Kawan-kawan

Sabtu, 20 Februari 2010

Siapa betul siapa salah? (Utusan Malaysia)


Diana Danielle


DILUAH salah. Tak diluah serba salah. Mungkin inilah dilema dalaman yang sedang menghantui aktres Diana Danielle berhubung isu lagu Radio yang menampilkan dirinya berduet bersama dengan Imran Ajmain dan Nabil.

Lagu yang termuat dalam album Punca Dan Tindakan milik Imran Ajmain itu menimbulkan polemik apabila Diana mendakwa dia masih lagi belum menerima apa-apa bayaran selepas sekian lama merakamkan lagu tersebut.

Ada yang mendakwa apa yang didedahkan oleh pelakon drama Air Mata Maria itu seperti tidak kena tempat memandangkan isu tersebut hanya berbangkit baru-baru ini.

Ada yang membingungkan ramai pihak ialah, apakah motif sebenar Diana mendedahkan semua hal ini memandangkan semua itu sepatutnya boleh dibawa berbincang dan diselesaikan secara baik?

Dalam kenyataan sebelum ini, Diana mendedahkan ada beberapa syarikat yang cuba melamarnya menjadi artis kontrak tetapi meletakkan syarat agar sebahagian daripada hasil pendapatan harus dikongsi bersama syarikat.

Dia juga menambah, gara-gara itu dia kurang bersetuju memandangkan itu merupakan hasil titik peluh dirinya dan dia sudah lama membina nama sebagai pelakon. Jadi apa perlunya dia mengikat kontrak dengan sesebuah syarikat pengurusan.

"Seperti Alibi Music, yang menetapkan syarat jika saya hendak merakam album dengan mereka, mereka yang akan menguruskan kerjaya saya. Bukan saja nyanyian tetapi juga lakonan dan mendapat peratusan daripada pendapatan saya. Sebab itu saya tidak bersetuju. Kalau nyanyian saja, saya tak kisah tapi ini satu pakej," katanya seperti disiarkan dalam sebuah laman web hiburan baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu juga dia mendakwa pihak Alibi Music (dahulunya Metadome Sdn. Bhd.) mahu mengambilnya sebagai artis rakaman dan pihak tersebut juga telah datang mencarinya dan mahu dirinya menandatangani kontrak.

Diana juga mendakwa yang kononnya dia ditawarkan untuk merakamkan lagu duet bersama dengan kumpulan Andra and The Backbone sebelum Malam Pesta Indonesia 3 dengan harapan dia dapat menyanyikan lagu tersebut pada malam konsert bertarikh 20 Jun 2009 tetapi akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Kemuncak kepada segalanya apabila Diana mendedahkan yang dia masih belum menerima bayaran daripada Alibi Music ketika merakamkan single Radio.

Malah kenyataan yang dikeluarkan oleh Diana itu sedikit sebanyak mengguris hati beberapa pihak terutamanya Imran Ajmain kerana lagu itu dimuatkan dalam albumnya.

Pun begitu, ketika dihubungi Pancaindera Rabu lalu, Diana enggan mengulas lanjut mengenai hal tersebut dan pihaknya tidak mahu isu ini terus dimainkan oleh media massa.

Ibunya, Norsiah Ramli, yang juga bertindak sebagai pengurus kepada Diana memberitahu tidak ada apa-apa kenyataan untuk diumumkan buat masa ini.

"Kalau boleh saya tak mahu terus berbalas kenyataan, cukup-cukuplah apa yang terjadi selama ini dan saya tak mahu ulas lanjut.

"Bila tiba masa yang sesuai Diana pasti akan memberikan kenyataan, semua pihak bersabar dahulu," kata Norsiah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap