Kawan-kawan

Selasa, 2 Februari 2010

Mampukah 2 Hati 1 Jiwa pecah panggung? (Utusan Malaysia)


FILEM 2 Hati 1 Jiwa telah menguji kredibiliti Fouziah Gous dan Yasmin Hani sebagai pelakon.


TIDAK dinafikan, konsep penceritaan yang ditonjolkan menerusi filem 2 Hati 1 Jiwa (2H1J) yang sudah pun ditayangkan bermula 28 Januari lalu memang cukup menarik.

Apatah lagi, 2H1J diilhamkan daripada kisah benar kembar siam kelahiran Iran, Ladan dan Laleh Bijani yang meninggal dunia pada tahun 2003.

Mengangkat kisah sepasang kembar siam yang bercantum di kepala dan cuba mengharungi kehidupan seperti manusia normal lain dilihat cuba memberi satu santapan baru kepada audiens.

Memang tidak dinafikan konsep penceritaan yang cuba ditonjolkan oleh pengarahnya, Prof. Madya A. Razak Mohaideen menerusi filem ke-28 arahannya itu mampu menarik penonton ke pawagam.

Menggabungkan elemen drama dan komedi, tidak mustahil untuk filem ini mencatatkan kutipan yang mampu dibanggakan.

Sewaktu bertemu dengan pengarah prolifik ini pada Malam Gala 2H1J di GSC Tropicana Mall, Damansara, Selangor, baru-baru ini, A. Razak menjelaskan bukan mudah untuk menghasilkan filem 2H1J yang telah menuntut masa dan pengorbanan yang besar.

Apatah lagi dengan bajet yang dilaburkan hampir RM2 juta, A. Razak memberitahu dia sudah melakukan yang sebaiknya untuk buah tangan terbarunya itu.

"Kalau kita lihat sejarah penerbitan filem di negara ini, filem dari genre drama sukar sekali mendapat sambutan yang cukup baik daripada masyarakat.

"Kerana itulah, saya menggabungkan dua elemen ini untuk menguatkan lagi jalan ceritanya di samping untuk menarik audiens ke pawagam.

"Bukan itu sahaja, saya bikin filem ini juga adalah untuk menzahirkan suara hati golongan kurang upaya di negara ini yang mungkin berdepan dengan kesulitan serta menyedarkan masyarakat," katanya penuh bersungguh.

2H1J diterbitkan dengan kerjasama Primeworks Studios dan Lineclear Motion Pictures dibintangi oleh Fouziah Gous dan Yasmin Hani yang memegang watak sebagai kembar siam bernama Lana dan Lina.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini ialah Mustapha Kamal, Ziela Jalil, Fahrin Ahmad, Irma Hasmie, Jalil Hamid dan Iqram Dinzly.

Namun begitu, berkali-kali A. Razak menegaskan 2H1J bukanlah filem yang dicedok sepenuhnya daripada kisah kembar siam itu.

Cuma, dia mengambil kisahnya itu sahaja dan mengolahnya dengan memaparkan sebuah cerita yang memiliki semangat serta pengakhiran yang gembira buat watak Lana dan Lina.

Dalam masa yang sama, A. Razak turut memberitahu kesan khas yang ditonjolkan dalam filem ini juga merupakan salah satu strategi untuk memancing penonton dan menyelami penderitaan yang dialami oleh pasangan kembar tersebut.

Apatah lagi, kesan khas yang ditampilkan kali ini cukup berlainan dengan kesan khas yang pernah ditonjolkan dalam filem-filem arahannya sebelum ini seperti Hingga Hujung Nyawa dan Cinta Kolestrol.

Dan juga, bajet yang diperuntukkan kali ini untuk kesan khas filem 2H1J merupakan yang terbesar dan paling mahal iaitu sebanyak RM200,000.

Saat diajukan adakah filem 2H1J merupakan sentuhan terbaiknya sepanjang bergelar pengarah filem selama 13 tahun, A. Razak enggan mendabik dada dan terus berasa bangga.

"Prinsip saya untuk setiap filem yang saya hasilkan haruslah berbeza kerana tidak mahu ia kelihatan stereotaip.

"Setiap filem yang saya hasilkan ada nilainya yang tersendiri dan saya sudah hasilkan filem bercorak drama berat, fantasi, seram dan komedi.

"Jadi, untuk itu juga saya menampilkan kelainan untuk 2H1J yang saya percaya dapat menarik perhatian masyarakat," ujarnya sambil disokong oleh adiknya, Latiff Mohaideen selaku penerbit 2H1J.

Ketika diajukan pertanyaan kepada Latiff tentang percaturan syarikatnya memilih Fouziah dan Yasmin sebagai teraju utama, mereka memang yakin dengan kredibiliti dua aktres berkenaan.

Apatah lagi, untuk mencari dua pelakon yang memiliki ketinggian yang sama dalam membawakan watak kembar berkenaan memang sukar sekali.

Namun, selepas menjalani uji bakat, mereka melihat Fouziah dan Yasmin memiliki keserasian dalam membawakan watak Lana dan Lina.

"Kami memberikan peluang kepada Fouziah sebagai pelakon utama dalam filem ini kerana memikirkan sudah tiba masanya untuk dia melangkah sebagai seorang pelakon utama.

"Lebih-lebih lagi, selepas tiga tahun menjadi artis residen kami dan terlibat dengan banyak projek terbitan kami, jadi inilah peluang untuknya mengembangkan lagi bakatnya.

"Begitu juga dengan Yasmin yang kali pertama kami tampilkan dalam filem Duyung terbitan syarikat kami dan dia telah memberikan komitmen yang sangat bagus.

"Jadi, menerusi 2H1J inilah kami mahu meneroka lagi bakat lakonannya dan kami juga percaya dengan populariti mereka berdua yang mampu memberikan kejayaan kepada filem ini," kata Latiff penuh optimis.

Dalam masa yang sama, Latiff memberitahu pihaknya mahu penonton serta masyarakat yang menonton filem 2H1J akan mendapat mesej yang tersirat dan tersurat.

"Filem ini menonjolkan banyak mesej yang mampu menyedarkan masyarakat khususnya terhadap golongan kurang upaya.

"Bukan itu sahaja, filem ini turut memaparkan kisah cinta yang tidak mengenal paras rupa mahupun sifat fizikal seseorang itu," ujarnya lagi.

Sementara itu, bagi Fouziah dan Yasmin, membawakan watak kembar siam dalam filem ini memberikan pengalaman baru dan perit dalam karier mereka.

Perwatakan mereka juga berbeza apabila Fouziah membawakan watak adik yang bersifat keanak-anakan manakala Yasmin pula merupakan seorang kakak yang memiliki sifat tegas dan berperwatakan berbeza dengan adiknya.

Mereka sependapat bahawa proses penggambaran filem ini benar-benar menguji mental dan fizikal sementelah hampir sepanjang masa mereka perlu bercantum.

Apatah lagi dengan proses solekan kesan khas yang memakan masa dan merangkumi lapan jam setiap hari sememangnya telah banyak mengajar mereka.

"Bayangkan, kami tidak boleh berdiri lama dan perlu baring setiap masa bagi memastikan solekan kesan khas itu tidak akan terjejas.

"Sepanjang penggambaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) merupakan waktu yang cukup kritikal buat kami kerana di situ kami harus berdiri untuk jangka masa yang lama.

"Jadi, apa yang kami lakukan adalah untuk membentang tilam dan baring apabila tiba waktu rehat," jelas Fouziah yang memberitahu dia dan Yasmin ada kalanya menitiskan air mata akibat kesakitan yang ditanggung tatkala memakai alat kesan khas tersebut.

Bagi Yasmin pula, pengalaman berlakon dalam 2H1J telah membuka matanya dan merasai penderitaan oleh kembar siam yang dilahirkan sedemikian rupa.

"Kalau dalam sehari dapat tidur selama lapan jam memang dikira bertuah (ketawa) tetapi malangnya tidak.

"Sampaikan saya sakit-sakit badan sepanjang 25 hari berlakon dalam filem ini dan saya bernasib baik ada Fouziah yang sentiasa bersama-sama saya sepanjang penggambaran," ujarnya yang memberitahu 2H1J merupakan filem pertama yang menampilkannya sebagai pelakon utama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap