Kawan-kawan

Isnin, 23 April 2012

Shireen Sungkar wajah jelita sebalik sinetron Cinta Fitri

Wartawan Sinar Harian
16 April 2012
Shireen Sungkar wajah jelita  sebalik sinetron  Cinta Fitri

Sinetron drama Cinta Fitri yang ditayangkan di TV9 kini semakin diminati setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Mungkin ramai tertanya-tanya siapakah gerangan si manis comel yang memegang salah satu watak utama sebagai Fitri Rahayu dalam drama tersebut.

Kejayaan Shireen Sungkar yang mesra dengan panggilan Shireen dalam menghayati pembawaan wataknya telah meletakkan dirinya sebaris pelakon handalan lain.

Aktres muda berusia 20 tahun ini sentiasa komited terhadap kerjayanya dan tidak pernah menghampakan peminat menerusi lakonannya.

Mengulas tentang drama Cinta Fitri, menurutnya, drama itu bukanlah drama pertama lakonannya sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan.

“Sebelum drama Cinta Fitri, saya sudah pernah berlakon dalam drama Putri Duyung 2, Bukan Diriku dan Wulan.

“Selepas drama Cinta Fitri, saya turut menerima tawaran berlakon dalam drama Anissa dan Ranum,” katanya.

Pelakon yang melonjak naik menerusi drama Wulan ini turut dicalonkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik dalam Panasonic Award selama lima tahun berturut-turut sejak 2008 hingga 2012.

“Saya berasa bangga dengan pencapaian dan usaha saya selama ini. Walaupun saya hanya tersenarai sebagai calon, itu sudah cukup untuk membuktikan kredibiliti saya sebagai pelakon yang layak memenangi anugerah berprestij seperti itu,” katanya.

Hamil luar nikah?

SEBAGAI selebriti, Shireen akur bahawa kehidupan peribadinya sememangnya tidak akan tercicir dari buah mulut orang ramai.

Terbaru, desas-desus dan khabar angin kuat mengatakan bahawa Shireen terlanjur sehingga mengandung anak luar nikah bersama pasangannya, Teuku Wisnu yang turut membintangi drama Cinta Fitri.

Spekulasi liar itu bukan hanya mencalarkan imejnya, malah turut mencemarkan nama baik keluarganya dan keluarga Teuku.

Sehubungan itu, dia dan Teuku pantas tampil membuat kenyataan sekali gus menolak dakwaan yang mereka telah bernikah secara rahsia.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali, itu semua hanya fitnah daripada sesetengah pihak yang ingin menjatuhkan kami.

“Gosip seperti ini telah mencemarkan nama baik saya, Teuku dan keluarga masing-masing. Malah ia juga mengganggu hubungan kami berdua,” luah Shireen yang kesal dengan tuduhan dilemparkan.

Bila ditanya mengenai perancangan untuk mendirikan rumahtangga, baik Shireen mahupun Teuku masih belum bersedia ke arah itu. Namun jika tiada halangan, mereka ingin berkahwin tahun depan.

“Insya-Allah kalau ada jodoh, kami akan bernikah. Tapi buat masa sekarang, kami ingin fokus pada karier," kata Shireen.

Tidak mudah melatah dengan apa juga kontroversi yang hadir, Shireen berkata, itulah lumrah bergelar selebriti dan dia sedia menerima apa jua kritikan.

Bagaimanapun, ia tidak pernah melemahkan semangatnya untuk terus mencipta nama dalam dunia lakonan.

"Saya sangat mencintai lakonan dan akan terus berlakon selagi saya diterima peminat.

"Sekarang, saya hanya mahu melakukan terbaik demi mereka dan juga masa depan saya," katanya yang sentiasa mengharapkan sokongan peminat-peminatnya.

Ingin ke Tanah Suci lagi

Di sebalik wajah jelitanya, Shireen sebenarnya sudah mengerjakan umrah bersama keluarganya pada Oktober 2007. Selain bersama orang tuanya, Mark Sungkar dan Fanny Bauty, kakaknya, Zaskia dan juga adiknya, Yusuf, turut serta mengerjakan umrah.

Berkongsi pengalamannya di Tanah Suci itu, gadis manis ini berkata, itulah pengalaman paling berharga dalam hidupnya. Selain dapat mengerjakan ibadah, mereka sekeluarga turut berkesempatan menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Suci itu.

“Pengalaman 10 hari di sana, cukup bermakna buat saya dan keluarga. Sejujurnya, saya berasa amat tenang di sana dan ingin ke sana lagi jika diberi peluang dan kesempatan,” katanya.


--- SINAR HARIAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap