Kawan-kawan

Selasa, 16 Februari 2010

Filem: Seram tanpa hantu (Harian Metro)

APA yang boleh diperkatakan lagi mengenai karya Ahmad Idham? Malah, kredibilitinya sebagai pengarah sudah lama teruji dengan lambakan filem yang menarik dan menghiburkan lebih-lebih lagi filem bergenre aksi, komedi dan seram.

Kali ini, Idham tampil dengan sebuah filem yang bermain dengan elemen santau, hasad dengki dan amarah. Masih dalam kategori seram, nampaknya sentuhan terbaru pengarah ini membuatkan ramai penonton memuji hasilnya.

Menariknya, permainan babak demi babak cukup bagus. Walaupun pada permulaannya filem ini melahirkan satu tanggapan, namun kesudahannya tampil berbeza. Sekalipun jalan ceritanya agak sukar untuk difahami penonton, namun sutradara ini memudahkannya dengan jalinan plot yang lancar.

Mengungkap jalan ceritanya, penulis merasakan penonton berhak menilainya sendiri. Bagi penulis, tiada kekurangan yang boleh mengganggu jalan ceritanya.

Dari segi lakonan pula, usaha menampilkan pelapis-pelapis hero masa kini seperti Shaheizy Sam, Awal Ashaari, Zed Zaidi dan Kamal Adli satu tindakan bijak. Dengan muka baru dalam produksi ini, penonton sukar mahu menelaah ke mana hala tuju yang ingin dibawa oleh Idham.

Selain itu, menampilkan Liyana Jasmay sebagai heroin tunggal dalam filem ini turut mencipta satu perbezaan yang menarik untuk ditonton. Kisah sekumpulan pelajar yang mengembara ke sebuah kampung iaitu Niyang Rapik dan masing-masing menyukai gadis yang sama tetapi akhirnya padah yang menimpa menjadi satu olahan cerita yang mengujakan.

Bagaimanapun, jika anda mengharapkan jelmaan lembaga makhluk halus seperti hantu dalam filem ini, rasanya anda akan kecewa. Cuma ada sedikit babak yang menampilkan makhluk berkenaan tetapi fokus utama filem ini adalah demi menyatakan perasaan marah seorang ayah yang atas kejadian yang menimpa anaknya.

Rasa kasih dan pengkhianatan yang terjadi di antara lima sahabat menjadi inti pati penting dalam jalinan cerita ini dan ia antara keseronokan yang bakal anda nikmati.


>Data
FILEM: Niyang Rapik
ARAHAN: Ahmad Idham
PELAKON: Fizz Fairuz, Liyana Jasmay dan Zed Zaidi
GENRE: Seram
TAYANGAN: 25 Februari 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap