Kawan-kawan

Ahad, 22 April 2012

Battleship fantasi Hollywood




Studio di Amerika kini semakin gila mengadaptasi filem daripada komik, permainan video, superhero dan fantasi. Walaupun ceritanya berbeza namun formatnya sama. Sama dari segi struktur naratifnya dan juga idea-ideanya. Protagonisnya mesti manusia. Kalau ingin bekerjasama sekalipun pasti manusia menjadi ketua dan robot jadi pengikutnya. Manusia menjadi penentu hala tujunya. Mungkin itulah sedikit keunikan fantasi Hollywood kepada dunia.

Fantasi Hollywood telah mewujudkan fantasi teknologi yang digerakkan oleh kuasa yang dapat dimanipulasi. Saya berfantasi pula segala teknologi fantasi adalah realiti yang telah ditemui tetapi disorokkan. Kini fantasi teknologi telah diumumkan sedikit demi sedikit dalam bentuk fantasi Hollywood. Namun demikian, kuasanya siapa dan apa? Dari Battleship permainan video hingga ke filem Battleship, ia bagai dirancang.

Interteks dilihat sebagai aspek pinjam meminjam antara satu karya ke dalam karya lain. Sama ada meminjam idea, petikan teks, watak, cerita atau apa saja. Kita lihat sahaja teks tradisional Melayu kita. Betapa masuknya Islam raja-raja kita melalui mimpi bertemu nabi dan apabila terjaga anunya telah tersunat.

Ceritanya sama cuma watak dan latarnya berbeza. Lalu timbul pertanyaan adakah pencipta karya tersebut saling kenal mengenali? Hidup sezaman? Atau pencipta yang sama? Tujuannya pula sama? Sungguh menakjubkan. Inilah juga misteri dan cuba diungkapkan melalui interteks, iaitu unsur di luar karya yang melahirkan karya itu sendiri.

Berbalik kepada fantasi Hollywood, dalam tahun ini selepas The Darkest Hour dan Wrath of the Titans, kita disogokkan lagi dengan fantasi Battleship - kisah kapal perang USS yang berdepan dengan kapal perang makhluk asing. Semasa permainan Battleship dilancarkan dan dipasarkan, fantasi permainan video yang diberi melalui mainan kanak-kanak dan remaja. Tembaklah semahunya sehingga sakit kepala dan kurang tidur.

TeknologiKini dijadikan sebuah filem berbajet besar, berbingkai, berwatak manusia dan berimej sebenar. Siapa yang tidak teruja? Teknologi bukan lagi alatan yang memudahkan kehidupan dan urusan manusia tetapi alat hiburan terkini dan mengkagumkan (kononnya).

Menghubungi makhluk asing bukanlah kerja kita. Alatannya dan risikonya lagi. Tetapi dalam fiksyen ia boleh sahaja diwujudkan dan menawarkan fantasi demi fantasi berterusan. Generasi muda kini mungkin belum lahir lagi semasa permainan Battleship wujud dan popular suatu ketika. Tetapi kini generasi muda boleh menonton filem adaptasinya dengan paparan 2D.

Generasi yang tidak pernah menemui permainan Battleship akan terkesima dengan idea naratifnya.

Interteks berlaku dalam kehidupan manusia melalui lintasan kenangan. Adaptasi adalah pengalihan dari satu medium ke medium lain. Penambahan merupakan suatu keperluan dan juga suatu penyesuaian dengan putaran zaman. Ketika gabungan latihan ketenteraan antara negara besar dunia (RIMPAC) dilancarkan, nama negara kita disenaraikan dan disebutkan dalam satu babak dengan urutan Amerika, Jepun, Malaysia begitulah dibunyikan.

Sekali lagi kita teruja. Jika tadi mungkin penonton dari negara lain-lain teruja dan terkesima. Dan kita yang bakal meraikan kemerdekaan ke-55 negara tahun ini lagi teruja dan terkesima apabila nama negara kita diumumkan, dibunyikan. 'Sayangnya' tentera kita tidak divisualkan. Adakah tentera kita tidak bersedia untuk memasuki seluruhnya fantasi Hollywood? Atau fantasi Hollywood yang belum bersedia menerima visual dan imej kehadiran tentera kita?

Sebaliknya imej dan visual yang ditonjolkan ialah tentera Jepun. Malah Kapten Jepun menjadi pelakon pembantu kepada Kapten-kapten tentera Amerika. Seingat saya bendera kita tidak dikibarkan di atas kapal perang melainkan bendera negara lainnya sekadar hendak menunjukkan banyak lagi negara lain terlibat biarpun tidak disebut.

Sewaktu latihan tentera diadakan dengan kapal-kapal perang, datanglah makhluk asing. Mereka datang pun dengan isyarat gelombang yang dipancarkan oleh NASA di Pulau Iowa, Hawaii sembah salam pun bersambut. Datanglah gerombolan tentera makhluk asing ke bumi seperti ketulan meteor menghentam bumi, dan pilihan dibuat, ia terkena satelit US dan terpelanting serpihannya ke Hong Kong, skala kemusnahan yang besar dan matinya pun ribuan orang.

Baru saya teringat, kapten tentera Malaysia yang diumumkan pun bukannya Melayu. Spontan teringat buku memoir juga sejarah Askar Melayu 50 Tahun oleh Dharmala N.S terbitan Pustaka Budiman dan pengedar tunggalnya Utusan Publications & Distributors (UP&D) pada tahun 1983. Ingat, ini bukan fantasi ini fakta sejarah. Bilakah agaknya kita dapat melihat fakta kita diadaptasi ke fiksyen filem dan wiranya adalah kita? Percayalah, kita tidak akan menjadi besar dalam sejarah dan fiksyen orang lain apatah lagi kalau sekadar disebut sahaja.

--- UTUSAN MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap