Kawan-kawan
Rabu, 20 Mac 2013
Selasa, 19 Mac 2013
Ahad, 3 Mac 2013
Saleha bukan sekadar kontrol cantik
![]()
SALEHA menyimpan harapan dan berusaha untuk berada dalam hati khalayak berdasarkan kerja lakonan bukan cerita sensasi.
|
KUASA yang dijana wanita berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini
belum cukup panas untuk membuatkan penonton teruja menontonnya di
pawagam. Pertaruhan pertamanya menerusi Kerat 14 bersama Aaron Aziz,
regu yang sama-sama digilai menerusi Nora Elena juga sekadar mencatat
penonton ala kadar.
Siti Saleha sedar situasi berkenaan. Sebagai percubaan pertamanya ke
layar perak, catatan yang diterima oleh Kerat 14 memberi satu dimensi
baharu buatnya.
"Filem tetap sebuah filem. Orang mahu tengok filem bukan sekadar nak
tengok pelakonnya sahaja tapi penonton mahukan kepuasan menyeluruh
termasuk elemen-elemen di bahagian produksi, skrip dan jalan cerita.
"Macam saya dan Aaron, walaupun drama lakonan kami berdua dapat
sambutan hangat, tapi tidak pula hasilnya dengan filem. Saya kena akur
bahawa saya belum cukup pengaruh itu.
"Mujurnya, tak banyak komen negatif yang saya dengar berhubung dengan
lakonan. Saya juga masih baharu dalam bidang filem. Ini satu pengalaman
yang banyak beri pendedahan kepada saya," katanya tanpa perlu menjadi
terlalu sensitif atau bersedih kerana filem pertamanya sekadar meraih
kutipan RM1 juta.
Sengaja mengalirkan cerita Saleha kali ini menyimpang dari cabang
sensasi, kisah putus cinta atau dibayangi episod hendak berumah tangga,
bicara bersama pelakon yang mula menjual bakat sebagai pelakon iklan
bersambung pula tentang pengiktirafan.
Malam penutup Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) yang berlangsung
malam tadi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya telah menyaksikan
anak wayang terbaik turun dan naik pentas menerima sebuah penghormatan.
Meneka apa yang tersemat dalam naluri adik vokalis Sam Bunkface itu, dia
juga menyimpan angan untuk menjadi salah seorang daripada pelakon
terbaik di Malaysia.
"Bukan hanya terbaik kerana sudah menjulang trofi, maksudnya
meletakkan piawaian terbaik setiap kali terlibat dengan mana-mana
produksi. FFM itu kemuncak kepada pengiktirafan terhadap anak seni.
Sesiapa sahaja yang menerima trofi FFM haruslah berbangga dan meraikan
penghormatan yang diterima. Itu tandanya kerja seni kita diiktiraf,"
getus Saleha yang turut menanti peluang untuk setidak-tidaknya tercalon
ke dalam senarai terbaik pada masa depan.
Tahun ini langkahnya bergelar pelakon filem tidak akan terhenti hanya
disebabkan Kerat 14 kurang mendapat sambutan. Dalam stor syarikat
produksi yang pernah disertainya, senarai judul-judul seperti Pencinta,
Bravo 5, KL Zombie, Mamat Cup Cake dan Pak Pong sedang menanti untuk
tampil ke mata penonton.
"Tahun ini saya ada lima buah filem lagi. Pencinta arahan Khir Rahman
mungkin tayang pada September. Filem Bravo 5, KL Zombie juga
dijadualkan tayang pada tahun ini. Tak tahulah. Saya harap tahun 2013
akan beri tuah. Jika dengan judul-judul itu orang akan mula buka mata
mereka bahawa saya juga layak digelar aktres filem, alangkah manisnya,"
katanya yang akan ke udara juga dengan sebuah drama bersiri terbaharu
Asmara Luna di TV3 menjelang April nanti.
Anak ketiga daripada empat beradik itu juga menaruh impian agar kerja
seni yang dilakukannya akan membawanya ke satu fasa baharu.
Pertama kali tersenarai dalam pencalonan akhir untuk kategori
anugerah berdasarkan populariti dalam satu majlis anugerah yang akan
berlangsung April nanti, hal itu juga satu pencapaian menyenangkan buat
Saleha. Jika tahun ini tercalon untuk kategori popular, lantas
berdasarkan hasil kerja tahun ini, tidak mustahil pula untuk masuk
senarai calon kategori terbaik dalam anugerah kualiti pula pada tahun
hadapan.
"Tercalon pun sudah cukup bagus. Kalau menang lagi bagus sebab itu
bukti penerimaan peminat terhadap seseorang pelakon. Untuk bercakap
tentang anugerah berdasarkan kualiti pula pada masa hadapan, alangkah
bagus kalau perkara itu jadi kenyataan tapi saya tidak berani berharap.
Siapa yang tidak mahu kerjanya diiktiraf. Jika ada pihak yang fikir saya
layak, saya patut terima dengan besar hati," katanya yang bakal
mencecah usia 23 tahun pada 14 Mac ini.
Gila dalam hutan
Menanti tarikh penggambaran untuk sebuah filem berjudul Bikin Filem
terbitan Playground Production dalam masa terdekat, Saleha merasakan
jalan kariernya sedang di trek yang sempurna.
"April nanti saya sudah beri kata putus untuk terlibat dengan drama
Memberku Hawa manakala Mei nanti ada juga sebuah tawaran filem daripada
sebuah syarikat penerbitan yang sedang saya pertimbangkan.
"Saya akan cuba ikut laluan ini sebaik-baiknya. Dalam usia 23 tahun,
ketika ada kawan-kawan baik saya sudah mula berkeluarga dan merancang
masa depan bersama pasangan masing-masing, saya rasa peluang sebegini
tidak harus dipersia-siakan. Bukan saya tidak mahu bercakap tentang
komitmen tetapi adakalanya hidup secara solo seperti sekarang ada
baiknya juga. Tidak perlu pening-pening kepala atau asyik berdating jika
tiada penggambaran," katanya mengingatkan penulis terhadap kisah putus
cinta yang baru-baru ini hangat diperkatakan.
Satu lagi pengalaman baharu yang sedang dinikmati Saleha ketika ini
adalah mengacara sebuah program berjudul Projek Gila. Untuk empat
episod, Projek Gila akan mendedahkan segala aksi dan perilaku Saleha
yang selama ini mungkin tidak pernah diketahui oleh khalayak.
Dalam program seumpama Fear Factor namun tidak melibatkan artis lain
itu, Saleha diberikan satu cabaran pelik seperti masuk dan hidup dalam
hutan atau meneroka cara hidup di sebuah pulau.
"Sepintas lalu, banyak aksi saya memalukan akan ditonjolkan dalam
program itu. Semuanya secara spontan kerana saya tidak diberikan skrip.
Untuk episod pertama yang menjalani penggambaran di Taman Negara, saya
kena memanjat pokok dan tidur atas pokok. Memang kena jadi lasak dan
saya memang suka aktiviti begitu. Kena hadap pacat dan serangga dalam
hutan tak payah cakaplah, saya seronok walaupun agak sengsara.
"Jika selama ini orang tengok saya macam lemah-lembut atau kontrol
cantik sahaja dalam drama, Projek Gila memang gila. Saya jadi lasak,
ketawa, menjerit macam tak ingat dunia dan buat aksi gila-gila yang saya
sendiri tak pernah terfikir pun akan buat perkara sebegitu," katanya
ceria.
Gembira, tenang dan punya banyak masa untuk diri sendiri serta paling
penting memiliki keluarga yang kekal menyayanginya apa jua keadaan,
itulah erti kehidupan sempurna selebriti muda Saleha ketika ini
--- KOSMO
Langgan:
Catatan (Atom)