Kawan-kawan

Sabtu, 20 Februari 2010

Misteri 'penciplak' Adnan Sempit (Utusan Malaysia)


SALAH satu adegan dalam Adnan Sempit.


Benarkah Adnan Sempit karya yang diciplak? Begitulah persoalan yang bermain di fikiran peminat dunia hiburan tatkala filem tersebut mencatat kutipan sebanyak RM7.7 juta sehingga Khamis lalu.

Kontroversi mengenai filem itu berlaku apabila Farid Kamil dalam entri menerusi blognya pada 5 Februari lalu mendedahkan Adnan Sempit dicedok dari karyanya, V3 Samseng Jalanan yang akan menemui penonton pada 11 Mac akan datang.

Kerja pihak-pihak tertentu yang mencuri idea Farid didakwa berlaku ketika filem tersebut mengambil masa yang agak lama untuk dinilai oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Sewaktu V3 Samseng Jalanan melalui proses tapisan maka didakwa ada individu tidak bertanggungjawab cuba mencuri beberapa elemen penting untuk dimasukkan ke dalam Adnan Sempit.

Pada waktu itu Adnan Sempit masih belum menjalani penggambaran.

Persoalannya sekarang sejauh manakah Ahmad Idham selaku pengarah Adnan Sempit menciplak karya orang lain?

Tergamakkah Idham melakukan perbuatan itu sedangkan kedua-dua filem tersebut diterbitkan di bawah syarikat yang sama iaitu Metrowealth Movie Production (MMP)?

Pancaindera tidak mahu mendengar kenyataan sebelah pihak sebaliknya mendapatkan komen Farid, Idham dan penerbitnya David Teo agar dapat menjelaskan keadaan sebenar.

David, tolong ambil serius - FaridPengarah dan pelakon Farid Kamil mengakui agak terkejut ketika menonton Adnan Sempit kerana mendakwa beberapa elemen filem itu mempunyai persamaan dengan filem pertama arahannya V3 Samseng Jalanan.

Kata Farid, salah satu adegan ketika Along Cham (Raja Lawak) yang terjaga dari tidur kerana bermimpi hantu dalam Adnan Sempit dan sewaktu ungkapan dialog mandi wajib mempunyai ciri-ciri serupa dalam filemnya.

Malah ujar Farid, sebagai pengarah baru dia agak kecewa apabila beberapa persamaan itu wujud sebelum filemnya ditayangkan.

Enggan menyalahkan orang lain sebaliknya Farid melihat ia berlaku disebabkan kesilapannya sendiri kerana tiada kawalan yang ketat ketika V3 Samseng Jalanan berada dalam simpanan di pejabat MMP.

Faktor itu mendorong pihak-pihak tertentu untuk melihat hasil karyanya dan seterusnya diterjemahkan melalui karya orang lain.

"Saya melihat kawalan keselamatan agak longgar ketika proses penyimpanan sesebuah filem itu menyebabkan mudah untuk berlaku pencerobohan.

"Hasilnya akan ada persamaan dalam sesebuah filem dan buktinya melalui filem saya yang masih belum ditayangkan," katanya kepada Pancaindera.

Farid yang ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di rumah David Teo itu menjelaskan dia tidak menyangka perkara itu berlaku terhadapnya.

Ditanya adakah persamaan elemen seperti yang didakwa itu mendatangkan kesan buruk, Farid mengakui dakwaan itu.

Ujarnya, jika banyak persamaan ia akan mendorong penonton untuk membuat perbandingan terhadap sesebuah filem dan seterusnya menyebabkan ia tidak mendapat sambutan.

"Bukan apa, saya takut nanti orang tak akan datang untuk menyaksikan filem saya kerana mereka akan kata filem saya dan Adnan Sempit itu lebih kurang sama saja hasilnya," katanya yang mahu David Teo mengambil serius masalah tersebut.

Dalam masa yang sama kata Farid dia tidak mahu menuduh Idham menciplak karyanya tetapi mungkin apa yang bermain dalam fikirannya itu hanyalah sekadar perasaannya saja.

Katanya sebagai sebuah filem yang lahir di bawah satu bumbung, perkara tersebut seharusnya tidak berlaku.

Dalam entri terbaru menerusi blognya yang ditulis pada 18 Februari lalu, Farid turut memohon maaf kepada semua pihak yang terasa hati di atas pandangannya itu.

Farid menjelaskan apa yang didakwa di dalam blognya hanyalah sekadar pandangan peribadi dan tidak langsung berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

V3 Samseng Jalanan yang menelan belanja kira-kira RM1.6 juta memaparkan aksi lumba motosikal yang sebelum ini diharamkan penayangannya.

Walaubagaimanapun filem itu diluluskan selepas beberapa unsur aksi dan juga tajuk sebelum ini iaitu Rempit V3 ditukar.

Ia menampilkan beberapa pelakon antaranya Bront Palarae, Aqasha, Intan Ladyana, Radhi (OAG), Lisa Surihani dan Saharuddin Thamby.

Dia masih mentah - Idham Pengarah Ahmad Idham ternyata terkejut membaca kenyataan menerusi blog Farid dan seterusnya menafikan dia telah mencedok idea pengarah muda itu.

Sebaliknya ujar Ahmad Idham tuduhan tersebut sebenarnya telah menggugat namanya sebagai seorang pengarah yang agak senior dalam bidang perfileman.

Malah katanya, Farid perlu duduk berbincang sebelum membuat apa-apa kenyataan yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap karyanya sendiri.

"Saya sendiri terkejut kenapa Farid boleh buat kenyataan itu di dalam blognya. Saya berani memberi jaminan yang saya tidak langsung menciplak karya dia.

"Malah sebagai penasihat di MMP, saya juga mengakui mempunyai akses untuk keluar masuk mana-mana lokasi di dalam syarikat penerbitan itu.

"Dalam masa yang sama semua pihak di dalam MMP berhak memberi komen sebelum sesebuah filem itu ditayangkan," katanya.

Tambah Idham lagi, permainan politik Farid dalam isu ini tidak kena pada tempatnya kerana pengarah itu masih belum faham perjalanan sebenarnya dunia seni.

Malah Idham menganggap tindakan Farid hanyalah satu kontroversi murahan yang sengaja dihasilkan untuk mendapat sokongan terhadap filem V3 Samseng Jalanan yang akan ditayangkan.

"Farid masih mentah dalam dunia hiburan ni. Dia masih tidak faham tentang budaya menghasilkan sesebuah filem. Sebab itulah dia berkata demikian," ujar Idham yang sedang menanti reaksi penonton terhadap filem terbarunya Niang Rapik yang akan ditayangkan pada 25 Februari ini.

Idham bagaimanapun meminta semua pihak agar menonton Adnan Sempit dan V3 Samseng Jalanan terlebih dahulu untuk mencari kebenaran.

"Saya tak mahu orang kata saya nak tegakkan benang yang basah tapi jalan terbaik mari kita menonton kedua-dua buah filem tersebut supaya kita mendapat jawapannya," jelasnya.

Tidak memarahi Farid tetapi Idham mengaku agak terasa dengan tindakan tersebut kerana Farid merupakan anak didiknya.

Menurut Idham lagi dia merupakan individu yang diberi tanggungjawab untuk membimbing Farid menjadi seorang pengarah filem pada hari ini dan dia sepatutnya tidak bertindak sedemikian.

"Farid kena faham untuk bergerak dalam industri ini. Saya harap pengalaman yang berlaku akan menjadikan dia seorang yang lebih matang dan professional untuk melakukan sesuatu tindakan," ujarnya.

Farid datang mengadu - David TeoPenerbit Metrowealth Movie Production (MMP), David Teo mengaku sudah menerima aduan daripada Farid berhubung isu "persamaan elemen" seperti yang dibangkitkan.

Bagaimanapun ujar David, filem itu mempunyai persamaan dari segi fokus kehidupan "mat rempit" tetapi genrenya adalah berbeza.

"Adnan Sempit sebuah kisah mat rempit berbentuk komedi tetapi V3 Samseng Jalanan lebih kepada aksi. Ia dua benda yang berbeza.

"Saya sudah jelaskan kepada Farid orang tengok Adnan Sempit untuk ketawa tetapi filem arahannya pula kepada aksi.

"Kalau kita kata filem kita ada persamaan, pengarah-pengarah filem lain pun boleh membuat dakwaan yang sama terhadap filem kita," katanya.

Menurut David, Farid sudah menerima penjelasan itu dan pihaknya tidak mahu tercetus apa-apa insiden yang kurang baik melibatkan mereka.

Ini kerana Farid dan Idham merupakan individu yang bernaung di bawah syarikat yang sama dan tidak sewajarnya mempunyai hubungan yang kurang baik disebabkan perkara kecil itu.

"Mula-mula Farid sudah terasa filem dia itu ada sedikit persamaan tetapi selepas saya jelaskan, dia sudah faham. Mungkin sebagai pengarah baru Farid terasa seperti itu tetapi ia mungkin hanya permainan perasaannya sahaja," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap