Kawan-kawan

Selasa, 16 Februari 2010

5 aktres bersaing (Harian Metro)

SANDRA BULLOCK

Filem:
The Blind Side

Watak: Sandra berlakon sebagai Leigh Anne Tuohy, ibu moden yang menerima seorang remaja kulit hitam dan menggalakkannya untuk menjadi seorang pemain bola sepak Amerika.
Pencalonan pertama Oscar

Selepas bergelar pelakon sejak 20 tahun lalu, bakat Sandra akhirnya diiktiraf dan dipersetujui Hollywood.

Sandra yang terkenal melalui filem komedi dan komedi romantik seperti Miss Congeniality dan Two Weeks Notice kali ini tampil dengan watak yang lebih berbeza dalam The Blind Side.

Perubahan watak dalam filem ini turut membawanya tuah apabila menang anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild.

Aktres berusia 45 tahun mengaku tidak menyangka melalui pengalaman ini pada usianya. Namun, perubahan ini berlaku selepas beliau memutuskan untuk berhenti berlakon buat seketika beberapa tahun lalu. Selepas bertemu dan mengahwini pembuat motosikal, Jesse James, beliau menolak watak-watak yang dianggapnya terlalu kecil dan tidak bermakna.

Tahun lalu, filem komedi romantik dibintanginya, The Proposal mengumpul AS$314 juta (RM1.08 bilion) manakala The Blind Side pula mengumpul AS$237 juta (RM812.91 juta).

"Tempoh beberapa bulan lalu amat bermakna buat saya. Saya tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini," katanya.


HELEN MIRREN
Filem:
The Last Station
Watak: Helen berlakon sebagai Sofya, isteri penulis Leo Tolstoy
Pencalonan keempat Helen. Beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem The Queen pada 2006.

Selepas memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik dengan membawa watak Elizabeth II dalam filem The Queen, tiada siapa menyangka aktres Inggeris berusia 64 tahun sekali lagi dicalonkan untuk anugerah berprestij ini.

Watak Sofya Tolstoy memaksanya mencuba sedaya upaya untuk memastikan suaminya melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga dan juga cinta mereka.

"Kuasanya terletak pada cinta dan emosi Sofya kepada suaminya. Beliau sentiasa melakukan sesuatu yang di luar dugaan tapi penuh emosi," katanya.

Namun, Helen pernah melihat sendiri senario ini di dalam keluarganya.

"Bapa saya seorang yang pendiam dan baik seperti Tolstoy manakala ibu pula lantang seperti Sofya," katanya lagi.


CAREY MULLIGAN
Filem:
An Education
Watak: Carey berlakon sebagai Jenny, pelajar Inggeris yang terpikat dengan lelaki lebih tua
Pencalonan anugerah Oscar pertama

Aktres baru Inggeris ini tidak pernah menyangka watak pelajar berusia 16 tahun yang terpikat dengan lelaki berusia 24 tahun ini bakal memikat juri untuk menamakan dirinya sebagai seorang daripada calon anugerah ini.

Pada malam sebelum pencalonan diumumkan, beliau tidak mampu tidur.

"Saya berasa seperti ingin muntah. Saya begitu gemuruh kerana bukan semua yang mendapat peluang seperti ini.

"Dua perkara memikat saya untuk berlakon dalam filem ini, kekecewaan terhadap pendidikan dan juga hidup. Beliau ingin menjalani kehidupan yang lebih bermakna, bukan sekadar memuaskan hati mereka yang di sekelilingnya," katanya.
Namun, bukan mudah buat Carey membawa watak ini kerana beliau perlu bertutur fasih berbahasa Perancis.

"Hakikatnya saya hanya tahu empat perkataan dan saya sering diperbetulkan sinematografer, John de Borman."

Yang pasti namanya kini dikenali ramai dan menyebabkan tawaran berlakon mencurah-curah diberikan kepadanya.

"Saya tak pasti apa yang akan berlaku selepas ini. Namun, yang pasti peluang saya kini terbuka luas," katanya lagi.


GABOUREY SIBIDE
Filem:
Precious

Watak: Gabourey berlakon sebagai Precious, seorang remaja yang hamil dan berusaha mengatasi pengalaman perit didera ibu bapanya.
Pencalonan anugerah Oscar pertama

Gabourey, 26, berasal dari Bed-Stuy, Brooklyn sudah memenangi beberapa anugerah hasil lakonan mantapnya dalam filem ini. Wataknya itu menyebabkan ramai orang berterima kasih kepadanya kerana ia sebenarnya kerap berlaku di kalangan masyarakat Amerika.

"Mereka berasa sendirian tapi saya tak sangka bertemu mereka yang pernah melalui pengalaman sama. Saya takut apabila menyedari ramai yang melaluinya tapi mereka tak pernah tampil ke depan untuk membincangkannya," katanya.
Beliau menganggap pencalonannya sebagai sesuatu yang di luar dugaan.

"Apa sahaja boleh berlaku di Amerika. Namun, nasihat terbaik saya terima daripada Tom Hanks yang berkata, majlis anugerah umpama satu parti gila-gila dan saya perlu mendapatkan kasut yang selesa. Kata-katanya benar dan saya sememangnya tidak boleh keluar rumah dengan kasut yang tidak selesa," katanya lagi.


MERYL STREEP
Filem:
Julie and Julia

Watak: Meryl berlakon sebagai penulis buku masak, Julia Child yang memperoleh inspirasi belajar memasak masakan Perancis selepas tinggal beberapa tahun di negara itu bersama suaminya.

Anugerah Oscar ke-16 Meryl. Memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Sophie's Choice pada 1982 dan Aktres Pembantu Terbaik, Kramer vs. Kramer, 1979

MERYL Streep kini mengungguli senarai jumlah pencalonan terbanyak dalam sejarah Oscar.

Pencalonan aktres berusia 60 tahun itu melalui filem Julie & Julia menyebabkan beliau kini jauh di depan dua pesaing terdekatnya, Katharine Hepburn dan aktor Jack Nicholson yang terikat dengan 12 pencalonan setiap seorang.

Namun, beliau dicabar hebat Sandra Bullock dan seperti di anugerah Golden Globe yang menyaksikan mereka berkongsi anugerah Pelakon Wanita Terbaik, kedua-duanya menjadi pilihan utama anugerah ini.

"Saya tak dapat jangka apa yang akan berlaku. Yang pasti saya akan tetap berlakon," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap