Kawan-kawan

Sabtu, 6 Februari 2010

Fouziah tidak kisah dikritik (Utusan Malaysia)


FOUZIAH Gous tidak kisah dikritik seandainya ia untuk kebaikan karier seninya.


SEJAK menceburi lapangan seni secara aktif dua tahun lalu, nama Fouziah Gous dengan pantas meniti di bibir peminat serta masyarakat.

Dalam sekelip mata sahaja, namanya berada di puncak populariti dan mampu sebaris dengan aktres popular negara yang lain.

Tetapi, di sebalik limpahan populariti yang dikecapinya, Fouziah tidak terlepas daripada kritikan masyarakat yang sering kali mempertikaikan bakat lakonannya.

Stereotaip, tiada ekspresi serta gagal menjiwai watak merupakan antara label yang dilemparkan kepadanya sehingga ada yang mengatakan Fouziah hanya mempertaruhkan wajah jelitanya semata-mata.

Terbaru, lakonannya dalam filem 2 Hati 1 Jiwa yang kini sedang ditayangkan juga dikritik dengan hebat sekali apabila wataknya sebagai Lana dilihat sebagai gedik, mengada-ngada selain lontaran vokalnya yang cukup membingitkan.

Fouziah yang mula dikenali menerusi drama Cinta Medik itu hanya tersenyum manis saat diajukan tentang perkara berkenaan.

Tidak mahu cepat melenting atau melatah dengan lemparan negatif terhadapnya, bagi Fouziah dia tidak kisah dengan apa kata-kata orang terhadapnya.

Kerana baginya, jika dia tidak dikritik, tidak mungkin untuk dia tahu kelemahan dan kesilapan dirinya sendiri.

"Jujurnya, saya memang suka pada kritikan dan sentiasa berfikiran terbuka terhadapnya serta melihatnya sebagai sesuatu yang positif.

"Sebarang kritikan yang saya rasa mampu meningkatkan prestasi lakonan saya, sudah pasti akan saya ambil dan perbaiki mana yang saya rasakan perlu.

"Bagi saya, setiap kritikan itu saya anggap sebagai satu proses pembelajaran untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada sebelumnya," jawabnya dalam nada yang cukup positif sekali.

Fouziah ditemui pada sidang akhbar pengumumannya sebagai duta terbaru produk Alaisyah di Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, gadis berdarah kacukan Melayu, Cina dan Pakistan ini memberitahu, dia tidak boleh memuaskan hati semua pihak apabila memperkatakan tentang soal berkarya.

Kerana kata Fouziah, dia menganggap dirinya masih lagi muda dan hijau dalam bidang lakonan yang masih lagi perlukan bimbingan untuk menjadi seorang aktres yang dihormati serta disegani.

Cuma, apa yang membuatkannya dia gembira serta bersyukur apabila dia tidak pernah putus menerima tawaran berlakon sehingga tiada masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarganya.

"Memang saya mengharapkan untuk mengulangi momen indah yang pernah saya lalui ketika bercuti bersama keluarga seperti dulu.

"Kalau boleh, mahu sahaja saya bercuti selama seminggu dan berehat sepuas-puasnya. Tetapi, ini semua adalah rezeki dan jalan ini yang saya pilih dalam mencari rezeki yang halal.

"Tidak pernah saya merungut atau mengeluh kepenatan kerana apa yang saya lakukan adalah demi keluarga saya juga yang banyak menyokong pembabitan saya dalam bidang seni," ujarnya sambil tersenyum manis.

Menyambung bicara, bekas pramugari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) ini menjelaskan, sepanjang dia bergelar aktres, terlalu banyak pengalaman yang sudah ditimba daripada pengarah serta pelakon terkenal negara.

Dalam konteks itu, dia menyifatkan dirinya sebagai seorang yang bertuah kerana bagi seorang pendatang baru sepertinya, bukan mudah baginya untuk memperolehi pengalaman sedemikian rupa.

"Apabila berada di lokasi penggambaran, saya tidak hanya duduk diam sebaliknya saya akan ringan mulut untuk bertanya kepada semua krew yang terlibat.

"Bagi saya, tugas saya bukan sahaja sebagai seorang pelakon yang hanya menonjolkan bakat lakonan di depan kamera sahaja.

"Sebaliknya, saya juga mahu mendalami perkara di belakang tabir kerana semua itu adalah ilmu pengetahuan buat seorang aktres seperti saya," jelasnya panjang lebar dalam nada bersungguh.

Buat masa ini, Fouziah masih lagi sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Penunggu Gunung Raya terbitan Filmscape Sdn. Bhd. yang bakal mengisi slot Seram di TV3 tidak lama lagi.

Malah, dia juga baru sahaja selesai membintangi filem Ratu dan Rasuk yang akan ditayangkan tahun ini.

Dalam pada itu, kata-kata nakal mula singgah di telinga apabila ramai yang mula melihat kemilau Fouziah sebagai seorang aktres semakin hari semakin pudar - tidak seperti di awal kemunculannya dulu.

Apatah lagi dengan kebanjiran pelakon-pelakon baru yang memiliki bakat yang mampu dibanggakan, sedikit sebanyak nama Fouziah mula tenggelam.

Tidakkah Fouziah bimbang akan perkara tersebut kerana peminat dan penonton kini semakin bijak menilai bakat lakonan setiap pelakon terutama sekali bakat lakonan pelakon baru.

Saat diajukan perkara berkenaan kepada aktres berusia 26 tahun ini, Fouziah melihatnya dari sudut yang positif.

Jelasnya, dia langsung tidak pernah memikirkan soal persaingan kerana percaya setiap pelakon mempunyai identiti serta cara mereka yang tersendiri.

"Dalam hal ini, saya cukup kagum dengan Datuk Siti Nurhaliza yang masih mengekalkan diri dan identitinya biarpun sudah 15 tahun menjadi artis serta bergelar seorang isteri.

"Saya mahu menjadi sepertinya dan apa yang anda lihat hari ini adalah diri saya yang sebenar. Saya tidak akan sesekali mengubah diri saya semata-mata untuk memuaskan hati orang lain.

"Pada saya, untuk kekal dalam bidang seni ini apa yang penting adalah untuk menjaga perlakuan dan disiplin," jelas pelakon filem Sifu dan Tongga serta Rasukan Ablasa ini menyatakan pendiriannya.

Bercerita tentang tugas barunya sebagai duta Alaisyah, Fouziah berasa bangga apabila menjadi pilihan Tohtonku sebagai muka baru kepada produk kecantikan tersebut.

Apatah lagi, ini merupakan kali pertama dia menjadi duta untuk produk kecantikan.

Jelasnya, dia didatangi syarikat kosmetik terkemuka itu sekitar tahun lalu dan selepas diberi peluang mencuba rangkaian produk berkenaan, barulah Fouziah yakin untuk menggalas tugas sebagai duta.

Tidak mahu sekadar menjadi penghias wajah dan menipu peminat, Fouziah sendiri mahu menggunakannya terlebih dahulu sebelum dia dapat menyakinkan pengguna terhadap produk tersebut.

Kata Fouziah atau nama sebenarnya, Nor Fouziah Mohd. Gous ini lagi, kulit wajahnya yang begitu sensitif itu menjadikan dirinya agak selektif dalam memilih produk penjagaan wajah khususnya.

"Ada kalanya produk kecantikan antarabangsa tidak sesuai dengan kulit wajah wanita Asia kerana kandungan bahannya yang dibuat khusus untuk cuaca mereka.

"Kerana itu, saya benar-benar yakin dengan Alaisyah kerana bahan-bahan yang digunakan semuanya adalah asli dan tradisional seperti yang pernah digunakan oleh nenek moyang kita dulu," katanya yang merupakan pengguna tegar pencuci muka Alaisyah.

Kecantikan Fouziah memang diakui memandangkan dia memiliki raut wajah yang mulus di samping rambutnya yang panjang mengurai, lebat dan hitam itu

Jelasnya, sedari kecil dia sudah didedahkan dengan petua tradisi turun-temurun daripada ibunya.

"Saya memang elakkan minuman berais dan bergula sejak kecil. Bukan itu sahaja, saya juga menggunakan pati bunga raya yang telah ditumbuk dan sapukan ke rambut saya," ujarnya yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan Alaisyah dan akan jelajah negara bagi mempromosikan produk tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap