Kawan-kawan

Sabtu, 6 Februari 2010

Kisah hidup Nabil yang tidak sampai (Utusan Malaysia)


PARA pelakon Lu Pikirlah Sendiri De Movie bersama penerbit dan penaja yang terbabit dalam penerbitan filem tersebut.


LU Pikirlah Sendiri De Movie merupakan filem pertama yang menampilkan Nabil sebagai pelakon utama juga dengan watak bernama Nabil dalam filem terbitan SDAF Pictures (M) Sdn. Bhd. tersebut.

Malah, filem dengan masa tayangan 90 minit itu juga agak unik kerana lebih separuh daripada jalan cerita yang dipaparkan merupakan pengalaman hidup yang pernah dilalui oleh Raja Lawak itu.

Bagaimanapun, menurut juara pertandingan Raja Lawak musim kedua ini, dia berasa kurang puas hati kerana filem arahan Aminah Rhapor itu tidak memberi kesan sebenar seperti yang diharap-harapkannya.

"Bagi saya, kesan sebenar dalam filem ini tidak ada. Ia tidak sampai," komen Nabil pada pertemuan dengan para wartawan selepas pratonton filem itu di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Biarpun agak berat untuk meluahkan komen jujurnya berhubung filem genre komedi lakonannya itu namun anak kelahiran Negeri Sembilan ini tidak mampu untuk menyembunyikannya.

Sambil mengakui dirinya pelakon baru, tetapi Nabil memandang serius perkara tersebut kerana Lu Pikirlah Sendiri De Movie merupakan karya yang sebahagian besar memaparkan perjalanan hidupnya.

"Ia menceritakan 70 peratus perjalanan hidup saya sebelum saya menjadi artis. Bagi saya, ini adalah perkara besar kerana filem ini menggunakan nama dan pengalaman hidup saya. Ia tidak seperti filem Sifu dan Tongga yang saya lakonkan sebelum ini bersama Saiful Apek.

"Saya tahu Sifu dan Tongga mendapat kritikan (mungkin kerana gaya lawak saya) tetapi saya tidak terasa kerana watak itu bukan diri saya. Terus terang saya katakan filem ini (Lu Pikirlah Sendiri De Movie) tidak mencapai piawaian saya," ujarnya.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad yang juga pertama kali menonton filem lakonannya pada majlis tersebut berkata, dia sendiri tidak faham dengan jalan cerita filem arahan dan skrip hasil tulisan Aminah Rhapor itu.

Katanya, dia tidak faham hala tuju filem lakonannya bersama Puteri Sarah Liyana, Mila dan kumpulan Meet Uncle Hussain itu terutamanya pada klimaks filem tersebut.

"Saya bukan sahaja tidak faham jalan cerita filem ini malah tidak tahu hala tujunya. Ia samar-samar. Semasa separuh jalan saya menonton filem ini saya keluar sekejap dan duduk di luar panggung wayang.

"Apa yang boleh saya tambah ialah pada awal mahu menyaksikan filem ini lagi saya sudah berasa agak takut. Sejak keluar rumah tadi sudah ada perasaan itu. Apatah lagi ini adalah pertama kali saya berlakon selepas keluar daripada Raja Lawak 2," katanya.

Sewaktu ditanya mengapa beliau tidak campur tangan dalam penulisan skrip dan pengarahan filem itu, Nabil berkata, pada ketika itu dia masih baru dalam bidang lakonan dan memberi sepenuh kepercayaan kepada pengarahnya.

Lu Pikirlah Sendiri De Movie yang skripnya ditulis sepenuhnya oleh Aminah Rhapor itu memaparkan sebahagian besar pengalaman Nabil sebelum bergelar artis seperti menjadi penghantar surat ( despatch), menjual ayam di pasar dan berniaga di pasar malam.

"Sepanjang penggambaran filem ini dijalankan saya hanya mengikut apa juga kata pengarah (Aminah Rhapor). Saya tidak berasa benci atau menyampah menonton filem ini. Ini kerana, pada waktu itu saya masih baru sebagai pelakon.

"Saya pun bukannya tahu fasal penulisan skrip. Saya juga bukannya seorang pengarah. Saya seperti tiada hak untuk campur tangan dalam hal ini," ulasnya ringkas tanpa berselindung.

Mengulas lanjut tentang perkara itu kata Nabil, filem itu cukup penting bukan setakat dalam perkembangan kariernya sebagai pelakon tetapi ia juga akan melibatkan kepuasan para peminat yang akan menontonnya kelak.

Filem yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan mulai 11 Februari ini jelasnya, merupakan sebuah karya yang tentunya dinanti-nantikan oleh para peminat yang ingin melihat suatu kelainan dalam lakonannya.

"Saya akan terasa (kecewa) kalau orang hampa tengok filem ini. Dulu masa saya menyertai Raja Lawak 2 saya menggigil-gigil bertanding di atas pentas. Ia semata-mata mahu memuaskan hati para penonton yang mengundi saya.

"Bagi saya nilai SMS (khidmat pesanan ringkas) 50 sen yang dikirim untuk setiap SMS kepada saya itu amat besar nilainya. Mereka (penonton) tentunya mahukan lawak jenaka yang membolehkan mereka ketawa. Saya sedaya upaya mahu memuaskan hati pengundi saya. Begitu juga dengan filem ini," ungkapnya.

Pada masa sama Nabil yang dijangka membintangi filem Kluang-Man arahan Aziz M. Osman sekitar April ini tidak menyesal berlakon dalam Lu Pikirlah Sendiri De Movie, sebaliknya dia menimba pengalaman baru.

Sementara itu, Aminah selaku pengarah dan penulis skrip Lu Pikirlah Sendiri De Movie berkata, dia berasa puas hati dengan pembikinan filem itu biarpun ia agak lambat untuk ditayangkan di pawagam.

Ujarnya filem arahannya yang menjalani penggambaran pada Julai 2008 itu mampu menarik perhatian para penonton seisi keluarga dengan genre drama komedi serta menampilkan ramai pelakon popular.

"Tipulah kalau saya kata tidak takut dengan sambutan daripada para penonton kelak. Saya redha dan yakin. Sasaran penonton filem ini adalah remaja dan ibu bapa yang datang bersama anak-anak mereka juga sesuai menontonnya.

"Walaupun filem ini menampilkan isu-isu yang berat tentang diri seseorang tetapi saya cuba sampaikannya dalam cara yang ringan. Saya puas hati dengan filem ini walaupun lama terperap sebelum ia dapat ditayangkan iaitu hampir setahun enam bulan.

"Untuk filem ini saya menunggu agak lama sebelum studio untuk proses penyuntingannya dapat disiapkan. Kami edit sendiri dan tidak menyewa di tempat lain," jelasnya yang juga terkenal dalam bidang pementasan teater.

Mengulas tentang lakonan Nabil dalam Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Aminah gembira dengan persembahan anak muda itu biarpun ia merupakan filem lakonan pertama artis kelahiran Astro itu.

"Dia (Nabil) bagus. Nabil boleh pergi jauh dalam bidang lakonan kerana gaya lakonannya selamba. Dia boleh buat orang ketawa dan menangis. Selain Nabil pelakon lain seperti Mila juga barus, dia memang ada bakat dalam lakonan," katanya lagi.

Meskipun filem itu belum ditayangkan di pawagam tetapi sewaktu tayangannya diadakan di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Perguruan Sultan Idris baru-baru ini tambah Aminah, sambutannya amat menggalakkan sekali di mana kutipan tiketnya mencecah RM16,778.

Lu Pikirlah Sendiri De Movie mengisahkan Nabil yang terpaksa melakukan pelbagai kerja seperti menjual ayam, berniaga makanan di pasar malam dan budak penghantar surat.

Nabil melakukan semua itu demi membantu keluarganya yang kurang berada walaupun dia melalui pelbagai cabaran termasuklah berdepan dengan seorang gadis anak orang kaya yang sombong bernama Natasya.

Namun, segala cabaran itu diharunginya dengan tabah sehingga akhirnya dia mencipta nama bersama sebuah kumpulan muzik dalam suatu pertandingan sehingga membuka mata pihak-pihak lain yang sebelum itu memandang hina padanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap