Kawan-kawan

Isnin, 22 Februari 2010

Siapa yang kena fikir? (Utusan Malaysia)


NABIL dan Mila bersama para pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie pada majlis pratonton filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KONTROVERSI terlebih dahulu menghangatkan filem ini sebelum ia ditayangkan di pawagam. Hal ini berlaku apabila pelakon utamanya membuat komen negatif dalam akhbar. Apa yang menarik, adakah komen pelakon sesebuah filem mampu memberikan kesan tertentu terhadap filemnya?

Sememangnya agak biasa bagi pelakon utama sesebuah filem memberikan komen tentang filem terbaru lakonannya walaupun filem tersebut belum ditayangkan.

Begitu juga bukan luar biasa bagi pelakon utama memberikan pandangan tentang lakonannya yang dirasakannya tidak cukup baik yang mungkin boleh disampaikan dengan lebih baik lagi. Komen yang berbau negatif seperti ini bukanlah sesuatu yang salah, cuma komen sedemikian terhadap keseluruhan filem barangkali tentulah tidak wajar.

Ini kerana si pelakon tentulah terlebih dahulu telah membaca skrip dan memahami ceritanya dan dia boleh menolaknya daripada terlibat. Walau bagaimanapun pernah berlaku penerbit dan pengarah filem membuat komen yang negatif terhadap filemnya sebagai strategi pemasaran untuk menarik perhatian khalayak.

Bagaimanapun apabila sesebuah filem itu sudah siap dan ditayangkan, maka tugas pengarah dan pelakon sebenarnya sudah selesai. Saya sendiri sebagai penonton sebenarnya tidak mudah untuk bersetuju dengan komen-komen awal terutama pelakon sebelum menonton sendiri sesebuah filem itu.

Ini kerana sesebuah filem itu akhirnya dinilai pada apa yang dipaparkannya. Mampukah pengarah menggunakan mediumnya untuk mengangkat sesebuah naratif dan apakah naratif itu kemudian mampu menjentik minda kita untuk turut berkongsi pengalaman watak dan pemikiran yang hendak dilontarkan melalui naratif itu.

Filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie bukan sahaja menggunakan tagline popular Ahmad Nabil pemenang program Raja Lawakk 2 malah turut menggunakan Nabil sendiri sebagai pelakon utamanya. Nabil memainkan watak dirinya sendiri. Namun setelah menonton filem ini, sukar untuk kita mengatakan filem ini sebuah autobiografi Nabil. Hal ini kerana plot filem ini sebenarnya tidak mengangkat liku-liku kehidupan Nabil. Malah watak Nabil dalam filem ini tidak pun digambarkan sebagai membawa dirinya yang berusaha menjadi pelawak yang hebat. Barangkali penulis lakonlayar filem ini mahu memaparkan liku-liku awal Nabil sebelum menjadi popular tetapi sekali lagi apakah liku-liku tersebut menjurus kepada Nabil sebagai pemenang Raja Lawak?

Malangnya hal ini tidak berlaku, sedangkan nama sebenar Nabil dan ungkapan popular Nabil "Lu Pikirlah Sendiri" digunakan dalam filem ini (Nabil seharusnya mendaftarkan hak cipta tagline tersebut daripada digunakan sewenangnya). Penggunaan dua pendekatan tersebut seharusnya sudah menjurus kepada liku-liku kehidupan (biografi) Nabil. Jika tidak, seharusnya penulis skrip tidak menggunakan tagline tersebut dan watak Nabil tidak menggunakan nama sendiri.

Dalam filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, watak Nabil adalah seorang pemuda yang tidak mempunyai kerja tetap tetapi cuba membaiki kehidupan keluarganya. Adiknya Aishah (Mila) masih bersekolah dan ayahnya terlantar sakit sedangkan ibunya (Liza Othman) tidak bekerja. Nabil lalu bekerja sebagai pengantar surat dan juga membuat beberapa kerja sampingan.

Di tempat kerjanya, Nabil jatuh hati dengan gadis se pejabat tetapi kemudian kecewa apabila dapat tahu gadis itu akan berkahwin dengan bosnya. Pada masa yang sama Nabil menjadi mangsa kebencian seorang pelajar dan model yang jelita dan kaya, Natasya (Puteri Sarah), tetapi kebencian itu kemudiannya berubah apabila Nabil tiba-tiba popular selepas memenangi satu program muzik di televisyen bersama kumpulan Meet Uncle Hussein.

Apakah Lu Pikirlah Sendiri De Movie sebuah komedi atau drama keluarga Melayu biasa? Yang nyata filem ini mempunyai plot yang kacau. Aminah Rhapor sebagai penulis seharusnya jelas dengan watak-watak utamanya. Membina perwatakan yang meyakinkan bukan sahaja pada watak Nabil tetapi watak-watak lain yang melengkapkan drama ini.

Apakah matalamat watak Nabil, bagaimana dia boleh menjadi pemuzik sedangkan di awalnya tidak diberikan latar sedemikian. Unsur kebencian Natasya kepada Nabil jelas dibuat-buat lalu merimaskan dan klise tanpa alasan yang kukuh.

Kebanyakan peristiwa diadakan sekadar untuk mewujudkan adegan. Hal ini kerana tanpa menguasai pembinaan watak-watak tersebut menyebabkan struktur adegan dalam perjalanan plot filem ini menjadi lemah dan hilang matlamat. Penonton bukan sahaja tertanya-tanya peranan Meet Uncle Hussein sebagai korus (yang boleh membantu membawa naratif) dalam filem ini tetapi juga fungsi watak-watak Sarah, Zizan dan beberapa watak lain yang tidak jelas.

Aminah Rhapor yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pengarah teater (antaranya teater Tanah Bernanah dan Siti Di Alam Fantasi) seharusnya memahami kepentingan membina jalur watak-watak yang kuat dan meyakinkan. Sebuah filem komedi sekalipun sebenarnya memerlukan watak yang ampuh untuk membina naratif yang kuat. Bukan menyerahkan kepada penonton sahaja untuk 'memikirkannya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap