Kawan-kawan

Isnin, 24 Disember 2012

Amar benci jadi 'pak sanggup'




SENYUM girangnya cukup untuk mengesahkan bahagia yang sedang kembang di hati. Bagi Amar Asyraf, biarpun graf kariernya masih di tahap baru hendak menembusi perhatian khalayak, dia yakin perkahwinan yang dirancangkan tahun depan akan memberi kestabilan dan keseimbangan dalam hidupnya.

“Selama ini saya jenis yang agak kelam-kabut. Kalau sibuk dengan kerja, mulalah tidur, pakai dan makan saya tak menentu. Saya harap, bila sudah berkahwin nanti, hidup dan karier saya akan lebih terurus.

“Saya juga tak pandai bergaya, tapi tunang saya jenis yang peka bab penampilan. Sekarang dia banyak nasihatkan saya supaya jaga penampilan. Dia juga faham waktu kerja saya yang tidak menentu. Itu antara faktor yang meyakinkan saya untuk memilihnya sebagai calon isteri,” ujar Amar yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri, Setia Hujung Nyawa terbitan Suhans Movies.

Berimej lebih kemas tanpa rambut panjang dan kerinting seperti yang dikenali selama ini, namun jika diberi pilihan Amar lebih selesa dengan stail lama.

“Potongan rambut begini buat saya nampak lebih rapi, lebih elok tapi sebaik sahaja selesai penggambaran drama ini nanti, saya mungkin akan kembali berambut panjang cuma lebih terurus berbanding dahulu,” katanya yang bergandingan dengan Nelydia Senrose dalam drama arahan Amie Maziah itu.

Bercerita tentang watak dalam drama yang mengisi slot Akasia di TV3 itu, Amar melakonkan watak Zain Hakimi lelaki yang berdilema apabila menyedari perkahwinannya sekadar untuk menutup malu. Sikapnya berubah menjadi pemarah apabila mengetahui isteri yang dicintai rupa-rupanya ibarat kelapa yang sudah ditebuk tupai.

“Watak Zain mulanya seorang yang budiman, dia sanggup memberi masa kepada isterinya, Ersalina untuk menyesuaikan diri kerana masing-masing tidak pernah kenal. Nama sahaja sudah kahwin tapi mereka tidak pernah bersama. Malangnya, apabila masing-masing sudah mula jatuh cinta tiba-tiba Ersalina mengalami keguguran.

“Dari situ, barulah Zain sedar betapa dirinya sudah dijadikan ‘pak sanggup’ dan ditipu hidup-hidup oleh semua orang. Dalam realiti pun, mana ada lelaki yang rela jadi ‘pak sanggup’ dan dibohongi sebegitu, saya sendiri pun tak rela dan boleh jadi gila jika ditimpa situasi yang sama,” kata Amar sambil minta dijauhkan insiden sebegitu dalam hidupnya.

Turut diperkuatkan oleh Zila Bakarin, Raja Ema, Talha Harith, Sura Sojangi dan Hairul Azreen, drama adaptasi daripada novel tulisan Fatin Nabila itu bakal ke udara mulai 24 Disember ini, setiap Isnin hingga Khamis pukul 7 malam di TV3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap