Kawan-kawan

Isnin, 27 Jun 2011

Nabil, akui tercabar

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
2011/06/19

24 Jun bakal tentukan juara Maharaja Lawak

PROGRAM Maharaja Lawak boleh diumpamakan sebagai terapi apabila menontonnya. Kebanyakan penonton pasti ketawa terbahak-bahak, selain ada yang melompat dari kerusi, menghentak kaki dan menitiskan airmata ketika menyaksikan gelagat peserta.

Maharaja Lawak, program yang paling hangat diperkatakan. Rata-rata penonton tidak melepaskan peluang untuk menantikan malam Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna. Minggu separuh akhir berlangsung di Stadium Tertutup MBJB, Larkin, Johor Bahru pada Jumaat lalu sudah menentukan antara lima finalis popular – Jozan, Nabil, Sepah, Jambu dan R2 ke peringkat akhir.

Seperti yang dilihat, Jozan (Johan dan Zizan) sering menduduki tangga teratas, diikuti Nabil, Sepah, Jambu dan R2. Bagaimanapun, final Maharaja Lawak yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam, Selangor pada Jumaat, 24 Jun ini bakal menentukan siapakah layak digelar juara Maharaja Lawak.

Nabil, satu-satunya peserta solo berkata, dia sering mengambil risiko dengan menampilkan pelbagai eksperimen dalam bahan lawaknya. Ada kala menjadi, ada ketika pula sebaliknya.

“Saya mahukan kelainan, saya suka melakukan eksperimen dan mencari pengisian baru tetapi bak kata pepatah, untung sabut timbul, untung batu tenggelam.
Bagaimanapun, saya tidak mahu menjadi insan yang mudah berputus asa, saya akan cuba menerokai sesuatu yang baru, selain memperbaiki kelemahan dan kekurangan diri. Bagi saya, kegagalan membuatkan saya perlu berusaha lebih gigih lagi.

“Tidak dinafikan, persembahan saya ada turun naik kerana saya adalah peserta solo. Kadang kala saya tidak dapat menyembunyikan kekecewaan itu. Saya kecewa apabila gagal membuat penonton ketawa. Ini bukan sekadar pertandingan, tetapi ini adalah penentuan sama ada saya mampu atau tidak.

“Jozan, Sepah, Jambu dan R2, mereka bekerja berkumpulan, jadi mereka tahu kekurangan pengisian mahupun sebaliknya. Saya akui mereka sering memberi pandangan, tetapi mereka juga perlu menyiapkan diri untuk pertandingan ini.

“Saya boleh bercerita dengan mereka, tetapi adakah mereka jujur? Saya tidak menyalahkan mereka, ini adalah pertandingan yang merebut wang tunai RM300,000. Mereka boleh memberi cadangan, tetapi adakah pengisian itu menjadi dan boleh membuatkan penonton tergelak? Saya fikir takkan mereka nak berkongsi bahan yang bagus dengan saya.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dalam ada yang membenci, ada juga yang masih menyukai saya. Sekurang-kurangnya, saya sudah mencuba dan menjadi satu-satunya peserta solo yang bertahan. Mungkin, pada masa akan datang saya menjadi `reference’ kepada finalis solo lain.

“Memang kalau ikutkan saya boleh menolak menyertai Maharaja Lawak, tetapi saya tidak mahu jadi pengecut! Saya tahu risikonya apabila berdiri di pentas seorang diri, lainlah kalau saya berdua atau bertiga. Idea mungkin keluar mencurah-curah,” katanya yang kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri, You Saka, Pergi Jauh-Jauh yang disiarkan di TV3.

Anak kelahiran Mambau, Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, cabaran yang dipikulnya terlalu besar, lebih lagi berdepan dengan gandingan Johan dan Zizan, Sepah, Jambu dan R2.

“Saya akui tercabar apabila sering menduduki antara tangga terendah. Saya pernah dinobatkan juara Raja Lawak dan Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, jadi tanggungjawab itu cukup berat buat saya. Maharaja Lawak ini mengajar saya, hidup bagaikan pusingan roda, ada masa di atas, ada ketika di bawah. Saya berterima kasih kerana masih ada yang mengundi saya,” katanya dengan nada perlahan.

Sepah tak harap menang

SEMENTARA itu, Jep dari kumpulan Sepah berkata, dia bersyukur persembahan Sepah sentiasa konsisten setiap minggu walaupun tidak mampu menembusi Jozan yang sering kali menduduki tangga teratas.

“Kami bersyukur ilham datang dari Allah SWT. Bukan mudah untuk mengekalkannya, tetapi tanpa usaha dan berdoa, tidak mungkin mengekalkannya. Hari ini, kami tidak memikirkan kalah atau menang lagi, apa yang penting, persembahan kami dinilai dengan baik setiap minggu.

“Sepah semakin seronok dengan `permainan’ ini, sekurang-kurangnya peminat boleh menilai kemampuan Sepah. Walaupun sudah dua musim meninggalkan program Raja Lawak, kami sedaya upaya mempersembahkan idea segar dan pengisian yang baik. Itu yang kami harapkan, tetapi berbalik pada nasib. Kita tidak sentiasa berada di tahap yang selamat.

“Bagaimanapun, kami tidak mahu menampilkan Sepah yang dulu. Diakui dulu, kami banyak bermain dengan kata-kata lucah, tetapi tidak lagi dalam persembahan Maharaja Lawak. Bagi kami, kalau tidak mencarut dan bercakap lucah pun boleh membuatkan penonton ketawa, itu yang kami belajar selepas keluar program Raja Lawak.

“Secara peribadi, saya puji perjuangan Jozan. Bagi saya, Johan adalah `killer’. Saya juga menyukai Jambu (Taukeh dan Yus), mereka tampil dengan pengisian yang berbeza setiap minggu,” katanya.

Shuib pula menjelaskan, mereka tidak mengharapkan gelaran juara Maharaja Lawak, tetapi pembabitan Sepah tidak menenggelamkan nama mereka.

“Dua tahun kami hilang arah dan dilihat seperti tenggelam timbul. Menyertai Maharaja Lawak selama tujuh minit memberi impak yang besar. Kami masih bernafas untuk meneruskan kehidupan apabila ditawarkan berlakon drama dan filem. Kami bersyukur kemampuan kami dalam Maharaja Lawak membuka mata pengarah dan penerbit,” katanya.

----- Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap