|
|
SEPANJANG suku abad melayari hidup sebagai seorang anak seni, Datuk Sheila Majid mengakui, bukan mudah untuk dia sampai ke tahap tertinggi seperti hari ini.
Katanya, sebaik sahaja dia melangkah ke dunia seni pada tahun 1985, itu merupakan titik permulaannya untuk terus berusaha dan memperbaiki diri sehingga menjadi seorang penghibur tersohor negara.
Bukan itu sahaja, jelas Sheila, perancangan teliti serta pengurusan yang cekap juga harus dititik beratkan jika mahu terus bertahan lama di dalam industri.
"Untuk menjadi seorang artis memang bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan kecekalan yang cukup tinggi.
"Seperti diri saya juga, saya tidak menjadi seperti mana hari ini hanya dengan semalaman. Banyak proses yang perlu saya lalui dan belajar untuk terus bertahan.
"Perjalanan seni saya selama 25 tahun ini boleh diibaratkan sebagai satu proses yang panjang yang menyeronokkan," kata Sheila.
Wanita kecil molek ini berkata demikian sewaktu ditemui pada sidang akhbar Malam Gala Ratu: Penghargaan Untuk Wanita Malaysia sempena ulang tahun kelima jenama terkenal, Cosry.
Turut hadir ialah Pengasas dan Pengarah Urusan Cosry Wise Sdn. Bhd., Ariff Quasri Md. Nor dan Pengarah Eksekutif Kreatif Cosry, Putra Aziz.
Menariknya, malam gala pada 10 April itu nanti akan menampilkan persembahan istimewa Sheila selama 45 minit dan ia merupakan salah satu siri persembahan Sheila sempena sambutan jubli peraknya dalam industri seni suara.
Bukan itu sahaja, malam gala itu juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi Yayasan Institut Jantung Negara (IJN).
Jelas Sheila, ada kalanya dia berasa kasihan melihat nasib sesetengah artis baru yang seperti hilang arah serta terumbang-umbang berjuang di medan seni.
Menyambung bicara, Sheila memberitahu selain daripada sifat ingin terus belajar yang ditanam dalam dirinya sejak menjadi penyanyi, kekuatannya untuk terus bertahan adalah kerana peminatnya.
Ujarnya, peminat yang tidak pernah lelah menyokongnya selama bergelar penghibur merupakan nadi kekuatannya setiap kali membuat persembahan.
"Saya percaya kalau bukan kerana mereka yang sentiasa bersama saya, tidak mungkin saya akan terus berdiri di pentas seni dan menghiburkan mereka.
"Percaya atau tidak, hubungan saya dan peminat-peminat saya memang rapat.
"Apa yang mengharukan saya apabila ada di antara mereka yang kini sudah berkahwin dan beranak-pinak tetap meminati saya termasuk pasangan serta anak-anak mereka.
"Sungguh manis sekali apabila muzik saya diminati dari satu generasi ke generasi yang lain dan ternyata muzik saya menyatukan ramai pihak. Itu sudah cukup membanggakan saya," ujar ibu kepada empat orang cahaya mata ini yang turut berkomunikasi dengan peminatnya menerusi Facebook dan Twitter.
Saat diajak berbicara tentang perancangan seninya untuk tahun ini, Sheila yang cukup terkenal dengan sifat ramah ini mengakui sudah merangka banyak projek besar dan istimewa yang masih dalam perbincangan.
Biarpun begitu, Sheila enggan membuka mulut dan berkongsi perancangannya dengan pihak media yang sedari awal teruja menantikan perkhabaran tersebut.
"Bukan tidak mahu berkongsi tetapi bagi saya, tunggulah majlis yang sesuai nanti kerana ketika itu, semuanya akan diberitahu," katanya sambil mengukir senyum penuh makna.
Namun, satu yang pasti Sheila tidak menyembunyikan rancangannya untuk mengadakan sebuah konsert besar di Stadium Negara, Kuala Lumpur.
Malah, wanita yang baru sahaja menginjak usia 45 tahun pada 3 Januari lalu itu sudah pun memilih tarikh untuk konsert berkenaan iaitu 27 November.
"Ironinya, tarikh itu merupakan tarikh yang sama saya beraksi di Konsert Legenda dan juga di tempat yang sama pada tahun 1991.
"Masih ada sembilan bulan lagi untuk saya berusaha mencari penaja bagi merealisasikan impian saya ini kerana saya mahu meraikannya dengan peminat," jelasnya yang sudah pun membentangkan kertas kerja kepada beberapa syarikat gergasi untuk mendapatkan penajaan.
Dalam perkembangan lain, Sheila juga sudah selesai merakamkan single terbarunya, Dengarkanlah dan kini menunggu masa untuk menjalani rakaman muzik videonya.
Jika tiada aral melintang, lagu tersebut akan dilancarkan dan mula dimainkan di corong radio selepas sambutan Tahun Baru Cina nanti.
Menyentuh tentang persembahannya untuk Malam Gala Ratu: Penghargaan Untuk Wanita Malaysia, menjelaskan pada malam itu nanti, dia akan menyampaikan lagu-lagu yang ada kaitannya dengan wanita.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Cosry kerana sudi menjemput saya untuk membuat persembahan dan sama-sama meraikan wanita Malaysia yang akan diiktiraf pada malam itu nanti.
"Itu salah satu sebab mengapa saya menerima tawaran mereka kerana sambil berhibur, kita juga berbakti dan beramal dalam membantu mereka yang memerlukan," katanya yang akan mengenakan tiga persalinan kebaya rekaan Cosry pada malam itu nanti.
Salah satu kebaya itu juga nanti akan ditatah dengan berlian dan permata jenama Mouawad sekali gus melayakkan untuk memasuki Guiness Book of World Records sebagai kebaya termahal di dunia.
Tiket-tiket untuk menyaksikan persembahan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu sudah mula dijual pada harga RM390 dan RM490 bagi individu manakala pembelian untuk meja pula adalah RM3,900 dan RM4,900.
Sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Khairil Fadzli Mohd. Ali di talian 03-2287 2959 atau emel ke khairil@cosry.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.