Kawan-kawan

Ahad, 10 Julai 2011

Taruhan terbaru James Lee


SALAH satu adegan lucu dalam filem Tolong! Awek Aku Pontianak.


SELEPAS kejayaan dua filem arahannya iaitu Histeria (2008) dan Sini Ada Hantu yang ditayangkan pada Februari lalu, James Lee kini bersedia untuk menggegarkan pawagam dengan sebuah lagi karya terbarunya.

Masih lagi bekerjasama dengan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. (TUSB) untuk kali ketiga, filem yang diberi judul Tolong! Awek Aku Pontianak (TAAP) menyaksikan James masih lagi selesa bermain dengan genre seram seperti mana dua filem terdahulunya.

Jika Histeria dikategorikan sebagai filem seram hard core dan Sini Ada Hantu pula berada dalam kelompok genre seram komedi, namun TAAP berada dalam landasan yang berbeza.

Kali ini, James menampilkan pembaharuan dengan menyuntik elemen komedi romantik yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.

Walaupun sudah dikategorikan sebagai salah seorang pengarah handalan negara tetapi bagi James, cabarannya tetap ada apabila dia mengarahkan TAAP.

"Ada sebab mengapa saya menghasilkan dan mengarahkan TAAP. Pertamanya, saya mahu mencuba genre baru yang belum pernah saya terokai sebelum ini.

"Jika diperhatikan kepada filem-filem arahan saya sebelum ini, semuanya bercorak drama dan bermula dengan Histeria, barulah saya berani meneroka genre seram.

"Untuk TAAP, ia bukanlah sebuah filem seram seperti Histeria dan Sini Ada Hantu. Tetapi ia lebih kepada romantik komedi yang bagi saya bukan mudah untuk dihasilkan.

"Tidak mahu berada di takuk yang sama, saya memberanikan diri dengan menghasilkan filem romantik komedi pertama saya ini," kata James sewaktu ditanya tentang rasionalnya menghasilkan TAAP.

James atau nama sebenarnya Lee Thim Heng ditemui pada sidang akhbar usai majlis prebiu filem TAAP yang diadakan di TGV Wangsa Walk, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir barisan pelakon filem tersebut termasuklah Zahiril Adzim, Sazzy Falak, Liyana Jasmay, Sufian Mohamed, Rashidi Ishak, Syanie dan Harun Salim Bachik.

Berbicara lanjut, James yang mula mengarahkan filem pertamanya, Ah Beng Returns pada tahun 2001 memberitahu, selain mahu mencuba genre baru, dia juga begitu teringin untuk berkerjasama dengan Zahiril.

Malah, dia sendiri mahu mencabar aktor muda yang semakin mendapat perhatian ramai itu dengan memberikannya watak komedi yang jarang sekali dipertontonkan kepada khalayak.

"Kalau diperhatikan sebelum ini, kebanyakan watak yang diberikan kepada Zahiril adalah yang bercorak berat dan serius.

"Jadi, menerusi TAAP ini, saya mahu mempamerkan sisi berbeza Zahiril dengan watak komedi ini. Saya puas hati dan bangga kerana dia berjaya memberikan lakonan seperti mana yang saya harapkan.

"Malah, sewaktu saya menghasilkan skrip TAAP, saya sudah membayangkan Zahiril membawakan watak Bob," katanya sambil memandang ke arah Zahiril yang berada di sebelahnya.

Menyentuh tentang idea filem TAAP pula, James menjelaskan dia mahu memberikan penghormatan kepada filem-filem seram klasik Melayu.

Lalu, apabila menonton filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid, dia begitu kagum dengan penghasilan filem itu terutama pada pengakhiran ceritanya yang mencetuskan idea tersebut.

"Bukan itu sahaja, pengaruh filem ini juga datangnya daripada filem Shaun of the Dead apabila membabitkan watak antara Bob dan sahabatnya, Pian lakonan Sufian Mohamed.

"Dengan pengaruh daripada dua buah filem ini, saya menghasilkan TAAP dengan acuan dan rentak saya sendiri.

"Sebagai pembikin filem, saya mengharapkan filem ini akan dapat meneruskan kesinambungan kejayaan Histeria dan Sini Ada Hantu.

"Walaupun terpaksa bersaing dengan filem blockbuster dari Hollywood, saya yakin dengan kemampuan filem ini dalam menarik perhatian audiens tempatan yang mahu mencari santapan baru," jelas James yang pernah diiktiraf dengan trofi Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia Ke-22 menerusi filem Histeria pada tahun 2009.

Mengulas sedikit tentang TAAP, James berjaya menggeletek audiens dengan cara yang cukup 'mahal' dan eksklusif. Tidak keterlaluan dikatakan, filem terbarunya ini merupakan salah sebuah filem romantik komedi yang pernah dihasilkan sepanjang tahun ini.

Bukan seperti filem romantik komedi yang klise dan murahan seperti mana yang sudah dilambakkan sebelum ini, TAAP berada dalam liga tersendiri tanpa perlu memaksa penonton ketawa.

Walaupun permulaan ceritanya sedikit perlahan, tetapi momentum TAAP mula meningkat dan seterusnya ditamatkan dengan sempurna sekali.

Begitu juga dengan barisan pelakonnya yang memberikan lakonan cemerlang waima sekecil mana pun watak yang dijayakan.

Kali pertama digandingkan, Zahiril dan Sazzy membuktikan mereka mempunyai keserasian untuk terus disatukan di layar perak selepas ini.

Malah, watak Harun Salim Bachik yang memegang watak sebagai penghalau hantu bernama Aaron Slam Bach begitu berkesan walaupun kehadirannya hanya seketika.

Rashidi Ishak juga tidak terkecuali. Dengan gaya lakonan dan imejnya sebagai lelaki buaya darat bernama Faizal berjaya ditangani dengan baik.

Buat pencinta filem tempatan, pastikan anda tidak ketinggalan menonton TAAP yang mula ditayangkan sejak semalam (7 Julai).

----- Utusan Malaysia Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Harian: Hip

Harian Metro: Rap