Kawan-kawan

Isnin, 15 Februari 2010

Niyang Rapik bukan cerita hantu (Utusan Malaysia)

ARKIB : 08/02/2010

SALAH satu adegan seram yang dipaparkan menerusi filem Niyang Rapik.


AHMAD Idham Ahmad Nadzri merupakan antara sutradara yang terkenal dengan filem-filem hantu seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak dan Jangan Pandang Belakang Congkak sejak beberapa tahun lalu.

Selepas dua tahun tidak mengarah, pengarah berusia 39 tahun ini tampil dengan sebuah lagi filem dalam genre itu berjudul Niyang Rapik terbitan syarikatnya, Excellent Pictures Sdn. Bhd. yang akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 25 Februari ini.

Menurut Ahmad Idham, kejayaan filem Jangan Pandang Belakang yang mengaut kutipan tiket box-office berjumlah RM6 juta dan Congkak (RM5.5 juta) sewaktu ia ditayangkan di pawagam menyebabkan namanya dikenali ramai sebagai pembikin filem dalam genre tersebut.

Bagaimanapun, dia enggan dikenali sebagai pembikin filem-filem hantu, sebaliknya memberitahu filem-filem yang ditulis dan diarahkannya merupakan kisah seram yang mempunyai pendekatan tersendiri.

"Selama ini orang ingat saya banyak buat filem-filem hantu. Saya tidak mahu buat filem-filem hantu tetapi saya mahu buat filem seram. Ini dua perkara yang berbeza. Kalau filem-filem hantu kita memang sudah ada banyak hantu.

"Cerita yang saya ingin tampilkan bukan fasal hantu. Saya pun sudah hampir dua tahun tidak buat filem seram iaitu selepas filem Congkak. Saya lama tidak buat filem seram sebab tidak ada cerita yang boleh diketengahkan melalui filem," katanya.

Ahmad Idham yang ditemui selepas pratonton Niyang Rapik di pawagam Cathay, Cineleisure, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor berkata, dia mengambil masa hampir enam bulan bagi menyiapkan jalan cerita dan skrip filem seram keempat arahannya itu.

Meskipun tidak menafikan filem genre seram atau hantu merupakan trend yang digemari di kalangan penerbit, pengarah dan penonton tetapi Idham cukup berhati-hati dalam menggarap jalan cerita dan skrip agar ia tidak bersifat klise selain mampu memuaskan hati peminatnya.

Untuk itu, Ahmad Idham mengambil masa enam bulan menulis skrip Niyang Rapik dan memerapnya hampir setahun sebelum diangkat ke layar perak.

Katanya, dia memerah idea untuk filem ini yang diadaptasi daripada siri TV Puaka Niyang Rapik yang disiarkan di TV3 baru-baru ini.

"Puaka Niyang Rapik yang juga saya arahkan merupakan produk TV3 tetapi untuk filem saya gunakan Niyang Rapik sahaja. Saya banyak kali merombak skrip filem ini supaya jalan ceritanya menjadi lebih kemas lagi.

"Saya meminta bantuan banyak pihak termasuklah daripada seorang karyawan filem dari Perancis yang saya temui semasa mengikuti kursus penulisan skrip Master Class anjuran Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) baru-baru ini demi memantapkan lagi skrip filem ini," ujarnya.

Selain merupakan skrip terlama yang pernah dihasilkan oleh Idham, pengarah dan pemilik Excellent Pictures Sdn. Bhd. ini turut menampilkan jalan cerita dan para pelakon yang berbeza dalam kebanyakan filem seram arahannya.

Menerusi Niyang Rapik yang menelan kos berjumlah RM1.6 juta termasuklah pinjaman dana Skim Pinjaman Filem Cereka sebanyak RM1 juta itu, beliau juga banyak melakukan penyelidikan termasuklah di Tasik Kenyir, Terengganu yang merupakan lokasi utama penggambaran filem itu.

"Sebelum menjalani penggambaran Niyang Rapik, saya telah melakukan penyelidikan dan berada di lokasi itu beberapa tahun lalu dan mengenali masyarakat setempat yang berada di sana.

"Saya juga telah bertemu penghulu kampung di sana dan meminta pendapat mereka tentang penggambaran yang akan saya jalankan," jelas Ahmad Idham mengenai kajian yang diambil sebelum merealisasikan filem itu.

Tidak ketinggalan, pengarah ini turut menziarah sebuah makam seorang tokoh agama terkenal di Kuala Berang yang dikenali sebagai Makam Tok Pulau Manis.

Tidak cukup itu, sepanjang 10 hari penggambaran di Tasik Kenyir dia juga meminta bantuan khidmat nasihat daripada kenalannya, Tok Bak .

"Tok Bak banyak memberi pertolongan dan nasihat semasa penggambaran filem ini dijalankan pada waktu malam ataupun di tempat-tempat tertentu yang kononnya berhantu termasuklah di Bukit Cherakah, Shah Alam," cerita Ahmad Idham lagi.

Tok Bak sebelum ini pernah menjadi pembantu dan penasihat dalam rancangan seram Seekers terbitan ntv7 tidak lama dulu.

Bagi mencapai objektif itu juga, Ahmad Idham membelanjakan sehingga RM100,000 bagi menggunakan kemudahan kamera canggih yang digunakan oleh Pengarah Fotografi, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin dalam filem itu.

Niyang Rapik yang dibintangi oleh pelakon seperti Liyana Jasmay, Awal Ashaari, Kamal Adli, Shaheizy Sam, Zed Zaidi, Fizz Fairuz, Nasir Bilal Khan dan Shahrol Nizam itu menambahkan lagi elemen seram di dalamnya apabila menggunakan sistem bunyi Dolby Digital Surround.

Liyana Jasmay merupakan satu-satunya pelakon wanita utama filem edaran MIG Production Sdn. Bhd. berasa puas hati terbabit dalam filem yang tayangannya 90 minit itu selepas hampir 10 hari berada di Tasik Kenyir bagi menjayakan filem tersebut.

Menurut Liyana, lakonannya sebagai Laila dalam filem itu memberikan pengalaman baru buatnya.

Apatah lagi pengalaman berlakon di atas rumah bot di Tasik Kenyir mencabarnya kerana itulah kali pertama dia tinggal di atas rumah bot untuk jangka masa yang agak panjang.

"Saya ingatkan dalam rumah bot ada katil, bilik air dan sebagainya tetapi rupa-rupanya ia hanyalah sebuah rumah kayu sahaja.

"Pada mulanya saya sangkakan Ahmad Idham tipu saya. Sampai sahaja di rumah bot saya cuba tenangkan diri dan duduk dalam bilik selama hampir sejam," katanya menceritakan pengalaman baru itu.

Biarpun pertama kali berlakon di tengah Tasik Kenyir selama 10 hari, namun Liyana bersyukur kerana sepanjang tempoh itu dia tidak mengalami sebarang pengalaman menakutkan.

"Alhamdulillah sepanjang penggambaran ini tidak ada pengalaman yang menyeramkan kerana saya banyak dibantu oleh Tok Bak.

"Meskipun penggambaran banyak dijalankan pada waktu malam tetapi saya dapat melaluinya dengan baik. Saya banyak tidur dan berehat pada waktu siang. Adegan paling seram yang saya lakonkan ialah sewaktu watak Laila mendukung bayi yang merupakan anak roh watak saya itu," jelasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap