh membalas jasa peminat dengan meningkatkan prestasi lakonan. Ia adalah persaingan sihat dan tercalon itu sudah memadai. Saya pun jenis yang suka pakai baju cantik dan menghadiri acara membabitkan permaidani merah,” katanya yang bakal melaram busana rekaan Rizman Ruzaini.

Mahu Niyang Rapik jadi jenama

SEMENTARA itu, Ahmad Idham yang ditemui berharap Niyang Rapik akan terus menjadi jenama genre seram yang terhasil daripada cetusan ideanya. Di Indonesia sebagai contohnya pernah mewujudkan hantu yang dipanggil Mak Lampir. Filem ini adalah karya ketiga bergenre seram yang dihasilkan selepas Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Menurutnya, filem Niyang Rapik terhasil daripada Skim Pinjaman Filem Cereka yang disediakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Syarikat miliknya (Excellent Pictures) menerima RM1 juta dan kos keseluruhan menerbitkan Niyang Rapik ialah RM1.6 juta.

“Harapnya filem ini akan memberi nafas baru dalam genre filem seram secara amnya. Dengan kekuatan pelakon yang ada, ia mungkin menjadi nilai tambah untuk penonton ke panggung wayang. Saya bersyukur selepas pratonton, ramai pihak media yang memberitahu setiap kehadiran pelakon seimbang.

“Tiada yang cuba membayangi di antara satu sama lain. Penghasilan skrip filem ini mengambil masa enam bulan. Pemilihan lokasi Tasik Kenyir dilakukan kerana saya pernah pergi memancing di sana. Sebelum memulakan penggambaran di situ, kami ada berjumpa dengan penghulu kampung.

“Bagi mendapat kelancaran dan mengelak perkara yang tak diingini, kami ada bersedekah Al-Fatihah di Makam Tok Pulau Manis, Kuala Berang. Ia dibuat atas dasar memohon izin. Alhamdulillah sepanjang kami di sana, tiada masalah besar yang mengganggu. Setakat gangguan kecil itu adalah,” katanya.

INFO: Niyang Rapik

  • Penggambaran dilakukan di Bukit Cahaya Sri Alam (Bukit Cerakah) selama seminggu dan selebihnya sekitar Kuala Lumpur.

  • Turut dilakonkan Awal Ashaari, Zed Zaidi, Shaheizy Sam, Kamal Adli, Nasir Bilal Khan, Shahrolnizam dan Dian P Ramlee.

  • Ditayangkan mulai 25 Februari lalu.
  • Penerbit filem mahu saman Nabil (Berita Harian)

    Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
    rajamawar@bharian.com.my

    KUALA LUMPUR: Penerbit filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie (LPSdM) mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pelakon dan pelawak popular, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 27, kerana tindakannya mengeluarkan komen negatif dan gagal menghadiri promosi filem terbabit.

    Pengarah dan Penerbit Bersama filem itu, Aminah Rhapor, berkata tindakan terhadap Nabil wajar kerana perbuatannya yang dianggap keterlaluan dan menjejaskan imej SDAF Pictures Sdn Bhd, selaku syarikat pengeluar dan filem berkenaan, selain Nabil didakwa melanggar kontrak.

    “Walaupun membuat permohonan maaf terbuka menerusi media massa, dia (Nabil) sudah terlambat kerana kami berasakan Nabil sudah memburukkan filem lakonan sendiri yang diterbitkan syarikat kami, sekali gus melanggar kontrak yang ditandatangani.

    “Saya akan buat penjelasan lanjut mengenai tindakan saman ini selepas kepulangan rakan kongsi, Datuk Suhaimy Othman dari Medan, Indonesia. Pada asasnya, kami sudah sepakat dengan rakan kongsi lain iaitu Datin Munirah Kassim dan Jasmi Othman mengenai soal ini.

    “Keputusan ini agak berat tetapi saman ke atas Nabil tetap diteruskan. Kami bukan mahu menganiaya atau mencetuskan kontroversi. Ini pengajaran buat Nabil dan pelakon lain pada masa akan datang,” katanya kepada Berita Minggu.

    Difahamkan, SDAF Pictures Sdn Bhd akan menghantar surat tuntutan kepada Nabil selewat-lewatnya minggu depan. Bagaimanapun, jumlah tuntutan dirahsiakan dan akan diumumkan pada satu sidang media dalam masa terdekat.

    Kata Aminah, Nabil hanya membuat permohonan maaf terbuka dalam dua akhbar mingguan, termasuk Berita Minggu pada 14 Februari lalu, tetapi tidak secara terus kepada mereka selaku pengeluar filem berkenaan.

    “Nabil secara sedar atau tidak sudah melanggar kontrak yang menetapkan artis yang membintangi LPSdM tidak dibenarkan membuat kenyataan negatif terhadap filem berkenaan, sekali gus menjatuhkan nama baik syarikat. Kami tidak nampak kejujuran Nabil ketika membuat permohonan maaf berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, jika Nabil ikhlas memohon maaf dan menyesali kesilapannya, dia pasti datang berjumpa mereka atau sekurang-kurangnya menghubungi beliau untuk menjernihkan keadaan.

    Aminah yang juga pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, berkata tindakan sedemikian perlu dijadikan pengajaran dan tidak berlaku kepada produksi filem lain.

    “Kami melakukan promosi tanpa Nabil, sedangkan filem ini menggunakan tagline Nabil, Lu Fikirlah Sendiri. Nabil juga memegang watak utama dalam filem ini, tetapi dia sukar memberi kerjasama mempromosikan filem. Dia hanya tampil ketika majlis pelancaran lagu tema filem, pratonton filem dan satu sesi fotografi bersama Berita Minggu...itu saja sedangkan pelakon lain seperti Mila dan Puteri Sarah memberi kerjasama baik.

    Sebelum ini, Nabil dalam kenyataannya melahirkan perasaan kecewa terhadap filem lakonan sendiri, selain mendakwa pembikinan LPSdM tidak disempurnakan dengan baik.

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    Berita Harian: Hip

    Harian Metro: Rap