Kawan-kawan

Ahad, 28 Februari 2010

Syamsul, dari aksi ke seram (Kosmo)




PADA mulanya, ia sekadar gurauan manja seorang anak dengan bapa bagi menceriakan hari masing-masing. Tanpa disangka, sepotong ayat Syamsul yakni ingin menghasilkan tiga buah filem dalam tempoh setahun rupa-rupanya dianggap serius oleh si pendengar setia, Datuk Yusof Haslam.

Perbualan dua beranak bagai isi dan kuku itu tidak sekadar berakhir di situ. Yusof bagaimanapun menganggap anak bujangnya serius memasang angan-angan tinggi melangit lantas mahu mengotakan kata yang dilafaz.

Bahkan, Yusof sempat berkongsi azam baru Syamsul bersama pihak media dan seluruh tetamu yang menghadiri majlis kesyukuran tamat penggambaran filem Khurafat di Restoran Haslam, Kuala Lumpur minggu lalu.

Begitupun, tiada lain mampu dilakukan pemuda berusia 26 tahun itu kecuali tersenyum sendirian dan wajahnya bertukar merah padam gara-gara tidak tertahan menanggung malu mendengar ucapan daripada mulut Yusof.

Menghela nafas panjang sebelum larut dalam emosinya, Syamsul terlebih dahulu menjelaskan dia hanya bercanda menyuarakan hasrat itu tanpa mengetahui ia dijadikan cabaran lelaki tua yang amat dihormatinya itu.

"Insya-Allah, walaupun pada awalnya sekadar main-main, tapi saya tetap jadikan kata-kata ini sebagai pembakar semangat. Saya tahu ia sukar dilakukan kerana sebelum ini hanya dapat buat satu filem setahun.

"Dengan penglibatan saya dalam filem genre seram pertama, Khurafat yang dihabiskan dalam tempoh 25 hari maka saya percaya ada kebarangkalian dapat menyudahkan tiga filem pada waktu ditetapkan.

"Namun, kena tengok juga jalur filem yang dibikin. Kalau konsep filem seram atau komedi ringan, saya yakin dapat penuhi kuota dihajati. Tapi kalau buat filem genre aksi yang sukar dan perlukan banyak perancangan, saya rasa sukar hendak capai sasaran kerana asyik lewat menyudahkan kerja pengarahan.

"Enggan mengalah terlalu awal, saya sebaliknya mahu membuktikan kepada bapa dan Skop Productions Sdn. Bhd. muncul dengan tiga filem setahun," kata Syamsul yang sudah mengarahkan empat filem iaitu Evolusi KL Drift, Bohsia, Evolusi KL Drift 2 dan terbaru, Khurafat sejak tahun 2007.


SELAIN mengarah, Syamsul juga memegang watak utama sebagai Johan.


Syamsul yang banyak mewarisi bakat bapanya sebagai pelakon dan pengarah tidak dinafikan semakin mempersembahkan bakat dan potensi dalam industri perfileman tempatan.

Biarpun Syamsul mampu menjana pendapatan jutaan ringgit mengikut jejak langkah bapanya, Yusof bagaimanapun memberitahu, sehingga ke saat ini, dia masih belum bertemu titik garis kepuasan terhadap pencapaian anaknya.

Beritahu Yusof, setakat ini Syamsul hanya mampu mengarah sebuah filem setahun sebelum berniat mahu menghasilkan tiga filem dalam tempoh sama.

"Dia bukan saja berjanji dengan saya, tapi di depan emak dan datuknya juga. Saya juga terangkan kepadanya, kalau Ahmad Idham dengan umur 40 tahun boleh arahkan dua atau tiga filem setahun, mengapa Syamsul yang masih muda tidak boleh?

"Pepatah Melayu mengatakan biar lambat asal selamat sudah tidak sesuai. Kini kita kena guna biar cepat asal bagus dan selamat," kata Yusof sambil matanya mengerling ke arah Syamsul.

Filem ke-10 dengan kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) itu merupakan filem genre seram pertama digarap Syamsul sekali gus menampilkan sisi lain dalam kariernya sebagai sang pengarah.

"Filem ini beri pengalaman baru kepada saya. Terus-terang, banyak dipelajari antaranya termasuk ingin mengarah filem seram yang punya teknik tertentu. Saya juga dapat pengetahuan lanjut tentang penggunaan teknik cahaya dan sudut-sudut bersesuaian.

"Bukan itu saja, filem ini menampilkan perbezaan ketara kerana selain mengarah, saya juga melakonkan watak sebagai Johan. Sampaikan ada waktunya watak Johan yang selalu tertekan terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran," ujarnya berterus-terang.

Dalam waktu sama, Syamsul tidak mampu membendung keterujaan bergandingan dengan aktres muda dan berbakat besar, Liyana Jasmay buat kali pertama di skrin perak.

"Saya tidak menghadapi masalah mengarah aktres terbaik seperti Liyana. Sejujurnya, ia lagi memudahkan kerja saya di lokasi. Selain itu, keserasian antara saya dan Liyana mudah saja diwujudkan bagi merealisasikan watak suami isteri.

"Agaknya sebab kami sama-sama muda maka saya dan Liyana boleh berbincang tentang pengolahan satu-satu babak tanpa menghiraukan kepala angin masing-masing.


SYAMSUL mengaku banyak mempelajari teknik baru penggambaran filem seram melalui filem Khurafat.


"Saya melakonkan watak seorang pembantu di hospital bernama Johan yang mendirikan rumah tangga dengan Liyana (Aishah). Kehidupan mereka aman dan bahagia sehingga dipertengahan kehidupan mereka dihantui lembaga aneh berfizikal wanita tua.

"Ditambah munculnya bekas kekasih Johan, Anna (Sabrina Ali) bersikap pelik dan menakutkan lalu ia menambahkan ketakutan Johan dan Aishah. Kehidupan pasangan ini mula berubah setelah dihampiri pelbagai kejadian aneh.

"Kalau hendak tahu lebih lanjut kesudahan filem penuh mendebarkan ini, jangan lupa tunggu kemunculan Khurafat beberapa bulan lagi. Saya pasti ia ada perbezaan sendiri berbanding filem jalur seram lain," jelas Syamsul yang bersedia sepenuhnya mana-mana adegan bakal dicantas Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Idea asal serta skrip Khurafat dijana bersama Syamsul dan Rizal Ashref itu menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Bukit Tinggi bermula 14 Januari lalu.

Filem ke-26 terbitan Skop Productions itu dijangka menemui peminat di pawagam seluruh negara ini selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun 2010.

Turut berlakon dalam filem dengan kos termasuk promosi berjumlah RM1.7 juta itu ialah Liyana yang melakonkan watak Aishah, Sabrina (Anna), Fauziah Nawi (Ibu Johan), Mariani (Nenek), Salina Saibi (Zura) dan Latif Borgiba (Bomoh).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap