Kawan-kawan

Sabtu, 28 April 2012

Chow Kit pada mata Beto

APABILA membicarakan tentang sebuah lokasi yang dikenali sebagai Chow Kit, sudah terbayang dalam minda segelintir masyarakat tentang kegiatan seperti pelacuran, kongsi gelap dan dadah.

Itulah sekelumit kisah yang cuba dipaparkan menerusi filem berjudul Chow Kit dengan menyingkap dua kisah yang berbeza dengan berlatar belakang realiti kehidupan yang dilalui segelintir masyarakat di kawasan tersebut.

Bakal ditayangkan pada 3 Mei ini di pawagam seluruh Malaysia, filem terbitan Lightbulb Pictures itu turut menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Namron, Dira Abu Zahar, Yasmin Hani dan Lana Nodin.

Salah seorang pelakon filem Chow Kit, Beto Kusyairy yang hadir pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini berkata, penampilannya dalam filem tersebut agak berbeza dengan watak-watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.

“Dalam filem ini saya membawakan watak sebagai Mojo, seorang lelaki yang dibebaskan daripada hukuman penjara dan berazam untuk memulakan kehidupan baharu bersama ibunya yang tinggal di Chow Kit.

“Bagaimanapun, Mojo masih terus melakukan kerja-kerja kotor seperti meragut dan menjadi orang tengah untuk mengedar dadah yang kemudiannya berada dalam keadaan dilema apabila tersepit antara dua kumpulan kongsi gelap semasa melakukan satu tugasan bersama rakan baiknya,” ujarnya.

Kisah pertama dalam filem tersebut adalah mengenai sekumpulan remaja terbiar yang mengharungi kehidupan hitam di sebuah lorong Chow Kit. Apabila salah seorang rakan ahli kumpulan tersebut dirogol, mereka bersatu mencari keadilan untuk menuntut bela atas kejadian tersebut.

Sementara itu, kisah kedua pula berdasarkan tentang seorang ahli bekas kumpulan kongsi gelap di Chow Kit yang dibebaskan daripada hukuman penjara berada dalam keadaan dilema apabila terperangkap dalam situasi genting ketika melakukan satu tugasan terakhir.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai watak yang dibawakannya itu, Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan memberitahu, salah satu sebab dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem berkenaan kerana tertarik dengan karakter Mojo.

Jelasnya, meskipun watak Mojo digambarkan sebagai seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja jahat bersama rakan baiknya, tetapi apa yang dilakukan semata-mata mahu memberikan kehidupan yang lebih sempurna buat ibunya.


BETO banyak bergandingan dengan Sharifah Amani dalam drama-drama lakonannya.


“Pembabitan saya untuk filem ini lebih kepada kisah kedua yang menjurus kepada paparan mengenai permasalahan yang berlaku apabila kongsi gelap dan gengsterisme yang berlaku di Chow Kit.

“Di sebalik kegiatan negatif yang dilakukan, Mojo sebenarnya seorang lelaki yang sangat sayangkan ibunya setelah dia ditinggalkan oleh bapanya sejak kecil. Sejujurnya, saya cukup kagum dengan Mojo yang sanggup melakukan apa sahaja demi ibunya,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia risau sekiranya filem Chow Kit boleh menimbulkan kontroversi kerana memaparkan kisah hitam di kawasan yang paling menjadi tumpuan di ibu kota, pelakon berkenaan menyatakan banyak pengajaran yang boleh diperolehi menerusi filem tersebut.

“Saya rasa tidak akan timbul sebarang isu atau kontroversi dan saya percaya penonton sekarang sudah semakin bijak untuk menilai. Tidak dinafikan banyak juga pengajaran yang boleh didapati menerusi filem ini.

“Di sebalik tanggapan serong masyarakat terhadap Chow Kit, sebenarnya tempat tersebut cukup unik kerana di situlah dapat dilihat pelbagai kaum bekerjasama antara satu sama lain terutamanya menerusi kegiatan perniagaan yang dijalankan di situ,” tutur pelakon berusia 32 tahun itu.

Namun begitu, Beto tetap berpandangan bahawa pihak berwajib sudah sewajarnya melakukan sesuatu supaya Chow Kit tidak terus dipandang sebagai sebuah kawasan hitam oleh masyarakat. Malah kata Beto, Chow Kit merupakan salah sebuah tempat yang paling menarik di Kuala Lumpur.

Gosip hubungan dengan Amani

Semenjak terbabit secara serius dalam bidang lakonan sejak tahun 2003, ternyata Beto yang sudah berumah tangga sangat jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi yang membabitkan dirinya.

Apatah lagi kariernya sebagai pelakon telah diuruskan sendiri oleh isterinya iaitu Tisha Shahar dan menyatakan sangat selesa apabila mempunyai seorang isteri yang mampu menguruskan kerjayanya.

Bagaimanapun, baru-baru ini timbul dakwaan yang mengatakan bahawa pelakon berkenaan telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelakon wanita yang cukup popular iaitu Sharifah Amani.

Sewaktu ditanya mengenai dakwaan tersebut, ternyata pelakon yang ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Bravo 5 itu meluahkan rasa terkejutnya terhadap dakwaan tersebut.

“Sebenarnya saya sangat terkejut kerana belum pernah lagi mendengar tentang perkara tersebut. Lagipun agak mustahil untuk saya menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita kerana isteri sentiasa berada bersama memandangkan dia juga merangkap pengurus saya.

"Jadi, saya anggap dakwaan ini sebagai mengarut dan tidak masuk akal langsung. Kalau boleh saya tidak mahu mengulas mengenainya dan mengenai hubungan saya dengan Amani pula tidak lebih sekadar seorang abang dan adik.

Menurut Beto, dakwaan mengenai hubungan istimewanya dengan Amani boleh timbul apabila mereka berdua dilihat selalu digandingkan dengan pelakon tersebut menerusi drama dan telefilem.

"Memang kami selalu berlakon bersama seperti drama Cita & Cinta, Kashaf Imani dan Sesungguhnya. Malah, saya tidak nafikan kami berdua merupakan pelakon yang serasi apabila digandingkan bersama-sama.”

Selesa penampilan seksi

Sementara bagi pelakon Mazlina Hasan Nodin, 33, atau Lana Nodin, melakonkan watak sebagai seorang pelacur bernama Siah dirasakan paling mencabar sepanjang kariernya sebagai pelakon.


LANA berikrar akan terus kekal dengan imej seksi dirinya ini.


Namun, dia bersetuju melakonkan watak tersebut kerana tertarik dengan jalan cerita yang dihasilkan oleh penulis skrip, Shaharizal Hamzah dan Eenaz Mokhtar.

Jelasnya lagi, jika sebelum ini dia sudah sering melakonkan watak antagonis dan penggoda dalam drama dan telefilem, menerusi filem tersebut dia berpeluang untuk mencuba membawakan watak yang berlainan.

“Pembabitan saya dalam filem ini menerusi kisah yang pertama dan tiada kaitan dengan kisah yang kedua. Walaupun Siah merupakan seorang pelacur, namun naluri keibuannya sangat kuat dan dia tidak mahu anaknya, Tika mengalami nasib yang sama sepertinya.

“Setahu saya, apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku. Saya akui ketika membaca skrip yang diberikan, tiba-tiba saya menjadi sebak dan perasaan saya cukup tersentuh terutamanya babak anak Siah telah dirogol oleh pelanggannya sendiri,” katanya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang penggambaran filem tersebut sekitar awal tahun lalu, Lana memberitahu, dia dapat melihat sendiri situasi sebenar yang dilalui oleh penduduk di tempat tersebut.

“Jika mempunyai pilihan, saya percaya tidak ada wanita di dunia ini yang mahu menjadi seorang pelacur. Jadi saya berharap golongan sebegini tidak terus dipandang hina kerana ada dalam kalangan mereka yang sebenarnya tertindas dan menjadi mangsa keadaan,” ungkapnya.

Sepanjang bergelar pelakon, nama Lana Nodin sememangnya sering menjadi sebutan ramai terutamanya penampilannya yang kelihat seksi pada pandangan mata sesetengah orang sehingga pernah digelar Pamela Anderson Malaysia.

Ujar Lana, dia menegaskan bahawa dia sama sekali tidak mengubah penampilannya itu kerana berasa selesa dan menganggap seksi adalah sesuatu perkara yang subjektif dan terpulang kepada penilaian masing-masing.

"Cara pemakaian adalah hak peribadi saya dan biasanya saya akan berpakaian mengikut keselesaan diri. Adakalanya, apabila saya tampil dengan memakai baju-T pun orang akan cakap saya seksi.

“Saya tidak mahu terlalu cepat melatah dengan isu-isu sebegini. Orang ramai berhak untuk menilai dan berkata apa sahaja, tetapi yang penting saya tidak menjejaskan nama baik keluarga dengan melakukan perkara-perkara terkutuk,” tegasnya.

Jelasnya, dia lebih gemar sekiranya peminat memberi penilaian terhadap mutu dan gaya lakonan berbanding penampilannya. Malah, dia menegaskan akan terus kekal dengan imej dan penampilannya sekarang ini.

--- KOSMO

Berani Punya Budak tampilkan kelainan


PELAKON dan model terkenal Thailand, Supaksorn Chaimongkol turut memegang watak penting dalam filem Berani Punya Budak.


KEBANYAKAN filem genre aksi yang turut diselitkan dengan elemen komedi dilihat mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dalam kalangan penonton di negara ini.

Merujuk kepada penerimaan genre filem sedemikian yang diterima ramai, syarikat penerbitan dari Malaysia yang bekerjasama dengan syarikat dari Thailand iaitu Film Frame Production telah menerbitkan filem berjudul, Berani Punya Budak.

Bagaimanapun, filem tersebut sebenarnya merupakan adaptasi daripada filem berjudul Brave yang telah dihasilkan pada tahun 2007 dan cuma ditayangkan di Thailand.

Afdlin Shauki selaku pengarah Berani Punya Budak berkata, pihaknya berhasrat untuk menayangkan filem berkenaan di Malaysia pada tahun 2009, tetapi masalah cetak rompak yang berlaku menyebabkan hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

“Pada tahun 2010 saya telah merombak semula 30 peratus skrip asal filem Brave untuk menghasilkan filem ini. Rombakan yang dibuat bersesuaian dengan cita rasa dan budaya masyarakat di negara ini.

“Selain mengekalkan pelakon-pelakon asal seperti Awie, Sharifah Sofia, Supaksorn Chaimongkol, Pairote Boongerd dan saya sendiri, terdapat beberapa orang pelakon baharu yang turut serta iaitu Johan, Nabil, Adlin Aman Ramlie dan Riezman Khuzaimi,” ujarnya pada majlis tayangan perdana filem itu yang diadakan baru-baru ini.

Berani Punya Budak mengisahkan mengenai Mike B (Pairote) dalam misi menyelamatkan abang iparnya, Tong (Afdlin Shauki) yang telah ditangkap satu kumpulan Mafia.

Dia terpaksa menceroboh sebuah syarikat kad kredit antarabangsa Bank Wealthy dan menawan penolong presiden syarikat itu, Lita (Supaksorn) untuk mendapatkan data maklumat pelanggan. Namun, usahanya sia-sia apabila kumpulan Mafia itu bertindak ingin membunuh Pairote dan Tong setelah mendapat data yang dicuri.

Menurut Afdlin, filem Brave sebenarnya lebih serius dan tidak memaparkan sebarang unsur komedi.

Bagaimanapun, setelah perubahan dilakukan dia mengambil keputusan untuk menerbitkannya dalam bentuk aksi komedi.

“Filem ini masih lagi memaparkan banyak aksi terutamanya yang membabitkan pergaduhan, tetapi elemen komedi yang diterapkan menerusi dialognya yang sangat kelakar setelah dialih suara ke bahasa Melayu.

“Kalau dalam filem Brave semua dialog menggunakan bahasa Thai, untuk filem ini pula 100 peratus menggunakan bahasa Melayu dan itulah kelainan yang cuba ditampilkan dalam filem ini,” ujarnya.

Menurut Afdlin, sekiranya Berani Punya Budak meraih sambutan yang sangat baik daripada penonton, dia sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan sekuel filem tersebut.

Salah seorang pelakon, Awie yang ditemui pada majlis berkenaan berkata, dalam filem tersebut dia memegang watak sebagai John yang juga merupakan seorang pembunuh upahan.

Menurut Awie, watak John yang dibawakannya itu tidak banyak berdialog, seorang pengikut yang sangat taat dan setia serta mengikut segala arahan yang diberikan oleh ketuanya.

“Sebenarnya saya terbabit dalam babak-babak pergaduhan dan sebab itu dialog saya tidak terlalu banyak. Secara jujur saya sangat berpuas hati setelah melihat hasil filem arahan Afdlin ini.

“Paling menarik saya juga telah melakukan stunt sendiri dan banyak dibantu oleh rakan pelakon lain seperti Pairote. Namun, kalau diberi masa dua atau tiga bulan untuk membuat latihan, saya percaya dapat melakukan aksi stunt dengan lebih baik lagi,” ujarnya.

--- KOSMO

Khamis, 26 April 2012

13 artis wanita ‘mangsa’ pocong


BARISAN pelakon drama Amukan Pocong yang hadir pada sidang akhbar di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SELEPAS mencipta kejayaan menerusi drama rantaian Mantera Anjasmoro tahun lalu, pengarah drama terkenal, Aidilfitri Mohamed Yunus kini kembali dengan buah tangan terbarunya.

Masih lagi mengekalkan genre seram, kali ini Amukan Pocong menjadi pilihan Aidilfitri untuk slot Seram yang akan ditayangkan bermula Khamis ini mulai 15 Mac ini.

Aidilfitri mempunyai sebab tersendiri untuk terus menghasilkan genre tersebut memandangkan dia sendiri merupakan peminat filem-filem seram.

Malah bukan mahu bersikap bongkak atau membangga diri, katanya, sehingga hari ini masih belum ada karya seram yang benar-benar menakutkannya.

Meskipun peminat tegar karya pengarah handalan seperti John Carpenter dan Alfred Hitchcock yang cukup sinonim dengan genre seram, tetapi tiada satu pun yang mampu meninggalkan impak kepada dirinya.

“Saya seorang peminat filem seram dan jarang sekali ada filem seram baik dari Barat, tempatan mahupun negara Asia yang lain yang dapat meninggalkan kesan dalam hidup saya.

“Sesungguhnya sebagai pengarah, untuk memberikan kesan seram kepada penonton memang bukan satu tugas mudah. Menghasilkan filem seram bukan hanya menakutkan penonton dengan efek wajah yang menyeramkan.

“Saya percaya jika dengan penceritaan selain mesej yang hendak disampaikan, ia akan menjadi sebuah karya yang baik. Jangan sampai terpesong akidah sehingga timbulnya rasa khurafat dan bercanggah dengan syariah,” jelasnya sewaktu ditemui pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Amukan Pocong terbitan Padi Pictures menampilkan Azhan Rani, Ezany dan Iqram Dinzly sebagai teraju utama selain dibantu oleh Elly Mazlein, Liza Abdullah, Nam Ron, Latif Borgiba dan Roslan Salleh.

Pengarah filem Klip 3GP itu juga memberitahu, dia terpanggil untuk mengarahkan Amukan Pocong kerana tertarik dengan plot penceritaan hasil tulisan Sofea J. Rhyland.

Apatah lagi katanya, belum pernah mitos pocong diangkat ke kaca televisyen dengan penceritaan yang tepat.

“Selama ini kita sering dimomokkan dengan cerita pocong dalam pelbagai versi dan drama rantaian ini adalah salah satu cara saya untuk menjenamakan semula cerita tentang pocong ini.

“Apa yang kita sering dengar tentang pocong adalah caranya menakutkan orang dengan melompat tetapi sebenarnya cara yang tepat adalah dengan berguling.

“Atas alasan itulah, saya menghasilkan drama ini dengan harapan agar masyarakat faham dan sedar akan kebenaran di sebalik mitos yang sudah menjadi santapan kita selama ini,” ujar Aidilfitri.

Dalam masa yang sama, sebagai pengkarya, dia tidak mahu melupakan tanggungjawab sosialnya apabila tetap menerapkan nilai-nilai murni untuk masyarakat.

Katanya, tanpa pegangan iman yang teguh dan kuat selain mempercayai tiada kuasa yang lebih hebat melainkan Allah SWT, setiap manusia itu akan mudah terpesong untuk melakukan kemungkaran.

Antagonis

Menerusi watak Long Husin lakonan Azhan Rani, Aidilfitri juga menonjolkan sikap tamak haloba kaki judi bersama dua rakannya itu yang mahukan kemewahan dengan cara yang salah sehingga membelakangkan syariat Islam.

Tanpa disedari amalan ilmu hitam yang diamalkan mereka telah membangkitkan semangat pocong yang mula mengganas dan menuntut darah daripada 13 orang gadis sunti seperti perjanjian mereka sebelum ini.

Lebih malang apabila Long Husin kemudiannya meninggal dunia dalam keadaan tragis dan dimakan sendiri oleh ilmu hitam amalannya selama ini.

“Mungkin secara realitinya, ada yang tidak mempercayai tentang cerita ilmu hitam tetapi sebenarnya ia ada berlaku dalam masyarakat kita.

“Menerusi drama ini, saya mahu penonton sedar bahawa tiada jalan singkat untuk mengecapi kemewahan dan kesenangan. Semuanya perlu kerja keras dan usaha.

“Jika silap perhitungan dan mengikut jalan yang salah, ada sesuatu yang tidak elok bakal menanti kita di kemudian hari,” ujarnya bersungguh.

Dalam masa sama, pengarah ini juga memuji lakonan Azhan, Ezany dan Iqram yang telah memberikan persembahan yang cukup memuaskan.

Jelasnya, watak antagonis sememangnya diberikan kepada ketiga-tiga aktor itu lantaran watak sedemikian jarang sekali mempamerkan kredibiliti mereka sebagai seorang pelakon.

“Mungkin sebelum ini, ramai yang melihat mereka lebih selesa membawakan watak baik. Jika ada watak antagonis sekali pun mungkin tidak agresif dalam Amukan Pocong,” katanya yang pernah berhadapan dengan situasi yang menyeramkan sewaktu penggambaran drama rantaian itu di Hulu Langat, Selangor.

Bagi menampilkan kelainan dalam Amukan Pocong, seramai 13 orang pelakon wanita terkenal akan ditampilkan sebagai mangsa pocong.

Antara pelakon yang akan muncul kelak termasuklah Neelofa, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Faralyna Idris, Izara Aishah, Anzalna Nasir, Siti Elizad dan Sharifah Sakinah.

Berbicara soal itu, sememangnya Aidilfitri sengaja berbuat demikian selepas perbincangan dengan penerbit, Datin Nor Aliah Lee.

Bukan mahu mengeksploitasi sebaliknya ia adalah peluang kepada pelakon tersebut untuk mencuba sesuatu yang baru biarkan hanya muncul dalam satu episod.

“Ternyata mereka memberikan yang terbaik dan ringan mulut untuk bertanya tentang mutu lakonan mereka. Saya tidak mempunyai masalah dengan mereka malah sepanjang penggambaran, semuanya berjalan dengan baik,” jelasnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

'Perang Air' Di Pesta Songkran



Oleh Sakini Mohd Said

HAADYAI, 26 April(Bernama)-- Asian Hotel agak tenang lewat petang itu. Kelihatan ramai yang berjalan-jalan di hadapan hotel itu yang terletak di kawasan membeli-belah di tengah-tengah wilayah Songkhla, Haadyai.

Di seberang jalan, ramai yang sibuk menjamu mata, membelek dan membeli pelbagai produk seperti kemeja-T, kasut dan aksesori yang dijual di gerai-gerai.

Suasana tenteram itu tiba-tiba terganggu dengan jeritan yang kuat.

Kawasan itu tiba-tiba didatangi segerombolan orang bersenjata yang menembak sesiapa sahaja yang lalu di hadapan mereka. Orang ramai bertempiaran mencari tempat selamat untuk berlindung.

Anehnya, anggota polis yang berada di situ seolah-olah tidak terkejut langsung dengan senario ini. Mereka hanya tersenyum melihat keadaan huru-hara sebegitu. Lagi pelik, walaupun ramai yang ditembak, tiada yang terkorban.

Jalan raya pula bukannya dibasahi darah, tetapi air semata-mata. Namun, cuaca agak panas dan hari tidak hujan. Jadi dari manakah datangnya semua air ini?

Rupa-rupanya, 'senjata' yang digunakan penembak tadi adalah pistol air. Ada juga yang melemparkan belon air dan menyimbah berbaldi-baldi air kepada orang ramai, sempena meraikan Pesta Songkran 2012.

PESTA AIR THAILAND

Pesta Songkran, yang juga dikenali sebagai Pesta Air Thailand, meraikan tahun baharu Thailand yang merupakan acara penting dalam kalendar pelancongan Thailand.

Acara tahunan yang disambut di 77 wilayah di Thailand itu diraikan dari 13 hingga 15 April. Tarikh sambutan pada asalnya berdasarkan perkiraan astrologi, tetapi kini ia telah ditetapkan.

Perkataan Songkran pula berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud Tahun Baharu Matahari. Namun Thailand hari ini menyambut tahun baharu bermula 31 Dis.

Kini pesta air yang unik ini bukan sahaja diraikan rakyat Thailand tetapi juga merupakan acara yang dinanti-nantikan para pelancong.

Aktiviti menyimbah air kepada orang ramai boleh dikatakan agak serupa dengan Pesta Holi yang disambut kaum Hindu serta Pesta Ching Ming yang disambut kaum Cina.

Ketika Pesta Songkran, kaum Thai menyembah Buddha, membersihkan kuil dan menadah air yang telah dicurahkan ke atas patung Buddha. Kemudian mereka menjirus air yang telah 'direstui' itu ke atas bahu ahli keluarga dan orang tua dengan tujuan untuk 'menambah rezeki' kepada mereka. Adalah dipercayai perbuatan menjirus air kepada orang lain merupakan satu cara untuk menunjukkan hormat kepada mereka.

Namun dengan peredaran zaman, budaya menjirus air itu berubah menjadi 'perang air' pula. Perang air ini pula nampaknya seronok untuk disertai sesiapa sahaja, tidak kiralah pada peringkat umur mana pun.

SEMUANYA BAKAL LENCUN!

Jangan harap anda dapat mengelak daripada disimbah air hanya dengan menjerit "mai au, mai au!" (jangan, jangan!). Boleh dikatakan setiap orang yang anda jumpai akan cuba untuk mencurah air dan melencunkan anda.

"Kami akan pastikan tiada siapa pulang dengan pakaian yang kering. Seronok melihat semua orang dibasahi air," kata Darunee, seorang gadis Thai yang sama-sama menyambut pesta Songkran dengan rakan-rakannya di Haadyai.

Walaupun lokasi popular sambutan pesta itu adalah di bandar utara Chiang Mai, kebanyakan pelancong juga menggemari sambutan di Haadyai.

Haadyai yang berlokasi di selatan Thailand dan berdekatan dengan sempadan Malaysia menyambut pesta air itu awal dua hari, dari 11 hinga 15 April dengan pelbagai acara seperti pertunjukan Hula Hoop, pertandingan Muay Thai, Sukan Tari Songkran dan perarakan.

Acara kemuncak sambutan ialah Karnival Tengah Malam Songkran yang bermula dari Robinsons Haadyai di Thammanoonvithi Road dan sepanjang Nipatuthit 2 Road hinggalah ke Nipatuthit 3 Road.

Jalan-jalan di bandar itu bukan sahaja sesak dengan pelancong asing tetapi juga orang tempatan yang keluar untuk sama-sama menyambut pesta itu. Mereka lengkap bersenjatakan pistol air dan berbaldi-baldi air, sedia untuk menyimbah sesiapa saja.

Malah jika anda berada di dalam kenderaan sekali pun, anda tetap akan disimbah.

Mereka yang di dalam tuk tuk atau pun menunggang motosikal kadang kala 'diberhentikan' semata-mata untuk disimbahkan dengan air. Namun tiada yang naik berang diperlakukan begitu, malah perbuatan itu disambut dengan gelak tawa.

PARTI BUIH

Kebetulan, Pesta Songkran ini disambut ketika cuaca paling panas di Haadyai, tatkala suhu boleh mencapai hingga 40 darjah Celsius.

Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengalu-alukan simbahan air ini. Bagi mereka yang telah kehabisan air untuk disimbah, usah risau. Anda boleh mengambil mana-mana bekas berisi kiub ais yang ditinggalkan di jalan-jalan sekitar Haadyai bagi tujuan 'isian semula'.

Kadangkala, serbuk putih atau pun kapur turut digunakan.

Seorang pelancong Malaysia dari Johor Baharu yang pertama kali melawat Thailand sangat teruja dengan suasana sambutan pesta air itu.

"Saya mendengar tentang pesta ini daripada rakan-rakan. Memang menakjubkan kerana semua orang sungguh 'sporting' dan tidak kisah langsung disimbah air oleh orang yang tidak dikenali. Mereka menggunakan hos, baldi, tong sampah dan apa saja yang boleh menakung air," katanya kepada Bernama.

Aktiviti yang paling menarik baginya ialah parti buih.

"Siapa sangka ada salji di Haadyai?" katanya. Lalu saja Sanehanusorn Road dan anda boleh lihat orang ramai bermain buih dengan riangnya.

Bagi mereka yang mempunyai barang-brang berharga yang tidak kalis air, adalah elok untuk meninggalkannya di rumah atau menyimpannya dalam beg plastik ketika pesta ini.

Mereka yang ingin mengambil gambar keseronokan pesta ini juga dinasihatkan membalut kamera dengan beg plastik atau menggunakan kamera kalis air supaya kamera tidak rosak.

PERNIAGAAN BERTAMBAH UNTUNG

Para peniaga turut menikmati keuntungan ketika pesta ini berlangsung. Ramai yang mengaku mendapat keuntungan berlipat ganda manakala hotel-hotel dan rumah tumpangan seluruh negara mengalami pertambahan tempahan bilik.

Boleh dikatakan produk yang paling laris dijual ketika pesta air ini adalah pistol air dan baldi.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Tift berkata: "Pesta ini sememangnya menguntungkan komuniti perniagaan di bandar-bandar utama kerana ramai pengunjung, terutamanya pelancong asing, menyambutnya di sana."

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pelancongan Songkhla, Surapol Kampalanonwat dalam satu laporan akhbar mengatakan ramai pelancong dari Malaysia dan Singapura datang ke Haadyai untuk menyambut Songkran.

Serangan bom di Haadyai, wilayah Songkhla baru-baru ini nampaknya hanya mempunyai impak minimum ke atas kedatangan pelancong ke wilayah itu untuk menyambut Songkran.

-- BERNAMA

Manchester City FC Lawan Harimau Malaya Pada 30 Julai

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City Football Club (Manchester City) akan mengadakan kunjungan julung kali ke Malaysia dan dijadual mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya pada 30 Julai di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Ketua Pegawai Jenama Komersil Manchester City Ian Cafferky berkata pasukan yang menjadi pencabar pilihan Liga Juara-Juara itu berjanji akan membariskan pemain utama mereka dan ini merupakan peluang para peminat pasukan Sky Blues.

"Kami akan membawa setiap pemain yang ada ke Malaysia. Lawatan ini sangat mengujakan pasukan Manchester City FC.

"Ini jelas membuktikan terdapat satu keghairahan ketara terhadap Liga Perdana (Inggeris) di Malaysia dan kami sangat teruja untuk membawa pasukan kami menemui para peminat di Asia Tenggara dan menyaksikan sendiri keterujaan peminat adalah suatu pengalaman yang menarik," katanya pada sidang media mengenai Jelajah Kelab Bola Sepak EPL oleh ProEvent International di sini pada Rabu.

-- BERNAMA

Rabu, 25 April 2012

Jennifer Aniston gembira

Wartawan Sinar Harian
23 April 2012
Jennifer Aniston
Jennifer Aniston gembira

Nampaknya bekas isteri Brad Pitt, Jennifer Aniston tidak kecewa apabila mendengar perkhabaran mengenai pertunangan Brad dan Angelina Jolie.

Malah, dia turut gembira kerana bekas suaminya itu memilih untuk membawa hubungan mereka ke peringkat yang lebih serius.
Menurut sumber, Jennifer kelihatan sangat tabah dan tenang apabila mendapat tahu mengenai perkara itu.
“Dia tidak pernah berdendam. Sebaliknya, dia juga sedang diambang bahagia bersama Justin Theroux. Saya yakin dia lebih memberi perhatian dan tumpuan kepada apa yang dia milikki kini,” katanya.

--- SINAR HARIAN

Gandingan mantap dijangka pecah panggung

MARINA SAHABUDIN
26 April 2012
salah satu babak dalam  G.I Joe
Gandingan mantap dijangka pecah panggung
salah satu babak dalam  G.I Joe
Gandingan mantap dijangka pecah panggung

Filem ini pernah menggegarkan pawagam dengan judul pertamanya iaitu G.I. Joe: The Rise of Cobra, pada 2009. Bakal kembali dengan sekuel keduanya, G.I. Joe: Retaliation Jun ini, filem arahan, Jon M. Chu sebenarnya diangkat ke layar perak berdasarkan komik dan patung G.I Joe yang cukup popular di kalangan kanak-kanak.

Bercerita mengenai sekuel terbaru ini, pada asalnya filem ini diberi judul, G.I. Joe: Cobra Strikes, bagaimanapun judulnya ditukar kerana penulis skrip, Rhett Reese dan Paul Wernick, merasakan ia tidak sesuai.
Menurut kedua penulis yang pernah bekerjasama menghasilkan skrip filem Zombie Land ini, judul filem G.I Joe perlulah sehebat karyanya.
“Ia penting bagi mendapatkan judul yang hebat, malah pengarahnya juga perlu seiring dengan karya tersebut. Sebab itulah, apabila pihak Paramount Picture mengumumkan memilih Jon Chu, kami sangat menghargainya,” akui Rhett dan Paul.
Selain menampilkan pengarah serta penulis skrip tersohor, filem ini turut dibarisi pelakon terkenal Hollywood seperti Bruce Willis sebagai bintang utama, Channing Tatum, Arnold Vosloo, Ray Park, Jonathan Pryce dan Lee Byung-hun.
Malah ia dikuatkan lagi dengan pemilihan Dwayne Johnson atau The Rock. Pastinya, penampilan bintang WWE ini dinanti-nantikan peminat.

Tanpa Miller, Gordon-Levitt
Melihat barisan pelakon yang cukup mantap, pastinya G.I Joe kali ini memberikan pengaruh yang besar buat pencinta filem. Menurut Jon Chu, sejak awal, pihaknya memutuskan supaya setiap pelakon terlibat memainkan peranan yang sama seperti sekuel pertama dahulu.
Misalnya, Byung-hun sebagai Storm Shadow, Channing Tatum sebagai Duke dan Ray Park sebagai Snake Eye.
“Tidak semua mahu kembali bersama G.I Joe kerana mereka mempunyai komitmen masing-masing. Sienna Miller dan Joseph Gordon-Levitt misalnya, terpaksa menolak untuk sekuel kali ini atas sebab-sebab tertentu.
“Tapi kami percaya, tanpa mereka, G.I Joe masih punya pengaruh. Maka, kami mencari pelakon lain yang sesuai dan boleh menjiwai watak diberikan dengan baik. Hasilnya, kita dapat pelakon hebat seperti Dwayne Johnson, D.J Cotrona, Elodie Yung, Adrianne Palicki, Ray Stevenson dan Joseph Mazzello untuk membintangi filem ini,” katanya yakin sekuel ini mampu mendapat kutipan lebih hebat berbanding dulu.

Krew meninggal
Filem yang menjalankan penggambaran di Lousiana ini turut menjadi perhatian peminat seluruh dunia apabila tersebar desas-desus mengatakan watak Komander Cobra akan berakhir dengan baik bagi sekual ini.
Pun begitu, Jon Chu menegaskan, khabar itu tidak benar sama sekali. Menurutnya, bagaimana pun pengakhirannya, ia pasti akan meninggalkan kesan mendalam terhadap peminat setia G.I Joe.
“Setiap watak mempunyai kesan terhadap filem ini. Sama ada wataknya baik atau pun tidak, ia bermakna dalam melengkapi sekuel ini,” katanya.
Dalam pada itu, filem ini turut meninggalkan kesan ke atas produksi apabila salah seorang krew meninggal dunia ketika menjalankan penggambaran di sebuah gudang, New Orleans.
“Ia satu kemalangan yang tidak diduga, kami kehilangan seorang krew yang hebat. Bagaimanapun, filem ini didedikasikan khas untuknya,” kata Jon Chu.

--- SINAR HARIAN

Beralih arah

2012/04/26

pix_gal0
BUKAN kerana kecewa atau kecil hati, tetapi bintang baru dalam dunia lakonan, Neelofa memutuskan untuk kurang menerima tawaran berlakon kerana mahu memberi tumpuan terhadap bidang pengacaraan TV.

Dia menganggap peluang menjadi pengacara program TV memang bidang yang diimpikan selama ini dan menyifatkan ia sebagai kerjaya lebih terjamin berbanding lakonan.
“Sekarang saya lebih yakin dengan kerjaya sebagai pengacara. Dibandingkan dengan lakonan, saya lebih meminati dunia pengacaraan dan dari dulu lagi sebenarnya suka menjadi hos.
Menjadi pengacara adalah salah satu impian apabila menjejakkan kaki ke dunia seni tempatan.

“Apatah lagi apabila saya ditawarkan menjadi pengacara sebuah program TV yang sudah mantap dan dikenali, memang saya terima dengan gembira. Bukan setakat itu, saya juga bersyukur sebab baru saja menerima satu lagi tawaran sebagai hos, namun belum boleh diperkatakan mengenai perkara tersebut.

Saya akui sasaran saya adalah untuk berjaya dalam bidang pengacaraan.

“Melihat kepada bidang lakonan pula, saya tidak mengambil banyak tawaran berlakon drama. Lihat saja tahun ini, tidak banyak drama saya disiarkan di televisyen. Saya juga menyasarkan hanya satu atau dua drama dalam setahun,” katanya kepada Hip.
Namun, Neelofa menjelaskan ia bukanlah bermaksud dia memilih watak, tetapi memang diakui agak memilih dari segi jalan cerita yang bagus.

“Saya tidak kisah dengan watak apa sekalipun yang diberikan, tetapi jalan cerita sesuatu drama itu perlulah bagus untuk menarik minat saya berlakon.

“Tahun ini saya hanya menjayakan dua drama saja, yang mana satunya adalah arahan Erma Fatima berjudul Kau Yang Terindah dan aktiviti penggambaran akan dimulakan pada bulan depan.

“Satu lagi drama saya akan ditayangkan pada September nanti, tapi tawaran itu masih dalam pertimbangan,” katanya yang sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Nyanyian Sakaratul Maut,” katanya.

Bukan saja bergelar pelakon merangkap pengacara, anak jati Kelantan ini juga berminat dalam dunia perniagaan.

Sebelum ini kisah kreativitinya menghasilkan kasut tumit tinggi ligat diperkatakan, malah pernah menghasilkan sepatu untuk perkahwinan Ezlynn.

Bukan sekadar meletakkan ideanya itu di bawah satu jenama, Neelofa Heels, Lofa juga bakal keluar dengan produk kesihatan dan kecantikan di bawah syarikatnya sendiri pada bulan hadapan. Ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi portfolionya sebagai usahawan wanita.

Adakah beralih minat ini disebabkan rasa kecewa kerana harapannya untuk meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2011) pada 8 April lalu?

Neelofa menegaskan dia tidak mahu mempersoalkan keputusan yang sudah dibuat oleh peminat tetapi memang terkejut dengan kemenangan Tasha Shila kerana jangkaannya ialah penyanyi muda berbakat besar, Najwa Latif.

“Memang agak mengejutkan.

Kerana saya sangka yang menang Najwa Latif. Tapi memang kita akui Tasha, pelakon yang banyak membintangi drama dan sering muncul di kaca TV.

“Lagi pun, ini memang sudah rezeki Tasha, bukan saja atau Najwa, Izara Aishah atau Nur Fathia yang sama-sama dicalonkan dalam satu kategori,” kata Neelofa.

--- BERITA HARIAN
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap