Kawan-kawan

Khamis, 26 April 2012

13 artis wanita ‘mangsa’ pocong


BARISAN pelakon drama Amukan Pocong yang hadir pada sidang akhbar di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.


SELEPAS mencipta kejayaan menerusi drama rantaian Mantera Anjasmoro tahun lalu, pengarah drama terkenal, Aidilfitri Mohamed Yunus kini kembali dengan buah tangan terbarunya.

Masih lagi mengekalkan genre seram, kali ini Amukan Pocong menjadi pilihan Aidilfitri untuk slot Seram yang akan ditayangkan bermula Khamis ini mulai 15 Mac ini.

Aidilfitri mempunyai sebab tersendiri untuk terus menghasilkan genre tersebut memandangkan dia sendiri merupakan peminat filem-filem seram.

Malah bukan mahu bersikap bongkak atau membangga diri, katanya, sehingga hari ini masih belum ada karya seram yang benar-benar menakutkannya.

Meskipun peminat tegar karya pengarah handalan seperti John Carpenter dan Alfred Hitchcock yang cukup sinonim dengan genre seram, tetapi tiada satu pun yang mampu meninggalkan impak kepada dirinya.

“Saya seorang peminat filem seram dan jarang sekali ada filem seram baik dari Barat, tempatan mahupun negara Asia yang lain yang dapat meninggalkan kesan dalam hidup saya.

“Sesungguhnya sebagai pengarah, untuk memberikan kesan seram kepada penonton memang bukan satu tugas mudah. Menghasilkan filem seram bukan hanya menakutkan penonton dengan efek wajah yang menyeramkan.

“Saya percaya jika dengan penceritaan selain mesej yang hendak disampaikan, ia akan menjadi sebuah karya yang baik. Jangan sampai terpesong akidah sehingga timbulnya rasa khurafat dan bercanggah dengan syariah,” jelasnya sewaktu ditemui pada sidang akhbar di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Amukan Pocong terbitan Padi Pictures menampilkan Azhan Rani, Ezany dan Iqram Dinzly sebagai teraju utama selain dibantu oleh Elly Mazlein, Liza Abdullah, Nam Ron, Latif Borgiba dan Roslan Salleh.

Pengarah filem Klip 3GP itu juga memberitahu, dia terpanggil untuk mengarahkan Amukan Pocong kerana tertarik dengan plot penceritaan hasil tulisan Sofea J. Rhyland.

Apatah lagi katanya, belum pernah mitos pocong diangkat ke kaca televisyen dengan penceritaan yang tepat.

“Selama ini kita sering dimomokkan dengan cerita pocong dalam pelbagai versi dan drama rantaian ini adalah salah satu cara saya untuk menjenamakan semula cerita tentang pocong ini.

“Apa yang kita sering dengar tentang pocong adalah caranya menakutkan orang dengan melompat tetapi sebenarnya cara yang tepat adalah dengan berguling.

“Atas alasan itulah, saya menghasilkan drama ini dengan harapan agar masyarakat faham dan sedar akan kebenaran di sebalik mitos yang sudah menjadi santapan kita selama ini,” ujar Aidilfitri.

Dalam masa yang sama, sebagai pengkarya, dia tidak mahu melupakan tanggungjawab sosialnya apabila tetap menerapkan nilai-nilai murni untuk masyarakat.

Katanya, tanpa pegangan iman yang teguh dan kuat selain mempercayai tiada kuasa yang lebih hebat melainkan Allah SWT, setiap manusia itu akan mudah terpesong untuk melakukan kemungkaran.

Antagonis

Menerusi watak Long Husin lakonan Azhan Rani, Aidilfitri juga menonjolkan sikap tamak haloba kaki judi bersama dua rakannya itu yang mahukan kemewahan dengan cara yang salah sehingga membelakangkan syariat Islam.

Tanpa disedari amalan ilmu hitam yang diamalkan mereka telah membangkitkan semangat pocong yang mula mengganas dan menuntut darah daripada 13 orang gadis sunti seperti perjanjian mereka sebelum ini.

Lebih malang apabila Long Husin kemudiannya meninggal dunia dalam keadaan tragis dan dimakan sendiri oleh ilmu hitam amalannya selama ini.

“Mungkin secara realitinya, ada yang tidak mempercayai tentang cerita ilmu hitam tetapi sebenarnya ia ada berlaku dalam masyarakat kita.

“Menerusi drama ini, saya mahu penonton sedar bahawa tiada jalan singkat untuk mengecapi kemewahan dan kesenangan. Semuanya perlu kerja keras dan usaha.

“Jika silap perhitungan dan mengikut jalan yang salah, ada sesuatu yang tidak elok bakal menanti kita di kemudian hari,” ujarnya bersungguh.

Dalam masa sama, pengarah ini juga memuji lakonan Azhan, Ezany dan Iqram yang telah memberikan persembahan yang cukup memuaskan.

Jelasnya, watak antagonis sememangnya diberikan kepada ketiga-tiga aktor itu lantaran watak sedemikian jarang sekali mempamerkan kredibiliti mereka sebagai seorang pelakon.

“Mungkin sebelum ini, ramai yang melihat mereka lebih selesa membawakan watak baik. Jika ada watak antagonis sekali pun mungkin tidak agresif dalam Amukan Pocong,” katanya yang pernah berhadapan dengan situasi yang menyeramkan sewaktu penggambaran drama rantaian itu di Hulu Langat, Selangor.

Bagi menampilkan kelainan dalam Amukan Pocong, seramai 13 orang pelakon wanita terkenal akan ditampilkan sebagai mangsa pocong.

Antara pelakon yang akan muncul kelak termasuklah Neelofa, Nabila Huda, Liyana Jasmay, Faralyna Idris, Izara Aishah, Anzalna Nasir, Siti Elizad dan Sharifah Sakinah.

Berbicara soal itu, sememangnya Aidilfitri sengaja berbuat demikian selepas perbincangan dengan penerbit, Datin Nor Aliah Lee.

Bukan mahu mengeksploitasi sebaliknya ia adalah peluang kepada pelakon tersebut untuk mencuba sesuatu yang baru biarkan hanya muncul dalam satu episod.

“Ternyata mereka memberikan yang terbaik dan ringan mulut untuk bertanya tentang mutu lakonan mereka. Saya tidak mempunyai masalah dengan mereka malah sepanjang penggambaran, semuanya berjalan dengan baik,” jelasnya.

--- UTUSAN MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap