Kawan-kawan

Khamis, 26 April 2012

'Perang Air' Di Pesta Songkran



Oleh Sakini Mohd Said

HAADYAI, 26 April(Bernama)-- Asian Hotel agak tenang lewat petang itu. Kelihatan ramai yang berjalan-jalan di hadapan hotel itu yang terletak di kawasan membeli-belah di tengah-tengah wilayah Songkhla, Haadyai.

Di seberang jalan, ramai yang sibuk menjamu mata, membelek dan membeli pelbagai produk seperti kemeja-T, kasut dan aksesori yang dijual di gerai-gerai.

Suasana tenteram itu tiba-tiba terganggu dengan jeritan yang kuat.

Kawasan itu tiba-tiba didatangi segerombolan orang bersenjata yang menembak sesiapa sahaja yang lalu di hadapan mereka. Orang ramai bertempiaran mencari tempat selamat untuk berlindung.

Anehnya, anggota polis yang berada di situ seolah-olah tidak terkejut langsung dengan senario ini. Mereka hanya tersenyum melihat keadaan huru-hara sebegitu. Lagi pelik, walaupun ramai yang ditembak, tiada yang terkorban.

Jalan raya pula bukannya dibasahi darah, tetapi air semata-mata. Namun, cuaca agak panas dan hari tidak hujan. Jadi dari manakah datangnya semua air ini?

Rupa-rupanya, 'senjata' yang digunakan penembak tadi adalah pistol air. Ada juga yang melemparkan belon air dan menyimbah berbaldi-baldi air kepada orang ramai, sempena meraikan Pesta Songkran 2012.

PESTA AIR THAILAND

Pesta Songkran, yang juga dikenali sebagai Pesta Air Thailand, meraikan tahun baharu Thailand yang merupakan acara penting dalam kalendar pelancongan Thailand.

Acara tahunan yang disambut di 77 wilayah di Thailand itu diraikan dari 13 hingga 15 April. Tarikh sambutan pada asalnya berdasarkan perkiraan astrologi, tetapi kini ia telah ditetapkan.

Perkataan Songkran pula berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud Tahun Baharu Matahari. Namun Thailand hari ini menyambut tahun baharu bermula 31 Dis.

Kini pesta air yang unik ini bukan sahaja diraikan rakyat Thailand tetapi juga merupakan acara yang dinanti-nantikan para pelancong.

Aktiviti menyimbah air kepada orang ramai boleh dikatakan agak serupa dengan Pesta Holi yang disambut kaum Hindu serta Pesta Ching Ming yang disambut kaum Cina.

Ketika Pesta Songkran, kaum Thai menyembah Buddha, membersihkan kuil dan menadah air yang telah dicurahkan ke atas patung Buddha. Kemudian mereka menjirus air yang telah 'direstui' itu ke atas bahu ahli keluarga dan orang tua dengan tujuan untuk 'menambah rezeki' kepada mereka. Adalah dipercayai perbuatan menjirus air kepada orang lain merupakan satu cara untuk menunjukkan hormat kepada mereka.

Namun dengan peredaran zaman, budaya menjirus air itu berubah menjadi 'perang air' pula. Perang air ini pula nampaknya seronok untuk disertai sesiapa sahaja, tidak kiralah pada peringkat umur mana pun.

SEMUANYA BAKAL LENCUN!

Jangan harap anda dapat mengelak daripada disimbah air hanya dengan menjerit "mai au, mai au!" (jangan, jangan!). Boleh dikatakan setiap orang yang anda jumpai akan cuba untuk mencurah air dan melencunkan anda.

"Kami akan pastikan tiada siapa pulang dengan pakaian yang kering. Seronok melihat semua orang dibasahi air," kata Darunee, seorang gadis Thai yang sama-sama menyambut pesta Songkran dengan rakan-rakannya di Haadyai.

Walaupun lokasi popular sambutan pesta itu adalah di bandar utara Chiang Mai, kebanyakan pelancong juga menggemari sambutan di Haadyai.

Haadyai yang berlokasi di selatan Thailand dan berdekatan dengan sempadan Malaysia menyambut pesta air itu awal dua hari, dari 11 hinga 15 April dengan pelbagai acara seperti pertunjukan Hula Hoop, pertandingan Muay Thai, Sukan Tari Songkran dan perarakan.

Acara kemuncak sambutan ialah Karnival Tengah Malam Songkran yang bermula dari Robinsons Haadyai di Thammanoonvithi Road dan sepanjang Nipatuthit 2 Road hinggalah ke Nipatuthit 3 Road.

Jalan-jalan di bandar itu bukan sahaja sesak dengan pelancong asing tetapi juga orang tempatan yang keluar untuk sama-sama menyambut pesta itu. Mereka lengkap bersenjatakan pistol air dan berbaldi-baldi air, sedia untuk menyimbah sesiapa saja.

Malah jika anda berada di dalam kenderaan sekali pun, anda tetap akan disimbah.

Mereka yang di dalam tuk tuk atau pun menunggang motosikal kadang kala 'diberhentikan' semata-mata untuk disimbahkan dengan air. Namun tiada yang naik berang diperlakukan begitu, malah perbuatan itu disambut dengan gelak tawa.

PARTI BUIH

Kebetulan, Pesta Songkran ini disambut ketika cuaca paling panas di Haadyai, tatkala suhu boleh mencapai hingga 40 darjah Celsius.

Jadi, tidak hairanlah ramai yang mengalu-alukan simbahan air ini. Bagi mereka yang telah kehabisan air untuk disimbah, usah risau. Anda boleh mengambil mana-mana bekas berisi kiub ais yang ditinggalkan di jalan-jalan sekitar Haadyai bagi tujuan 'isian semula'.

Kadangkala, serbuk putih atau pun kapur turut digunakan.

Seorang pelancong Malaysia dari Johor Baharu yang pertama kali melawat Thailand sangat teruja dengan suasana sambutan pesta air itu.

"Saya mendengar tentang pesta ini daripada rakan-rakan. Memang menakjubkan kerana semua orang sungguh 'sporting' dan tidak kisah langsung disimbah air oleh orang yang tidak dikenali. Mereka menggunakan hos, baldi, tong sampah dan apa saja yang boleh menakung air," katanya kepada Bernama.

Aktiviti yang paling menarik baginya ialah parti buih.

"Siapa sangka ada salji di Haadyai?" katanya. Lalu saja Sanehanusorn Road dan anda boleh lihat orang ramai bermain buih dengan riangnya.

Bagi mereka yang mempunyai barang-brang berharga yang tidak kalis air, adalah elok untuk meninggalkannya di rumah atau menyimpannya dalam beg plastik ketika pesta ini.

Mereka yang ingin mengambil gambar keseronokan pesta ini juga dinasihatkan membalut kamera dengan beg plastik atau menggunakan kamera kalis air supaya kamera tidak rosak.

PERNIAGAAN BERTAMBAH UNTUNG

Para peniaga turut menikmati keuntungan ketika pesta ini berlangsung. Ramai yang mengaku mendapat keuntungan berlipat ganda manakala hotel-hotel dan rumah tumpangan seluruh negara mengalami pertambahan tempahan bilik.

Boleh dikatakan produk yang paling laris dijual ketika pesta air ini adalah pistol air dan baldi.

Seorang peniaga yang dikenali sebagai Tift berkata: "Pesta ini sememangnya menguntungkan komuniti perniagaan di bandar-bandar utama kerana ramai pengunjung, terutamanya pelancong asing, menyambutnya di sana."

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pelancongan Songkhla, Surapol Kampalanonwat dalam satu laporan akhbar mengatakan ramai pelancong dari Malaysia dan Singapura datang ke Haadyai untuk menyambut Songkran.

Serangan bom di Haadyai, wilayah Songkhla baru-baru ini nampaknya hanya mempunyai impak minimum ke atas kedatangan pelancong ke wilayah itu untuk menyambut Songkran.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap