Kawan-kawan

Ahad, 17 Jun 2012

Kasih di puncak Kinabalu


Foto - edtv-zahidizakariya.blogspot.com

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

KISAH Nadira yang menjalani pemindahan jantung dan mewarisi sifat penderma terbabit iaitu Innara yang sudah meninggal dunia adalah tarikan dalam drama bersiri 28 episod untuk Slot Akasia TV3, Dejavu Di Kinabalu karya Erma Fatima dan terbitan Global Station Sdn Bhd.

Apa yang menjadi konflik, Nadira yang sudah memiliki teman lelaki, Bazli turut mewarisi perasaan sayang pada teman lelaki penderma jantungnya itu iaitu Ammar.

Lebih menarik, cerita ini menggandingkan pelakon popular Tiz Zaqyah dan Aqasha selaku teraju utama dalam kisah cinta yang menyentuh perasaan ini.

Selaku Penerbit Eksekutifnya, Zetty Alia Datuk Ramly berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan drama bersiri itu kerana cerita itu ada kelainan dari yang pernah dihasilkan sebelum ini.


“Sebenarnya, cerita Dejavu di Kinabalu adalah idea asal daripada produser drama sendiri iaitu Datin Zaiton. Manakala, Erma pula bertindak sebagai penulis skripnya. Jalan cerita drama ini juga memaparkan mengenai proses pemindahan jantung juga agak berlainan daripada drama yang pernah ditonton di kaca televisyen sebelum ini.


Ditanya kekuatan utama drama itu, kata Alia, ia terletak pada kombinasi pengarah, penulis skrip dan barisan pelakonnya yang hebat.

“Penonton akan menyaksikan bagaimana seseorang penderma akan berasa terikut-ikut dengan cara pemilik asal jantung itu tanpa dia sedar dan berkongsi rasa yang sama. Karakternya juga akan berubah sedikit mengikut karakter penderma jantung berkenaan,” katanya.

“Selain itu, penonton pasti terpikat dengan latar belakang pemandangan drama ini yang cantik sekali gus jalan cerita serta plot-plot yang ada dalam Dejavu akan menjadikan ia satu naskhah yang harus ditonton peminat drama bersiri di luar sana.

“Saya percaya drama ini tidak akan mengecewakan penonton bila bersiaran nanti.
Pada masa sama, hati siapalah yang tidak akan tersentuh melihat pengorbanan Bazli pada Nadira, cinta Ammar pada Innara yang tak berpenghujung itu,” katanya.

Berkongsi cabaran terbesar menerbitkan drama itu, akui Alia, pastilah ia bukan sesuatu yang mudah untuk menjayakan penggambaran di puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu itu.

“Bagi memberi gambaran sebenar di puncak gunung dan menghidupkan lagi cerita ini, kru penerbitan, barisan pelakon utama dan pengarah juga terpaksa turun padang dan sama-sama mendaki Gunung Kinabalu. Bayangkan, mereka mendaki gunung tanpa sebarang latihan intensif sebagai persediaan.

“Saya bersyukur, selepas melalui pelbagai rintangan, mereka berjaya sampai ke puncak dan turun dengan selamat tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini sehinggalah penggambaran babak selesai seperti direncanakan.

“Penggambaran drama ini bermula Mac lalu dan akan berakhir Ahad ini (17 Jun) membabitkan lokasi di sekitar Kuala Lumpur, Cherating, Kundasang dan Gunung Kinabalu, Sabah,” katanya.

Mengenai kos untuk menerbitkan drama itu pula, Alia mengakui ia memang membabitkan kos yang agak tinggi kerana lokasi juga membabitkan luar Kuala Lumpur.

“Maaflah, saya tidak boleh komen lanjut mengenai kos menerbitkan drama ini.
Apapun, saya berpuas hati dengan hasil karya Erma ini.

“Sebagai penerbit eksekutif drama ini, saya dan produser serta seluruh produksi berharap semoga drama ini mendapat sambutan hangat daripada penonton. Semoga pihak stesen TV dan penggemar drama bersiri berpuas hati dengan naskhah ini nanti,” katanya.

Dejavu Di Kinabalu menceritakan mengenai kekasih Ammar, Innara yang meninggal dunia dan menderma jantungnya kepada Nadira. Nadira yang juga pesakit jantung sangat bersyukur kerana dapat menjalani pemindahan jantung ketika nyawanya di hujung tanduk.

Bazli, kekasih Nadira sangat mencintainya dan menjaganya dengan baik sepanjang dia sakit. Nadira berasa amat terhutang budi pada Bazli. Nadira adalah pereka hiasan dalaman, begitu juga Ammar.

Takdir menemukan Ammar dengan Nadira secara tidak sengaja. Ammar mahupun Nadira tidak mengetahui bahawa jantung yang ada dalam diri Nadira adalah milik kekasih Ammar iaitu Innara.

Takdir jugalah yang menemukan mereka kembali apabila ditugaskan untuk menyiapkan projek yang diusahakan syarikat Bazli. Ammar terus jatuh cinta dengan Nadira dan dia berasakan Innara ada dalam diri Nadira.

Melihat Nadira seakan-akan melihat cinta hatinya yang sudah mati. Degup jantung Nadira pula semakin laju apabila terpandang Ammar. Mereka berdua saling tertarik dan cuba untuk menghindari perasaan itu.

Semakin lama Nadira cuba lari, semakin dekat Ammar dengannya. Nadira keliru antara perasaannya pada Ammar dan cinta Bazli yang sanggup berkorban apa saja untuknya. Apakah Nadira menerima cinta Ammar? Bagaimana pula dengan teman lelakinya, Bazli?

Drama bersiri untuk slot Akasia TV3 ini akan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis jam 7 malam bermula 18 Jun ini.

Selain Tiz dan Aqasha, Dejavu Di Kinabalu turut menampilkan barisan pelakon seperti Nazim Othman, Aishah Ilias, Fadhilah Mansor, Dian P. Ramlee, Rahim Razali, Aida Rahim, Allana Amir, Khaty Azean dan Meor Ariff.



INFO:

JUDUL: Dejavu Di Kinabalu
PENGARAH DAN PENULIS SKRIP: Erma Fatima
PENGARAH BERSAMA: Fazli Yahya (Pali)
PENOLONG PENGARAH: Noorsyahida Mohd Radzali
PENERBIT EKSEKUTIF: Zetty Alia Datuk Ramly
PENERBIT: Datin Zaiton Muhd Jiwa
PROPMASTER: Mohd Sharbani Yusuff (Atoi)
PROPMAN: Wan ( Mat deris)
TATARIAS: Siti Rohani (Mak Iti)
WARDROBE: Amy & Supian
KESINAMBUNGAN : Azura ‘zozo’ Norman
PEMBANTU AM: Aziz, Boy
GRIP : Fareez Basri
PENATA BUNYI: Ahmad Muhaimin Ahmad Bokhari
JURU LAMPU: Mohd Firdaus Abdul Razak
PEMBANTU JURUKAMERA: Shamiel Equan (Albab)
SINEMATOGRAFI: Asrar Lukmanal Hakim

PERALATAN PENGGAMBARAN/PENGANGKUTAN/PASCA PENERBITAN: Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd

SUNTINGAN AWAL: Global Post Sdn Bhd
SUNTINGAN AKHIR: Global Post Sdn Bhd, Rumah Karya Citra Sdn Bhd
PENGURUS KEWANGAN: Fadhilah Mohd Shariff
PENOLONG PENGURUS PRODUKSI: Nira Rash
PENGURUS PRODUKSI: Aish Malek (Faizah Malek)

BARISAN PELAKON: Aqasha (Ammar), Nadira (Tiz Zakyah), Bazli (Nazim Othman), Mior Afif (Zahir), Sharifah Nadia (Yuzra), Mustafa Kamal, Kathy Azean

TARIKH SIARAN: 18 Jun 2012

--- HARIAN METRO

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap