Kawan-kawan

Sabtu, 23 Januari 2010

FILEM: Rekod Bollywood

HANYA dalam 10 hari, filem arahan Rajkumar Hirani berjudul 3 Idiots berjaya mencipta rekod pecah panggung dengan kutipan sebanyak 2.4 bilion Rupees (RM170.7 juta) mendahului rekod terdahulu yang diterima produksi filem Ghajini (RM164.8 juta).

Sementara itu, filem berkenaan yang turut ditayangkan di 120 panggung sekitar Amerika Syarikat pula mencatat kutipan sebanyak AS$4.8 juta (RM16.1 juta). Menurut www.Hollywood.com, 3 Idiots menjadi filem Bollywood pertama memecah rekod pecah panggung lebih-lebih lagi kutipan filem dari India sebelum ini hanya mampu mengutip paling tinggi sebanyak AS$4 juta (RM13.4 juta).

Menerusi sebuah akhbar di India, kutipan yang diterima 3 Idiots juga sudah melangkaui keseluruhan kutipan tiket pada November 2009 untuk beberapa tayangan filem termasuk filem pecah panggung berjudul Ajab Prem Ki Gazab Kahani.

Menariknya, pengkritik di sana menjelaskan kejayaan besar filem berkenaan bukan saja terletak kepada populariti pelakonnya tetapi juga kerana kualiti produksi, kempen promosi yang berterusan serta kekuatan jalan cerita itu sendiri.


Malahan, kebanyakan ulasan terhadap filem itu sentiasa memuji produksi berkenaan. Dibarisi ramai bintang Bollywood seperti Aamir Khan, Kareena Kapoor, Sharman Joshi, Boman Irani dan Madhavan serta disulam jalan cerita yang cukup kuat, tiada siapa mahu melepaskan peluang menontonnya.

Tambahan pula, dikelaskan dalam genre komedi menjadikan ia filem yang dinanti-nantikan lebih-lebih lagi genre berkenaan sentiasa dapat memikat golongan penonton.

Bagaimanapun, pengkritik filem di Amerika Syarikat sentiasa melihat potensi yang ada pada filem Bollywood. Selepas kejayaan 3 Idiots, mereka mengharapkan sesuatu yang menggemparkan daripada produksi Bollywood serta mengharapkan filem lakonan Shah Rukh Khan berjudul My Name Is Khan dapat menyamai atau menandingi kutipan pecah panggung berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap