Kawan-kawan

Isnin, 23 April 2012

Men In Black kembali!

Wartawan Sinar Harian
12 April 2012
Men In Black kembali!

Buat kaki wayang yang mengikuti siri Men In Black (MIB) sejak sekuel pertamanya MIB (1997) dan MIB 2 (2002), kemunculan MIB 3 pada 24 Mei ini pasti ditunggu peminat. Gabungan genre aksi, komedi dan sains fiksyen membuatkan jalan ceritanya jadi menarik dan tidak membosankan.

Bagi pengarahnya, Barry Sonnenfeld, filem yang berbajet besar ini hadiah buat peminat setianya selama ini tidak jemu memberi penghargaan buatnya sebagai pengarah. Menurutnya, dia tidak pernah menjangkakan kejayaan MIB 3 kerana terlalu banyak khabar angin dan halangan yang terpaksa ditempuh sepanjang pembikinan filem ini.

“Saya tidak pernah berharap pembikinan filem ini berjalan lancar, ada beberapa halangan luar biasa yang terpaksa kami tempuhi. Saya tidak berharap filem ini mempunyai penamat mengagumkan kerana kami tidak dapat menyiapkan skrip sepenuhnya semasa penggambaran berlangsung, tetapi atas gabungan idea dan kerjasama pelakon dan penerbit, akhirnya kami berjaya menyiapkan filem ini,” katanya.

Produksi Sonnenfeld bukan sahaja menghadapi masalah pembikinan skrip semasa penggambaran, malah mereka juga terpaksa berbelanja lebih demi mencapai mutu dan kualiti filem ini.

Istimewanya, MIB kali ini, Sonnenfeld turut menjelaskan inilah kali pertama MIB diterbitkan dalam bentuk 3D.

Menurut Will Smith, dia tidak mempunyai masalah dalam membawa watak MIB kerana perwatakannya di dalam filem itu masih sama.

“Filem MIB kali ini bukan mengisahkan tentang makhluk asing, tetapi perjalanan masa untuk kembali ke masa lalu. Jadi ia sedikit mencabar kerana terdapat scene baru dalam penggambaran MIB kali ini,” katanya yang menjanjikan aksi lebih hebat.

Dibarisi pelakon asal, Will Smith dan Tommy Lee Jones, MIB 3 kali ini mengisahkan ejen perisikan, Ejen J (Will Smith) yang menyedari rakan sekerjanya selama ini, Ejen K (Tommy Lee Jones) sebenarnya telah pun meninggal dunia lama dahulu.

Apabila nyawa Ejen K dan nasib planet dipertaruhkan, Ejen J perlu kembali semula ke masa lalu untuk menyelamatkan Ejen K dan memperbetulkan keadaan.

Turut membarisi watak dalam filem kali ini ialah, Nicole Scherzinger, Josh Brolin, Emma Thompson.


Sekuel terbaik MIB

Menurut Smith, MIB 3 merupakan sekuel terbaik filem ini dan harus ditonton pengikut setianya.

“MIB bukan sekadar filem biasa yang ada di panggung wayang, saya tidak pernah menonton filem lain yang mampu mengingatkan saya kepada MIB. MIB ialah filem istimewa dan unik. Saya percaya MIB 3 adalah yang terbaik di antara MIB dan MIB 2,” kata pemegang watak utama dalam sekuel ketiga MIB, Smith.

Menurutnya lagi, sekuel kali ini memaparkan lebih makhluk asing, lebih komedi dan lebih aksi demi kepuasan penonton. Mengulas tentang konflik dan kontroversi yang melibatkan produksi filem MIB 3, Smith menganggap ia hanyalah perkara biasa.

“Setiap pembikinan filem dan produksi perfileman mempunyai masalah dan konflik tertentu, ini adalah perkara biasa, media hanya membesar-besarkan perkara ini,” katanya.

Pastinya, MIB 3 menjanjikan kelainan dan kehadiran pelakon baru seperti Nichole Scherzinger dan Lady Gaga sebagai watak sambilan dalam filem tersebut.


Pernah dilema

SEBELUM ini, desas-desus khabar angin tersebar luas mengatakan sandaran watak utama filem MIB 3, Smith telah menerima satu lagi tawaran berlakon sebelum membuat keputusan untuk bekerjasama dengan pengarah Barry Sonnenfeld.

Dia pada mulanya tidak tahu memilih sama ada untuk berlakon di dalam filem MIB 3 atau City That Sailed. Menurut Smith, dia ditawarkan watak sebagai seorang ahli silap mata yang dipisahkan anak perempuannya ketika dalam perjalanan ke London.

Namun, Smith dikatakan menolak tawaran tersebut dan mengambil keputusan kembali menyarung sut dan kaca mata hitamnya.

--- SINAR HARIAN

Pertarungan penuh debar dalam Battleship!

NUREZZATUL AQMAR MUSTAZA
13 April 2012
Pertarungan penuh debar dalam Battleship!
Jika selama ini, penyanyi, Rihanna sering tampil dengan tubuh seksi dan cantik untuk menarik perhatian umum, namun, menerusi Battleship, imej Rihanna berubah 360 darjah.

Tampil dengan imej rambut pendek, Rihanna masih menyimpan sedikit sesi femininnya, biarpun berlakon sebagai pegawai tentera laut bernama Raikes dalam filem Battleship yang turut dibarisi Taylor Kitsch, Liam Neeson, Alexander Skaarsgard, dan Brooklyn Decker.

Filem yang menyaksikan sekumpulan kapal tentera laut antarabangsa diserang makhluk asing ketika latihan peperangan.

Malah, jika sebelum ini anda melihat Kitsch, dengan imej berambut panjang menerusi John Carter, anda 'wajib' menonton filem ini yang menampilkan sisi berbeza Kitch.

Tentunya dia lebih kacak dan segak dengan uniform tentera laut berpangkat Leftenan. Apatah lagi pada permulaan cerita, Kitsch yang membawa watak sebagai Alex Hopper seorang pegawai tentera yang keras kepala dan mementingkan diri sendiri, namun mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan abangnya, Stone Hopper juga pegawai tentera laut berpangkat Pegawai Komander.

Namun segalanya berubah setelah abangnya terbunuh dalam filem itu. Alex berubah 100 peratus dan cuba bertanggungjawab terhadap anak-anak buahnya yang masih tinggal untuk berlawan dengan makhluk asing yang tidak diketahui asal usul serta punca kedatangan mereka ke bumi.

Dalam menyelitkan pertarungan yang penuh mendebarkan, penonton turut disajikan dengan babak cinta 'singkat' yang terjalin di antara Alex dan pakar terapi fizikal, Samantha Shane yang juga anak kepada Naib Laksamana Angkatan Tentera Laut, Shane.

Penonton pasti akan ketawa lucu melihat aksi Alex yang takut-takut berani untuk berhadapan dengan Shane bagi meluahkan hasrat mengahwini anaknya itu.

Secara keseluruhannya, bintang-bintang yang beraksi di dalam filem arah Peter Berg ini mempunyai gandingan yang cukup serasi.

Namun, dari segi naratif penceritaannya, penulis merasakan agak perlahan pada permulaan cerita, apatah lagi, cerita bercorak makhluk asing yang datang ke bumi, sudah biasa ditayangkan di layar perak.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Berg kerana menampilkan aksi-aksi yang cukup mencemaskan. Apatah lagi, apabila latihan peperangan menjadi peperangan sebenar yang tidak terduga.Ditambah pula dengan
sinematografi yang cukup cantik, tidak mustahil mengatakan filem ini akan mendapat kutipan box-office.

Filem Battelship ini mengisahkan pengembaraan epik yang merentasi lautan dalam, langit dan darat bagi menentang kuasa jahat.

Berdasarkan permainan kapal perang klasik daripada Hasbro, Battleship dibintangi oleh Taylor Kitsch sebagai Lt. Alex Hopper, seorang pegawai Navi yang ditugaskan di USS John Paul Jones berusaha berhempas pulas untuk mengalahkan makhluk asing yang datang ke bumi.

--- SINAR HARIAN

Shireen Sungkar wajah jelita sebalik sinetron Cinta Fitri

Wartawan Sinar Harian
16 April 2012
Shireen Sungkar wajah jelita  sebalik sinetron  Cinta Fitri

Sinetron drama Cinta Fitri yang ditayangkan di TV9 kini semakin diminati setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Mungkin ramai tertanya-tanya siapakah gerangan si manis comel yang memegang salah satu watak utama sebagai Fitri Rahayu dalam drama tersebut.

Kejayaan Shireen Sungkar yang mesra dengan panggilan Shireen dalam menghayati pembawaan wataknya telah meletakkan dirinya sebaris pelakon handalan lain.

Aktres muda berusia 20 tahun ini sentiasa komited terhadap kerjayanya dan tidak pernah menghampakan peminat menerusi lakonannya.

Mengulas tentang drama Cinta Fitri, menurutnya, drama itu bukanlah drama pertama lakonannya sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan.

“Sebelum drama Cinta Fitri, saya sudah pernah berlakon dalam drama Putri Duyung 2, Bukan Diriku dan Wulan.

“Selepas drama Cinta Fitri, saya turut menerima tawaran berlakon dalam drama Anissa dan Ranum,” katanya.

Pelakon yang melonjak naik menerusi drama Wulan ini turut dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Panasonic Award selama lima tahun berturut-turut sejak 2008 hingga 2012.

“Saya berasa bangga dengan pencapaian dan usaha saya selama ini. Walaupun saya hanya tersenarai sebagai calon, itu sudah cukup untuk membuktikan kredibiliti saya sebagai pelakon yang layak memenangi anugerah berprestij seperti itu,” katanya.

Hamil luar nikah?

SEBAGAI selebriti, Shireen akur bahawa kehidupan peribadinya sememangnya tidak akan tercicir dari buah mulut orang ramai.

Terbaru, desas-desus dan khabar angin kuat mengatakan bahawa Shireen terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah bersama pasangannya, Teuku Wisnu yang turut membintangi drama Cinta Fitri.

Spekulasi liar itu bukan hanya mencalarkan imejnya, malah turut mencemarkan nama baik keluarganya dan keluarga Teuku.

Sehubungan itu, dia dan Teuku pantas tampil membuat kenyataan sekali gus menolak dakwaan yang mereka telah bernikah secara rahsia.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali, itu semua hanya fitnah daripada sesetengah pihak yang ingin menjatuhkan kami.

“Gosip seperti ini telah mencemarkan nama baik saya, Teuku dan keluarga masing-masing. Malah ia juga mengganggu hubungan kami berdua,” luah Shireen yang kesal dengan tuduhan dilemparkan.

Bila ditanya mengenai perancangan untuk mendirikan rumahtangga, baik Shireen mahupun Teuku masih belum bersedia ke arah itu. Namun jika tiada halangan, mereka ingin berkahwin tahun depan.

“Insya-Allah kalau ada jodoh, kami akan bernikah. Tapi buat masa sekarang, kami ingin fokus pada karier," kata Shireen.

Tidak mudah melatah dengan apa juga kontroversi yang hadir, Shireen berkata, itulah lumrah bergelar selebriti dan dia sedia menerima apa jua kritikan.

Bagaimanapun, ia tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus mencipta nama dalam dunia lakonan.

"Saya sangat mencintai lakonan dan akan terus berlakon selagi saya diterima peminat.

"Sekarang, saya hanya mahu melakukan terbaik demi mereka dan juga masa depan saya," katanya yang sentiasa mengharapkan sokongan peminat-peminatnya.

Ingin ke Tanah Suci lagi

Di sebalik wajah jelitanya, Shireen sebenarnya sudah mengerjakan umrah bersama keluarganya pada Oktober 2007. Selain bersama orang tuanya, Mark Sungkar dan Fanny Bauty, kakaknya, Zaskia dan juga adiknya, Yusuf, turut serta mengerjakan umrah.

Berkongsi pengalamannya di Tanah Suci itu, gadis manis ini berkata, itulah pengalaman paling berharga dalam hidupnya. Selain dapat mengerjakan ibadah, mereka sekeluarga turut berkesempatan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Suci itu.

“Pengalaman 10 hari di sana, cukup bermakna buat saya dan keluarga. Sejujurnya, saya berasa amat tenang di sana dan ingin ke sana lagi jika diberi peluang dan kesempatan,” katanya.


--- SINAR HARIAN

‘Ranking bukan ukuran tepat’



Oleh Mohd Fitrie Muhamad

2012/04/24
“KEDUDUKAN ranking bukan satu ukuran tepat mengenai Sri Lanka,” kata Datuk K Rajagobal, semalam.

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu mencetus firasat berkenaan menjelang cabaran menentang lawan berkenaan dalam siri persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Jelasnya, walaupun kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) lebih baik namun beliau enggan membuat sebarang rumusan awal mengenai pasukan lawan itu.
“Kedudukan ranking tidak menunjukkan mereka atau sesebuah pasukan itu lemah. Walaupun ia hanya membabitkan aksi persahabatan, tapi saya tetap menghormati Sri Lanka dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan mereka.

“Sebelum aksi sebenar, tidak ada sesiapa pun boleh membuat rumusan mengenai keputusan perlawanan. Bagi saya inginkan kemenangan, saya juga mahu lihat ada peningkatan dalam pasukan saya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Dalam kedudukan ranking terbaru yang dikeluarkan FIFA, Malaysia berada di tangga ke 156 manakala Sri Lanka pula menghuni di tangga 181 dunia.

Dalam masa yang sama, Rajagobal menegaskan dia tidak mahu isu ranking terus melemahkan pasukannya sehingga pemain tidak dapat beraksi dengan baik.
“Mana lebih penting, peningkatan ranking atau pun peningkatan prestasi permainan? Tidak ada siapa yang mahu kalah dan untuk perlawanan ini sudah pasti kami juga mahukan kemenangan. Saya sudah ada bayangan siapa yang bakal diturunkan sebagai kesebelasan utama. Tapi saya akan terus membuat penilaian terhadap pemain saya untuk mencari gandingan terbaik,” katanya.

----- BERITA HARIAN

Panas sengaja dicipta - Fouziah


FOUZIAH menafikan dia mengeluarkan kenyataan bahawa sedang dilamun cinta bersama seorang duda bergelar 'Datuk Seri.'


CERITA pelakon tinggi lampai Fouziah Gous dilamun cinta sudah lama diketahui peminat, namun laporan sebuah portal hiburan baru-baru ini mengenai hubungan cintanya dengan seorang duda yang bergelar 'Datuk Seri' menimbulkan banyak reaksi.

Laporan tersebut mendakwa Fouziah mengesahkan hubungannya dengan seseorang yang dikenali sejak beberapa tahun lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu menyatakan bahawa lelaki tersebut yang merupakan rakan niaga abangnya, melamar Fouziah melalui abangnya.

Fouziah yang popular menerusi drama Trilogi Cinta itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai 'Datuk Seri' kerana masih dalam proses mengenal hati budi masing-masing.

Dia turut mengaku bahawa dia baru sahaja berpeluang untuk keluar bersama dengan lelaki tersebut baru-baru ini.

Sensasi Bintang: Desas-desus mengatakan anda sedang dilamun cinta. Betulkah?

FOUZIAH: Kalau boleh saya tak nak komen lagi mengenai perkara ini. Saya kecewa dan sudah serik untuk memberi kenyataan mengenainya kerana ia telah dimanipulasi oleh portal hiburan terbabit.

Jawapan itu memberi gambaran hubungan Fouziah dengan Datuk Seri tersebut memang berasas. Bagaimana Fouziah mendakwa dimanipulasi?

Kalau boleh saya tidak mahu membesarkan perkara ini. Sejak berita itu keluar ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan pengesahan. Sebenarnya laporan itu adalah tidak benar. Memang wartawan berkenaan ada bertanyakan kepada saya mengenai status hubungan saya. Saya memberitahu dia bahawa saya sudah mengenali seseorang tetapi tidak menyatakan sama ada orang bergelar Datuk Seri atau tidak. Apabila artikel itu diterbitkan, lain pula jadinya.

Bagaimana laporan sedemikian boleh keluar sedangkan wartawan berkenaan mendapatkan kenyataan daripada Fouziah sendiri?

Saya pun terkejut tetapi saya telah mendapatkan penjelasan daripada wartawan terbabit. Dia ada meminta maaf atas artikel berkenaan. Dalam penjelasannya, dia memberitahu bahawa tulisannya telah ditokok tambah oleh pihak editor. Saya kasihan juga kepada penulis berkenaan kerana dia menjadi mangsa keadaan. Tetapi hubungan saya dengan wartawan berkenaan tiada masalah, lagipun saya sudah memaafkannya.

Jadi, apakah yang tidak benar daripada artikel berkenaan itu?

Dakwaan kononnya saya bercinta dengan Datuk Seri. Ayat itu tidak pernah keluar daripada mulut saya. Tajuk artikel berkenaan juga tidak benar. Ia telah ditambah dan jauh menyimpang daripada apa yang saya jelaskan ketika diwawancara. Memang saya membuat kenyataan itu tetapi tidak menyebut perkataan Datuk Seri.

Selepas berita itu diperbesarkan, timbul pula isu Twitter daripada akaun Fouziah yang berbaur ugutan kepada wartawan berkenaan. Kenapa hal itu berlaku?

Saya sebenarnya membalas tweet yang dihantar oleh wartawan berkenaan kepada saya. Sebenarnya tiada apa-apa niat pun kerana dia terlebih dahulu telah meminta maaf daripada saya.

Kenapa tweet tersebut pula menjadi isu?

Sebenarnya saya tidak sangka pun ia akan menjadi isu besar kerana saya tidak berniat untuk mengugut wartawan berkenaan, saya cuma bergurau dengannya. Tiba-tiba sebuah portal hiburan lain memperbesarkan isu tweet itu tanpa mendapatkan kenyataan daripada saya mahupun wartawan berkenaan. Saya sakit hati apabila pihak berkenaan tidak menghubungi saya untuk mendapatkan ulasan.

Ada apa-apa tindakan lain yang ingin dilakukan?

Saya tidak mahu perbesarkan isu ini. Saya tidak mahu komen lebih. Semuanya sudah selesai.


--- KOSMO

Ahad, 22 April 2012

Battleship fantasi Hollywood




Studio di Amerika kini semakin gila mengadaptasi filem daripada komik, permainan video, superhero dan fantasi. Walaupun ceritanya berbeza namun formatnya sama. Sama dari segi struktur naratifnya dan juga idea-ideanya. Protagonisnya mesti manusia. Kalau ingin bekerjasama sekalipun pasti manusia menjadi ketua dan robot jadi pengikutnya. Manusia menjadi penentu hala tujunya. Mungkin itulah sedikit keunikan fantasi Hollywood kepada dunia.

Fantasi Hollywood telah mewujudkan fantasi teknologi yang digerakkan oleh kuasa yang dapat dimanipulasi. Saya berfantasi pula segala teknologi fantasi adalah realiti yang telah ditemui tetapi disorokkan. Kini fantasi teknologi telah diumumkan sedikit demi sedikit dalam bentuk fantasi Hollywood. Namun demikian, kuasanya siapa dan apa? Dari Battleship permainan video hingga ke filem Battleship, ia bagai dirancang.

Interteks dilihat sebagai aspek pinjam meminjam antara satu karya ke dalam karya lain. Sama ada meminjam idea, petikan teks, watak, cerita atau apa saja. Kita lihat sahaja teks tradisional Melayu kita. Betapa masuknya Islam raja-raja kita melalui mimpi bertemu nabi dan apabila terjaga anunya telah tersunat.

Ceritanya sama cuma watak dan latarnya berbeza. Lalu timbul pertanyaan adakah pencipta karya tersebut saling kenal mengenali? Hidup sezaman? Atau pencipta yang sama? Tujuannya pula sama? Sungguh menakjubkan. Inilah juga misteri dan cuba diungkapkan melalui interteks, iaitu unsur di luar karya yang melahirkan karya itu sendiri.

Berbalik kepada fantasi Hollywood, dalam tahun ini selepas The Darkest Hour dan Wrath of the Titans, kita disogokkan lagi dengan fantasi Battleship - kisah kapal perang USS yang berdepan dengan kapal perang makhluk asing. Semasa permainan Battleship dilancarkan dan dipasarkan, fantasi permainan video yang diberi melalui mainan kanak-kanak dan remaja. Tembaklah semahunya sehingga sakit kepala dan kurang tidur.

TeknologiKini dijadikan sebuah filem berbajet besar, berbingkai, berwatak manusia dan berimej sebenar. Siapa yang tidak teruja? Teknologi bukan lagi alatan yang memudahkan kehidupan dan urusan manusia tetapi alat hiburan terkini dan mengkagumkan (kononnya).

Menghubungi makhluk asing bukanlah kerja kita. Alatannya dan risikonya lagi. Tetapi dalam fiksyen ia boleh sahaja diwujudkan dan menawarkan fantasi demi fantasi berterusan. Generasi muda kini mungkin belum lahir lagi semasa permainan Battleship wujud dan popular suatu ketika. Tetapi kini generasi muda boleh menonton filem adaptasinya dengan paparan 2D.

Generasi yang tidak pernah menemui permainan Battleship akan terkesima dengan idea naratifnya.

Interteks berlaku dalam kehidupan manusia melalui lintasan kenangan. Adaptasi adalah pengalihan dari satu medium ke medium lain. Penambahan merupakan suatu keperluan dan juga suatu penyesuaian dengan putaran zaman. Ketika gabungan latihan ketenteraan antara negara besar dunia (RIMPAC) dilancarkan, nama negara kita disenaraikan dan disebutkan dalam satu babak dengan urutan Amerika, Jepun, Malaysia begitulah dibunyikan.

Sekali lagi kita teruja. Jika tadi mungkin penonton dari negara lain-lain teruja dan terkesima. Dan kita yang bakal meraikan kemerdekaan ke-55 negara tahun ini lagi teruja dan terkesima apabila nama negara kita diumumkan, dibunyikan. 'Sayangnya' tentera kita tidak divisualkan. Adakah tentera kita tidak bersedia untuk memasuki seluruhnya fantasi Hollywood? Atau fantasi Hollywood yang belum bersedia menerima visual dan imej kehadiran tentera kita?

Sebaliknya imej dan visual yang ditonjolkan ialah tentera Jepun. Malah Kapten Jepun menjadi pelakon pembantu kepada Kapten-kapten tentera Amerika. Seingat saya bendera kita tidak dikibarkan di atas kapal perang melainkan bendera negara lainnya sekadar hendak menunjukkan banyak lagi negara lain terlibat biarpun tidak disebut.

Sewaktu latihan tentera diadakan dengan kapal-kapal perang, datanglah makhluk asing. Mereka datang pun dengan isyarat gelombang yang dipancarkan oleh NASA di Pulau Iowa, Hawaii sembah salam pun bersambut. Datanglah gerombolan tentera makhluk asing ke bumi seperti ketulan meteor menghentam bumi, dan pilihan dibuat, ia terkena satelit US dan terpelanting serpihannya ke Hong Kong, skala kemusnahan yang besar dan matinya pun ribuan orang.

Baru saya teringat, kapten tentera Malaysia yang diumumkan pun bukannya Melayu. Spontan teringat buku memoir juga sejarah Askar Melayu 50 Tahun oleh Dharmala N.S terbitan Pustaka Budiman dan pengedar tunggalnya Utusan Publications & Distributors (UP&D) pada tahun 1983. Ingat, ini bukan fantasi ini fakta sejarah. Bilakah agaknya kita dapat melihat fakta kita diadaptasi ke fiksyen filem dan wiranya adalah kita? Percayalah, kita tidak akan menjadi besar dalam sejarah dan fiksyen orang lain apatah lagi kalau sekadar disebut sahaja.

--- UTUSAN MALAYSIA

Rabu, 18 April 2012

‘Saya tahu batas agama’


FATIN mengaku tidak memilihkawan, namun dia sedar diri. Dia mendakwa sudah mempunyai kekasih dan dia seorang lelaki.


JIKA sebelum ini Erin Malik pernah berdepan kontroversi tindik lidah dan foto-foto liar yang tersebar di Internet, kini giliran rakannya dalam filem Tentang Bulan, Fatin Afifah, 18, dilanda kontroversi.

Menerusi beberapa keping gambar di Internet yang menunjukkan keintiman dan keakraban pemilik nama sebenarFatin Nur Afifah Shamsudin bersama seorang pengkid, dia turut ditohmah mengamalkan kehidupan songsang bersama individu terbabit yang dikenali dengan nama Puteri Sarah atau panggilannya Putt.

Sehubungan itu juga, beberapa keping gambar dia mencacah tatu nama pasangan lesbiannya pada bahagian pinggang sebelah kanan turut tersebar selain terdapat sebuah blog yang menceritakan kisah cintanya bersama Putt.
Kosmo! sempat bersua dengan pelakon filem Tentang Bulan dan Brainscan itu ketika sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini untuk bertanya perkara sebenar yang berlaku.

Kosmo!: Fatin Afifah, nama yang tiba-tiba melonjak naik selepas lama menyepi daripada dunia lakonan. Bagaimana anda melihat situasi
 yang sedang berlaku sekarang?
FATIN AFIFAH: Saya akui sudah lama tidak muncul di layar perak. Kali terakhir menerusi filem Brainscan. Mungkin ramai yang tidak mahu mengambil saya kerana saya kurang berbakat. Tapi, saya masih di bawah pengurusan Metrowealth Sdn. Bhd. (MIG). Mengenai situasi yang sedang berlaku, saya pun terkejut kerana tiba-tiba nama saya disebut-sebut tapi dengan kontroversi yang menyakitkan hati.

Adakah benar dakwaan yang mengatakan anda lesbian dan mempunyai tatu nama pasangan anda pada bahagian pinggang?
Tidak benar sama sekali! Saya sudah ada teman lelaki dan tidak pernah membuat tatu. Saya masih waras dan tahu pangkal agama saya. Mana mungkin saya melakukan perkara itu (sambil menunjukkan bahagian pinggang yang tidak bertatu).

Jadi, bagaimana anda menyifatkan kontroversi yang terjadi?
Ini semua fitnah dan mengaibkan saya! Saya tak tahu bagaimana perkara ini tiba-tiba tercetus. Mungkin ada yang iri hati dengan saya. Tapi saya tidak menuduh sesiapa, sama ada kenalan atau teman rapat saya yang buat onar.

Anda kenal individu yang didakwa pasangan lesbian anda?
Saya kenal dia dan dia kawan baik saya. Gambar-gambar yang tersebar di Internet diambil bersama kawan-kawan saya yang lain. Cuma yang membuat saya keliru, kenapa pula hanya gambar kami berdua yang disebarkan. Saya berkawan dengan semua orang dan tak pernah memilih kawan.

INILAH gambar yang mencetuskan kontroversi apabila Fatin didakwa menjalin cinta sejenis dengan pasangannya yang bernama Putt.


Bagaimana pula dengan blog yang dikatakan banyak menceritakan kisah percintaan anda?
Saya tidak ada blog dan langsung tidak tahu cara untuk menulis blog. Makin keliru apabila saya dituduh menulis blog untuk menceritakan kisah cinta saya. Ketika membaca blog itu saya sekadar ketawa. Sekarang blog itu sudah dibuang dan tiba-tiba pula saya yang dituduh terlibat membuang blog itu sebab malu.

Bagaimana kontroversi ini memberikan impak kepada keluarga dan rakan-rakan terdekat anda?
Mula-mula saya menangis sebab tak tahan. Tuduhan ini melampau! Saya banyak mengadu kepada rakan-rakan baik saya. Selebihnya, keluarga saya yang banyak memberi motivasi untuk saya. Saya harus terima ini sebahagian daripada dunia seorang selebriti.

Anda menyesal menjadi seorang artis yang pasti
setiap tindakan akan diperhatikan?
Saya pernah menyesal suatu ketika dahulu. Terlintas pada fikiran untuk berpatah balik tapi sudah terlambat kerana saya sudah masuk ke dalam industri.

Adakala, kontroversi sebenarnya menaikkan nama seseorang artis. Apa komen anda?
Saya tidak suka kontroversi sebegini. Isu ini memalukan saya dan yang paling menyedihkan apabila ibu dan ayah saya dipersalahkan kerana perkara ini.

Apa tindakan anda selepas ini?
Saya sudah membuat laporan polis baru-baru ini atas dasar menyebar fitnah dan mengaibkan saya. Saya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya membuang semua gosip yang mengaibkan saya itu. Saya nak buka buku baharu dan tak nak layan gosip murah sebegini. Saya akan fokus kepada dunia lakonan dan nyanyian.

Di sebalik Bunohan

FILEM Bunohan yang menjadi topik panas sejak sebulan lalu kerana memapar satu gaya penceritaan baru sinema Malaysia masih hangat diperkatakan ketika ini.

Malah ada segelintir pengkritik filem yang tidak mampu “mambaca” filem melabelkan Bunohan sebagai filem serabut, mengarut dan syok sendiri.

Walaupun mendapat kritikan, filem ini sebenarnya telah mendapat banyak pujian kerana berjaya menampilkan filem yang hebat. Ini memberikan sinar dalam industri yang dipenuhi lawak hantu murahan. Filem ini bertaraf antarabangsa kerana ia menyusuri sosial dan budaya tempatan. Semakin tinggi nilai tempatannya, semakin tinggilah nilai antarabangsa.

Keberanian pengarahnya, Dain Said melawan hukum filem sepatutnya diberi sokongan kerana selama ini kita hanya mampu menghasilkan filem lawak bodoh dan hantu yang hilang seramnya.

Keseluruhan perjalanan cerita Bunohan ini mempunyai makna yang tersendiri dari awal, pertengahan serta pengakhiran cerita, nama watak dan paling menarik mengenai mise-en-scene yang telah digarap oleh pengarahnya.

Di awal permulaan ceritanya, pengarah memaparkan satu kelir wayang kulit yang dikoyak di tengah-tengahnya sambil kamera menyusur masuk ke dalam kesan koyakan tersebut. Ini mengundang pelbagai tafsiran tentang subteks filem ini.

Namun pada dasarnya itu melambangkan tentang peralihan penceritaan tradisional yang dilambangkan melalui kelir wayang kulit kepada layar di panggung.

Di samping itu pengarah juga turut memberitahu penonton bahawa sinema tempatan sebenarnya bukan sahaja telah dikotori malah telah dikoyak sehingga menampakkan lubang kerosakan itu.

Dalam pada itu, mungkin ramai yang tidak tahu dan bingung mengenai watak budak lelaki yang selalu sahaja hadir dalam filem ini, dan paling menghairankan kenapa suara Pok Eng diserap masuk ketika budak lelaki itu berinteraksi dengan Mek Yah?

Dalam permainan wayang kulit, watak tiga orang pengasuh diraja, Wak Yoh, Samad dan Said serta berpuluh lagi watak antaranya Sita Dewi, Hanuman serta Pangeran Raja hanya dibezakan oleh suara seorang tok dalang dan begitu juga yang telah dilakukan oleh pengarah filem ini, roh Pok Eng sebagai Tok Dalang terkenal telah diserap masuk ke dalam diri budak lelaki tersebut.

Jika diperhatikan secara terperinci, pada awal filem ini bermula, dua orang tua yang berjalan ke warung kopi sambil bercerita untuk mengubati seorang budak yang sedang dirasuk dengan Main Puteri, itu sebenarnya adalah kesimpulan keseluruhan filem tersebut.

Di samping itu, realiti sebenar masyarakat desa untuk mendapat pelbagai berita serta mengadakan pelbagai perbincangan kebiasaannya di warung kopi turut di selitkan di dalam filem ini, kebanyakan babak filem ini banyak dilakukan di warung kopi, sebagai contoh, perbincangan di antara Bakar dan Jolok untuk merampas tanah dari Pok Eng turut dilakukan di warung kopi.

Nama-nama

Tambah menghiburkan adalah mengenai nama-nama watak yang diberikan, nama Jolok dalam dialek Kelantan misalnya menggambarkan mengenai kelakuan seseorang yang suka mengampu, dalam pada itu nama watak Ilham, Bunga Lalang, Bakar serta beberapa watak kecil lain juga mempunyai makna yang sesuai dipadankan dengan watak mereka.

Pengarah menggunakan lesennya sebaik mungkin dengan menggarap keseluruhan filem ini dengan unsur alam yang ada dan realiti sebenar masyarakat di kawasan kampung Bunohan.

Walaupun tajuknya Bunohan yang maksudnya dilihat sedikit ganas, namun konflik kekeluargaan menjadi topik utama filem ini.

Filem yang baik biasanya akan dikupas, dibincang dan dikaji selepas habis tayangannya, berlainan dengan filem hampas, selepas habis tayangan di situ juga tamatnya perjalanan filem tersebut.


--- UTUSAN MALAYSIA

Robot Gundam setinggi 18 meter


BEBERAPA wartawan melihat model robot Gundam saiz penuh di luar sebuah pusat beli-belah di Tokyo semalam.


TOKYO - Sebuah model saiz sebenar robot animasi popular Jepun, Gundam dipamerkan kepada orang ramai di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini.

Robot Gundam setinggi 18 meter itu menyambut kunjungan orang ramai ke pusat beli-belah Diver City Tokyo Plaza yang mula dibuka pada Khamis lalu.

Gundam merupakan siri animasi popular di Jepun yang diterbitkan pada tahun 1979.

Ia menampilkan robot gergasi yang dinamakan sut mobil kerana dikawal dari dalam oleh seorang jurupandu.

Watak utama dalam siri animasi berkenaan ialah sut mobil yang dikenali sebagai Gundam. - AGENSI


--- KOSMO

Cek hak cipta Superman dilelong RM490,400


GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan sekeping cek bernilai AS$130 (RM398) yang dikeluarkan oleh DC Comics untuk membeli hak cipta adiwira Superman pada 1 Mac 1938.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa dekad selepas dua kartunis muda dari Cleveland menjual hak cipta ke atas adiwira Superman pada harga cuma AS$130 (RM398), cek bertarikh tahun 1938 yang dibayar kepada mereka kini berharga AS$160,000 (RM490,400) dalam satu lelongan di Internet.

Bidaan tersebut berjaya memperoleh cek yang dikeluarkan oleh syarikat Detective Comics, kini dikenali sebagai DC Comics, kepada Jerome Siegel dan Joe Shuster untuk hak cipta ke atas karakter wira yang memiliki huruf S pada dadanya (Superman).

"Konsep adiwira lahir bersama Superman," kata pemilik bersama syarikat ComicConnect, Vincent Zurzolo yang mengadakan lelongan berkenaan.

"Cek AS$130 ini menghasilkan industri yang kini bernilai berbilion-bilion dolar," tambahnya.

Menurutnya, cek berkenaan dijual bagi pihak pewaris seorang pekerja firma DC Comics yang menyimpan kertas tersebut selama beberapa dekad di dalam laci sebuah almari di bilik tidur kediamannya.

Zurzolo bagaimanapun, enggan mendedahkan identiti pembeli cek tersebut.

Cek berkenaan dilelong beberapa bulan selepas komik edisi pertama Superman dilelong pada harga AS$2.16 juta (RM6.62 juta) pada Disember tahun lalu.

Kos untuk menerbitkan komik itu pada 1938 cuma AS$0.10 (RM0.30). - REUTERS


--- KOSMO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap