Kawan-kawan

Isnin, 15 Februari 2010

Shah Rukh Khan takut pelampau Hindu (Utusan Malaysia)

ARKIB : 14/02/2010

BERLIN 13 Feb. - Bintang Bollywood Shah Rukh Khan semalam mengakui diselubungi rasa 'takut' dan 'terluka' dengan reaksi balas pelampau Hindu daripada parti Shiv Sena berhubung kenyataannya yang menyokong pasukan kriket Pakistan.

Aktor berusia 44 tahun itu yang kini berada di Berlin bagi tayangan filem terbarunya 'My Name is Khan', turut memberitahu pemberita dia mahu kekecohan di India diselesaikan dengan segera.

"Saya mahu semua pihak gembira dan saya akan pastikan apabila saya balik ke India, semua orang berasa gembira.

"Saya tidak mahu sebarang tindakan agresif atau apa-apa masalah. Saya sangat-sangat terganggu dan takut. Hati saya juga terguris apabila perkara sebegini terjadi," katanya lagi.

Shah Rukh Khan merujuk kepada bantahan oleh aktivis parti Shiv Sena terhadap tayangan perdana filem terbarunya itu, selepas aktor tersebut mengkritik kenyataan bahawa tiada seorang pun ahli pasukan kriket Pakistan telah dipilih bagi menyertai Liga Perdana India.

Awal minggu ini, lebih seribu ahli Shiv Sena dibawa ke tahanan polis sebagai langkah pencegahan dan kawalan keselamatan turut diperketat di panggung-panggung wayang sekitar Mumbai semalam, apabila kumpulan tersebut menyasarkan pembukaan filem 'My Name is Khan'.

Segelintir panggung wayang enggan menayangkan filem tersebut ekoran kebimbangan tercetusnya keganasan, sekali gus meningkatkan kebimbangan penganalisis bahawa imej Mumbai sebagai hab perniagaan kosmopolitan mungkin terjejas dan bandar raya itu dilihat telah dilemahkan oleh politik sempit.

Semalam, lebih 21,000 anggota polis diarahkan mengawal lebih 60 buah panggung wayang di Mumbai, selepas pelampau Hindu bertindak mengoyakkan poster dan membaling batu ke arah panggung wayang bagi menghalang tayangan perdana filem tersebut.

Pesuruhjaya Polis, Himanshu Roy berkata, hampir 150 ahli Shiv Sena membaling batu termasuk cuba menyerbu ke dalam panggung wayang, namun pihak polis berjaya menghalang kesemua penunjuk perasaan itu.

Roy turut memberitahu, pihaknya telah menahan sekurang-kurangnya 49 penunjuk perasaan. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap