Kawan-kawan

Sabtu, 20 Februari 2010

Buktikan kalau saya kaki rokok! (Utusan Malaysia)




Betul ke Tiz Zaqyah seorang perokok?

Tidak. Saya bukan jenis perokok dan tidak merokok. Tetapi saya dikelilingi rakan-rakan yang merokok. Itu tidak bermakna saya juga seorang perokok.

Habis itu, masakan ada orang mengadu pernah melihat Tiz merokok di lokasi penggambaran?

Sudah saya jelaskan sebelum ini. Saya tidak merokok. Itu semua gosip. Buktikan saya merokok. Barulah saya mengaku. Mungkin individu berkenaan tersilap pandang. Hakikatnya, saya bukan seperti yang digambarkan.

Betul ke Tiz ada penggambaran di Kota Damansara baru-baru ini?

Iya. Memang saya berada di Kota Damansara. Masa itu ada penggambaran drama slot Samarinda berjudul Asmaradana yang bersiaran di TV3. Kehadiran saya bersama rakan-rakan artis yang lain. Apabila sudah berkumpul ramai-ramai, sudah pasti ada kumpulan yang merokok dan tidak. Saya berada di kumpulan tidak merokok.

Pokok tidak akan bergoyang sekiranya tidak berangin. Apa yang Tiz mahu sembunyikan ini?

Tidak ada apa yang hendak disembunyikan. Saya bercakap benar. Individu terbabit perlu kemukakan kenyataan bersama bukti sama ada secara bergambar, rakaman video atau apa sahaja. Ini semua melibatkan nama baik saya. Saya sendiri terkejut apabila mendengar cerita seperti ini. Seperti mahu menganiaya saya sahaja.

Boleh jelaskan maksud untuk frasa 'nama baik' yang diungkap Tiz sebelum ini?

Begini. Saya sudah cukup tertekan dengan gambar bersosial yang tersebar sebelum ini. Ia berlaku semasa Nur Kasih meniti di kemuncak. Saya bimbang dipersalahkan sekiranya dijadikan 'kambing hitam' sekiranya drama itu tidak berjaya. Namun Alhamdulillah, drama itu diterima ramai. Namun, kali ini cerita lain pula timbul.

Adakah Tiz rasa watak baik Nur Amina itu sebenar mengganggu gugat kehidupan sebenar Tiz?

Tidak, saya tidak bermaksud sebegitu. Nur Amina hanya sekadar watak dalam drama. Itu sahaja.

Apa yang ingin Tiz jelaskan?

Beginilah, perlu diingat bahawa watak Nur Amina dan Tiz Zaqyah itu sendiri memang berbeza. Saya tidak mahu hipokrit disebabkan watak 'baik' itu dalam kehidupan realiti saya. Sebab, saya masih muda dan mungkin ada beberapa 'bahagian' yang pasti mengundang rasa kurang senang di kalangan tua. Jadi, maafkan saya.

Maksudnya, Tiz menyesal menjadi artis?

Tidak. Maksud saya tidak menjurus ke arah itu. Sebenarnya, saya tidak kisah dengan semua cerita gosip seperti ini. Masyarakat boleh menilai sama ada saya baik atau tidak. Saya juga tidak diminta untuk dijadikan ikon. Apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk memenuhi rasa 'cinta' saya terhadap bidang seni.

Adakah Tiz sedar bahawa masyarakat sebenarnya mengangkat Tiz ke satu darjat lain. Segala gerak geri diperhatikan dan pasti menjadi buah mulut.

Iya, saya sedar. Tetapi fitrah manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya pernah melakukan kesalahan dan berpotensi untuk melakukan kesilapan bila-bila masa sahaja. Masyarakat boleh menegur apa sahaja tingkah laku saya tetapi perlulah dengan cara berhemah. Saya rasa cara itu lebih berkesan. Boleh memberi pengajaran kepada orang lain juga.

Apa yang sebenarnya bermain di fikiran Tiz sekarang ini?

Macam-macam. Saya masih tidak percaya mengapa perlu ada pihak yang selalu mencari kesilapan kita? Memang ia menjadi lumrah manusia agaknya.

Tiz tak takut kalau cerita-cerita 'busuk' sebegini membantutkan perjalanan seni Tiz yang baru hendak bermula?

Saya tidak kisah sebenarnya. Masyarakat berhak untuk memilih sama ada meminati bakat yang saya ada atau tidak. Saya tidak memaksa. Ini kerana saya lebih tahu apa yang terbaik untuk diri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap