PENGLIBATAN Nelydia Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia
Senrose Nik Sen sebagai seorang pelakon boleh dikira sudah agak lama.
Pelakon jelita mula dikenali sejak membintangi drama bersiri Spa Q
kira-kira lima tahun lalu. Kemudian namanya seperti tenggelam timbul
kerana agak jarang muncul di kaca televisyen.
Meskipun dia dilihat mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang
lakonan, namun namanya masih kurang menjadi sebutan dan tidak terlalu
menyinar berbanding beberapa pelakon wanita yang lain.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Setia Hujung
Nyawa yang diadakan di Sri Pentas, TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya,
Selangor baru-baru ini, Nelydia mengakui dirinya masih belum lagi
menyerlah.
“Kalau diikutkan penglibatan saya dalam bidang seni, lima tahun
merupakan satu tempoh yang cukup lama. Lagipun peminat memang mengenali
saya sejak membintangi drama Spa Q dahulu.
“Selepas drama tersebut saya ada berlakon dalam beberapa buah drama
lain, tetapi ia kurang memberi impak kepada diri saya. Jadi, saya akui
masih kurang popular, meskipun sudah lama menceburi bidang lakonan,”
ujar anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik itu.
Selain itu, Nelydia turut menjelaskan antara faktor utama yang
menyebabkan dirinya agak sukar untuk mengecap populariti kerana
statusnya sebagai pelajar sekolah sebelum ini.
Ujarnya, disebabkan itu dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan
yang diterima memandangkan terpaksa memberi sepenuh tumpuan terhadap
persekolahannya.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, saya
sudah kembali aktif berlakon. Beberapa bulan kemudian saya kembali
menyambung pelajaran semula menyebabkan saya kurang berlakon.

|
FAKTA menarik tentang Nelydia yang sering membawa karakter wanita matang ini ialah dia sebenarnya baru berusia 18 tahun.
|
“Ketika ini saya cuma berlakon sewaktu cuti semester dan hanya
menerima satu tawaran supaya senang untuk memberikan sepenuh tumpuan
kepada lakonan,” jelas penuntut semester dua jurusan Psikologi dari
Kolej Universiti SEGi, Kuala Lumpur.
Ditanya adakah dia tidak kisah apabila namanya sehingga kini masih
kurang popular meskipun sudah lama bergelar pelakon, Nelydia menjelaskan
dia tidak terlalu mementingkan populariti.
Menurutnya, dia menceburi bidang lakonan bukan kerana mahu popular,
sebaliknya dia memang begitu minat berlakon dan menganggap lakonan
merupakan sebahagian daripada jiwanya.
“Ada segelintir pihak yang beranggapan sekiranya mahu cepat popular
mereka perlu dikaitkan dengan kisah kontroversi, tetapi rasanya dengan
cara sebegitu ia tidak akan kekal lama.
“Saya lebih selesa dengan keadaan sekarang ini tanpa terpalit dengan
sebarang cerita negatif. Tidak semestinya pelakon yang kurang popular
jarang dapat tawaran berlakon kerana semuanya bergantung pada rezeki
masing-masing,” ujarnya.
Lebih dewasa
Bagi penonton yang selalu melihat kemunculan Nelydia di kaca TV,
pastinya mereka akan menyangka pelakon itu sudah berusia sekitar 24 atau
25 tahun.
Namun begitu, pada hakikatnya pelakon berkenaan baru sahaja mencecah 18 tahun.
“Sebenarnya saya tiada masalah membawakan karakter wanita yang
berbeza daripada usia sebenar, malah saya juga pernah mendapat tawaran
memegang watak sebagai seorang ibu,” ujarnya.
“Berkenaan dengan sesuatu watak saya memang tidak pernah terlalu
memilih, tetapi saya hanya akan bersetuju sekiranya sudah yakin
membawakan watak yang diberikan,” katanya.
BARISAN karyawan drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang menampilkan Nelydia Senrose dan Amar Ashraf sebagai tonggak utama.
Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya dalam Setia Hujung Nyawa
pula, Nelydia memberitahu, dia diberikan kepercayaan memegang watak
seorang gadis remaja yang baru tamat alam persekolahan.
Melakonkan peranan gadis bernama Ersalina, pelakon itu menyatakan
watak yang dibawakannya itu berbeza dengan lakonannya sebelum ini iaitu
seorang remaja yang sudah terlanjur dengan bekas kekasihnya.
“Dalam drama ini saya merupakan seorang remaja yang naif dan baru
tamat sekolah, tetapi terpaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak
dikenali iaitu Zain Hakimi (lakonan Amar Ashraf).
“Walaupun saya menjadi seorang gadis remaja yang memang sesuai dengan
usia sekarang, watak sebagai Ersalina agak berat dan memerlukan
penghayatan yang mendalam,” jelasnya.
Mengenai gandingannya bersama Amar dalam drama berkenaan, pelakon itu
berkata tidak sukar untuk mencari keserasian bersama dan mereka akan
berbincang terlebih dahulu sebelum melakonkan babak yang membabitkan
kedua-duanya.
“Sepanjang berlakon bersamanya memang tiada masalah besar yang timbul
kerana kami selalu berkomunikasi, malah saya juga sudah menganggapnya
seperti seorang abang,” ujarnya.