Kawan-kawan

Sabtu, 20 Februari 2010

Berdepan rahsia Tuhan (Kosmo)




ADA kuntuman segar sedang berkembang di jiwanya. Ketika tangkai hati belum direntas menjadi milik kekal sang lelaki, Umie Aida sebenarnya sedang mentakrif peribadi.

Manuskrip-manuskrip pendiriannya sedang difailkan semula demi sebuah progres perkongsian zahir batin. Itu satu keharusan agar tiada yang mudah terusik, juga tiada yang kebal untuk ditembusi.

Secara faktanya, aktres tersohor itu bakal mencipta sejarah yang paling agung dalam hidupnya. Sejarah pelengkap kewanitaan serta sejarah yang bakal mengubah status yang dijunjung selama ini.

Daripada seorang wanita ‘bebas’, Umie bakal menundukkan ubun-ubun kepalanya untuk dikucup sang lelaki bernama suami.

Sesungguhnya, teramat besar debar yang ditanggung. Perjalanan baru akan bermula, transformasi diri mula dirasa.

“Sejujurnya, saya sangat-sangat gementar,” desis Umie sambil matanya membayangkan sesuatu.

Hari ini, dia masih membawa gelaran tunangan kepada Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47 tahun. Walaupun tarikh ijab kabul mereka masih belum diumumkan, hakikatnya tinggal tidak sampai sebulan lagi untuk Umie menikmati zaman bujang. Di laut fikirannya, pasti bergelombang variasi rasa.

Panggil ‘abang’

“Mungkin itulah sebabnya orang tua-tua menyarankan agar berkahwin semasa muda. Pada usia sekarang, sebetulnya agak sulit untuk saya mengubah rutin hidup saya selama ini.

“Dalam keadaan sekarang, ada baiknya pihak lelaki harus lebih banyak memahami dan menerima saya seadanya.

“Saya sendiri sudah ada tanggungjawab, ada anak-anak yang harus diberi perhatian, dan saya ada ‘kepala’ saya sendiri,” lontar satu ketegasan daripada bibirnya.

Genap 37 tahun pada 19 Januari lalu, karakter empunya nama Umie Khalsum Rahmad itu sudah cukup dikenali ramai. Seperti wanita lain, dia pernah ada kekasih dan gagal dalam hubungan. Bertahun-tahun juga hatinya tidak terisi cinta lelaki.

“Menjadi seorang wanita yang sangat berdikari boleh menyebabkan saya tidak mahu memikirkan soal kahwin. Saya sendiri pernah kata, tak mahu kahwin.




“Sebab itulah ada jarak yang agak lama antara hari pertunangan saya pada 29 September 2009 dengan hari akad nikah kelak. Saya mahu melembutkan ‘kepala batu’ saya ini,” bicara Umie melanjutkan perbualan.

Akuinya juga, memilih untuk menamatkan zaman bujang di sisi Khairuddin, bukan diputuskan oleh faktor usia, bukan juga atas desakan sesiapa. Sebenarnya, sehingga ke detik ini, masih bermain satu persoalan di jiwanya.

“Sampai sekarang, saya masih bertanyakan apakah betul tindakan saya untuk mengakhiri zaman bujang. Bagi saya, kahwin adalah rahsia Allah. Sebagai insan, saya harus reda dengan pemberian-Nya.

“Saya berkata ‘tidak’ ketika mula dilamar abang (panggilan Umie terhadap bakal suami) tetapi pintu hati saya terbuka dek kesungguhan yang ditunjukkannya.

“Saya juga tidak mahu terus menjadi manusia yang penakut untuk melalui sesuatu yang saya sendiri tidak tahu. Sebagai wanita, saya juga mengidamkan alam perkahwinan,” katanya lagi.

Anak sendiri

Mengisi hari-hari terakhirnya sebagai wanita solo dengan persiapan menjelang hari bahagia, agenda itulah yang membuatkan Umie semakin teruja menuju gerbang perkahwinan.

Sudah lebih tiga minggu juga jadual kariernya sengaja dikosongkan. Dia mahu berehat dan membelai diri sebelum tiba hari besar.

Bakal punya suami sebagai pemimpin dunia dan akhirat, impian perkahwinan Umie, alangkah bertuahnya dia jika ditiupkan rezeki dari langit untuk menimang cahaya mata sendiri.

“Dapat seorang anak pun cukuplah. Saya harap sangat, tambah lagi kalau dapat anak perempuan, mesti seronok,” kata Umie yang sudah bergelar ‘ibu’ seawal usia 20 tahun.

Apatah lagi, kedua-dua anak angkatnya lelaki, Mohd Daniel Abdullah, 17, dan Mohd Zulhelmy Jamaluddin, 16. Pasti menguruskan anak kecil bukan lagi persoalan buat Umie, rutin itu juga menjadikan Umie matang sebelum usia.

“Jadi, tidak banyak perkara yang perlu saya lepaskan selepas bergelar isteri nanti. Saya pun bukan jenis kaki sosial,” ujarnya meringkaskan kenyataan.


MEMILIH pereka fesyen, Jovian Mandagie sebagai perunding perkahwinannya, percaya atau tidak, hakikatnya, bulat hati Umie untuk memasuki dunia perkahwinan terbentuk selepas sah bergelar tunangan kepada Khairuddin pada 29 Oktober lalu.


Lewat pertemuan bersama bakal ratu sehari itu, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-16 itu juga kelihatan cukup tenang. Dia sudah bersedia dengan setiap butir yang mahu diungkapkan.

Sengaja mencampuri urusan hati Umie dengan satu lagi pertanyaan, tergugatkah perasaannya dengan mitos duka sang isteri yang pernah sampai ke telinga sebelum ini?

Tambah Umie: “Saya takut kerana alam itu terlalu asing. Mungkin saya perlukan masa untuk serasikan diri dengan alam baru nanti. Paling saya takuti ialah gelaran ‘isteri’ itu sendiri.”

Intuisi seorang wanita memang begitu, apatah lagi tatkala berdepan hukum Ilahi yang satu itu. Percaya kata hati menjadi kunci kepada setiap keputusan. Seperti percaya mentari esok akan bersinar, Umie juga percaya lelaki bernama Khairuddin itu dikirim menjadi jodoh buatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap