Kawan-kawan

Selasa, 2 Februari 2010

Avatar dan keajaiban teknologi (Utusan Malaysia)



Teknologi 3D membuatkan Avatar diingati sepanjang zaman.


FENOMENA filem Avatar sudah melanda ke seluruh dunia. Ini merupakan kemuncak pertemuan keajaiban teknologi dan kehalusan seni yang menzahirkan filem sebagai medium yang paling berpengaruh.

Filem ini mengulangi demam filem Titanic pada tahun 1997 yang mencatatkan kutipan tertinggi dalam sejarah filem dunia. Tetapi beberapa hari lalu Avatar sudah melepasi kutipan Titanic dan muncul tempat pertama.

Tetapi yang hebat dan luar biasa mengenai Avatar bukanlah kutipan. Sebaliknya luar biasa Avatar kerana eksperimen teknologi yang menjadi perintis filem masa depan. Avatar menjadi satu mercu tanda bagaimana teknologi mampu mengubah persepsi sekaligus peranan sebuah karya seni menjadi permainan teknologi.

Filem dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Ini kerana filem pertama yang dihasilkan pada 28 Disember 1889, The Arrival of a Train oleh Louis dan Auguste Lumiere juga kerana teknologi yang memanfaatkan cahaya dan bayang. Filem pertama itu hanya merakamkan kedatangan kereta api di sebuah stesen.

Pada ketika itu, penemuan teknologi yang boleh memancarkan imej bergerak pada layar adalah suatu yang hebat. Jadi, sepanjang masa filem sentiasa toleran dengan semua teknologi yang bertolak daripada prinsip asal iaitu cahaya dan bayang.

Avatar diarahkan oleh James Cameron yang sebelum ini pernah menghasilkan Titanic yang juga mencatatkan sejarah dalam suntikan teknologi canggih imej penjanaan komputer (CGI). Tanpa teknologi, Titanic tidak dapat dizahirkan dengan kesan yang berkali ganda berbanding filem Titanic versi sebelumnya.

Banyak orang tahu tragedi tenggelamnya kapal Titanic dan mungkin pernah menonton beberapa filem tentang tragedi ini. Tetapi yang membezakan Titanic di tangan Cameron dengan yang sebelumnya ialah teknologi yang menzahirkan imaginasi pada fikiran Cameron.

Avatar memperlihatkan Cameron seorang yang imaginatif, tentu saja ini tidak mampu dizahirkan sekiranya tidak ada teknologi yang boleh mencipta visual tanpa melakukan penggambaran secara tradisional. Avatar tercipta apabila seorang karyawan yang imaginatif memiliki alat yakni teknologi untuk menzahirkan imaginasinya.

Filem adalah medium seni yang paling pantas meredah pembaharuan kalau dibandingkan dengan kesusasteraan, seni lukis dan seni pementasan. Pada usia yang pada relatifnya “baru”, filem kelihatan sangat toleran untuk menerima dan menyesuaikan dengan perubahan teknologi yang pesat berlaku pada sesuatu zamannya.

Kerana itu filem menjadi medium seni yang cukup berpengaruh, bukan sekadar perakam sosial malah penentu menu sosial dan agenda politik pihak yang menaklukinya. Penemuan teknologi yang menjadi pemangkin melonjakkan kedudukan filem sebagai jaringan sosial untuk menonton paparan yang sama di serata dunia.

Filem Avatar bukan saja dilihat hebat kerana kutipan yang mengekori rekod yang dicipta oleh Titanic tetapi menjadi perintis kepada revolusi teknologi pembikinan filem di dunia. Maka dalam lima atau sepuluh tahun lagi, teknologi Avatar hari ini sudah pasti akan dianggap ketinggalan zaman. Kepantasan evolusi teknologi membuat filem boleh dilihat apabila pengarah George Lucas menghasilkan filem Star Wars (1977) dengan memperkenalkan CGI. Lucas bersama rakan baiknya Steven Spielberg menubuhkan Industrial Light and Magic (ILM) sebagai pusat untuk menghasilkan CGI yang didukung oleh kecanggihan teknologi komputer.

Star Wars menjadi satu titik mula yang ketara penggunaan teknologi canggih dalam pembikinan filem bercorak fiksyen sains. Selepas Star Wars dan wujudnya ILM, banyak filem-filem terbitan Hollywood yang membuat penambahbaikan terhadap teknologi dalam Star Wars.

Bayangkan pengarah filem Gandhi, Richard Attenborough terpaksa menggunakan lebih 3,000 orang pelakon tambahan yang lengkap dengan kostum era Mahatma Gandhi untuk menzahirkan realiti zaman dalam filem itu. Bukan suatu yang mudah bagi membuat penggambaran secara live action. Tetapi sebelum wujudnya teknologi CGI, imaginasi yang bermain di kepala pengarah tidak dapat dizahirkan sepenuhnya seperti kemampuan Spielberg “menghidupkan” dinosaur dalam The Jurassic Park.

Sekiranya Attenborough memiliki teknologi yang digunakan Spielberg untuk membuat dinosaur berlari bagai sekawan lembu, tentu dia tidak bersusah payah menggunakan lebih 3,000 pelakon tambahan. Dengan teknologi, membuat filem menjadi semakin mudah asal saja bersetuju untuk membelanjakan wang yang banyak untuk teknologi.

Filem Avatar misalnya hanya membuat lebih kurang 40 peratus saja penggambaran secara live action. Selebihnya dibuat di depan komputer dengan sokongan teknologi CGI. Walaupun Avatar mempunyai pelakon, tetapi banyak adegan pelakon hanya berlakon dengan kamera dalam studio maya. Avatar melangkah jauh ke depan kalau dibandingkan dengan Titanic apabila imej dizahirkan secara tiga dimensi (3D). Walaupun ada versi biasa atau 2D, versi 3D memberi kelebihan kepada penonton untuk merasakan kehebatan pertemuan teknologi visual dan seni perfileman.

Cameron sudah mula merancang menghasilkan Avatar pada 1994 selepas Titanic dan menayangkannya pada 1999. Tetapi ketika itu visual yang bermain di kepala Cameron dalam Avatar tidak mampu dihasilkan kerana kekangan teknologi sekalipun Titanic dianggap menggunakan teknologi paling canggih. Maknanya evolusi teknologi terus berlaku untuk memenuhi keperluan imaginasi pengarah yang luar biasa seperti Cameron.

Avatar mencatatkan sejarah filem paling mahal iaitu AS$237 juta. Tetapi pelaburan menghasilkan Avatar dengan belanja untuk teknologi yang sangat tinggi memberikan pulangan yang setimpal. Filem ini mencatatkan kutipan AS$27 juta pada hari pertama pembukaan tayangan di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada pada 18 Disember lalu. Lima hari pertama tayangan di seluruh dunia, Avatar mengutip AS$323 juta dan dalam masa tiga minggu pula mencatatkan kutipan lebih AS1 bilion. Kutipan ini meletakkan Avatar di tangga pertama selepas Titanic dari segi kutipan setakat ini.

Ini juga menunjukkan revolusi teknologi memudahkan pembikinan sesebuah filem tetapi hakikatnya ia menjadi semakin kompleks. Apabila khalayak sudah didedahkan dengan kualiti visual 3D dan audio yang terbaik, filem seterusnya mesti lebih baik. Teknologi dan pencapaian Avatar dengan sendirinya menjadi penanda aras kehebatan filem setakat ini. Demikian uniknya perkahwinan antara kehalusan seni dengan keajaiban teknologi yang dicipta untuk menzahirkan mimpi yang bermain di kepala pengarah filem. Ini menunjukkan filem tidak pernah memusuhi teknologi malah teknologi yang akan menghantar filem jauh ke jiwa penontonnya.

Tetapi di sebalik kecanggihan teknologi, kita jangan lupa bahawa filem dijulang sepanjang zaman kerana pemikiran pengarahnya. Buktinya filem Citizen Kane (1941) arahan Orson Welles berada pada tangga pertama 100 filem terbaik sepanjang zaman walaupun tanpa teknologi canggih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap