Kawan-kawan

Selasa, 2 Februari 2010

Mana jiwa filem ini? (Utusan Malaysia)



Dilema bagi Dr. Hassan (Fahrin Ahmad) apabila kembar siam, Lana dan Lina menyintainya.


KEUPAYAAN memilih subjek yang menarik merupakan antara faktor penting dalam menentukan terhasilnya sebuah cerita yang menarik. Bagaimanapun subjek hanya menjadi latar peristiwa sahaja disebabkan isu yang melatari sesebuah subjek perlu digerakkan oleh watak-watak yang dicipta.

Tanpa kekuatan watak yang menggerakkan plot cerita, maka filem tersebut akan lebih mementingkan susunan peristiwa tetapi watak gagal menguasai penonton.

Huraian diatas seharusnya menjadi asas mudah sebagai landas memahami plot filem Dua Hati Satu Jiwa arahan terbaru dari Prof. Madya A. Razak Mohaideen. Filem ini mempunyai subjek yang cukup menarik yang belum pernah diteroka oleh filem tempatan. Filem ini mengisahkan tentang kehidupan pasangan kembar siam. Kelahiran kembar siam lazimnya menjadi perhatian masyarakat kerana fenomena ini dianggap kelahiran jarang berlaku. A. Razak Mohaideen dengan bantuan penulis skrip Wan Aida Wan Yahya dan Shaheed Salim sebenarnya telah memilih satu subjek yang sudah seharusnya mampu menarik perasaan ingin tahu masyarakat. Ada banyak perkara yang ingin dilihat dan diketahui oleh masyarakat (dalam konteks ini adalah khalayak penonton filem). Namun dalam usaha memenuhi perasaan ingin tahu penonton, tidak bermakna pembikin filem perlu terperangkap kearah pembikinan filem dokumentari dengan berusaha memberi kuliah kepada khalayak. Sebagai sebuah filem cereka, pembikin filem seharusnya menjelaskan maklumat ini melalui kaedah struktur plot penceritaan. Sayangnya Dua Hati Satu Jiwa terlupa hakikat ini, lalu pada pembukaan filem ini ia berusaha memberikan maklumat tentang proses terjadinya kembar siam ini melalui grafik dan suara latar ala dokumentari.

Filem Dua Hati Satu Jiwa mengisahkan tentang sepasang kembar siam iaitu Lana (Fouziah Gous dan Lina (Yasmin Hani) yang terpaksa berpisah setelah lebih dari 20 tahun hidup bersama sebagai kembar. Mereka berjaya memasuki universiti, tetapi semasa di universiti berlaku banyak percanggahan pemikiran antara mereka lalu menimbulkan masalah yang memaksa mereka perlu berpisah melalui satu pembedahan. Selepas pembedahan yang dilakukan oleh Doktor Hassan (Fahrin Ahmad) timbul pula satu masalah lain apabila doktor ini jatuh hati dengan salah seorang daripada mereka iaitu Lana. Adegan distrukturkan dengan mementingkan jalinan peristiwa dalam plot filem ini lebih untuk mengundang kelucuan. Malangnya kelucuan sebegini menjadikan filem ini filem komedi yang terasa superficial.

Kisah kembar siam yang dilalui oleh Lana dan Lina lebih merupakan sebuah tragedi yang menuntut pemahaman lebih dari segi emosi. Ia bukan untuk sebuah komedi yang memerlukan kelucuan untuk mengundang tawa penonton dengan meletakkan beberapa peristiwa lucu. Peristiwa yang dilalui oleh kembar siam Chang dan Eng (1811-1874) adalah peristiwa kehidupan yang penuh warna duka. Walaupun kisah mereka kemudian dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal, tetapi yang dipaparkan adalah sebuah kehidupan yang menginsafkan. Kisah Lana dan Lina diinspirasikan daripada kisah pasangan tersebut dan pasangan kembar siam dari Iran yang pernah menjalani pembedahan tetapi mati kemudiannya.

Dalam Dua Hati Satu Jiwa kita tidak dapat merasakan elemen emosi yang seharusnya menguasai filem ini. Elemen emosi yang kuat hanya akan terjelma apabila penulis dan pengarah memahami perkembangan plot dan perwatakan dua watak utama filem ini iaitu Lana dan Lina dalam menjalani kehidupan mereka serta penerimaan keluarga mereka. Malangnya elemen keluarga yang menghadapi kenyataan kelahiran kembar siam ini tidak diperincikan. Apa yang kelihatan mereka adalah keluarga yang sungguh berada, gembira dan sentiasa memanjakan anak kembar mereka ini dengan kemewahan dan kita tidak melihat riak emosi kedua ibu bapa mereka (Mustapha Kamal dan Ziela Jalil). Memberi penekanan kepada perkembangan emosi pasangan kembar siam ini bukan pula bermakna filem ini harus menjadi melankolik sebaliknya sebuah tragedi yang menarik akan sentiasa seimbang dengan elemen komedi dan kelucuan yang mengharukan.

Apabila penulis cuba menamatkan filem ini dengan kemunculan watak kembar Hassan sebagai jawapan kepada pasangan kembar Lana dan Lina maka kita sudah tahu bahawa penulis mengambil jalan mudah dalam merangka cerita ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap